Pemandu tersepit dalam nahas lori





BANTU: Mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.
KUCHING: Seorang pemandu dan seorang kelindan nyaris maut selepas lori yang dinaiki mereka hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek sebelum terjunam ketika menuruni bukit jalan masuk ke kuari dan berlanggar dengan sebuah lagi lori di Kilometer 22 Jalan Sri Aman-Serian, pagi semalam.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi yang mengatakan seorang pemandu berusia 33 tersepit akibat kemalangan.

“Setibanya di lokasi, dua lori didapati berada di kawasan luar jalan raya yang sedang dalam pembinaan yang mana seorang mangsa iaitu pemandu lori masih tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan sedar dengan kakinya tersepit.

“Manakala, pemandu sebuah lagi lori telah keluar sendiri dan bagi memastikan kestabilan kenderaan, kita mengarahkan pegawai EMRS untuk masuk memasang kolar leher dan menyelimut mangsa bagi melindungnya ketika kerja-kerja mengeluarkannya dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jelasnya, pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan hidraulik dan berjaya mengeluarkan mangsa yang kemudian diserahkan kepada pihak paramedik dari Hospital Sri Aman yang turut berada di tempat kejadian.

Jurucakap bomba berkata, difahamkan kemalangan berlaku apabila lori membawa muatan batu kuari hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek ketika menuruni bukit jalan masuk ke kuari terbabit.

Lori tersebut kemudiannya terbabas menyeberangi jalan raya Pan Borneo dan merempuh sebuah lagi lori yang kebetulan melalui kawasan tersebut yang sedang melakukan kerja-kerja mengangkut tanah.

Sementara itu, kelindan dan pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami kecederaan.-Utusan Borneo

Program JTDL perkenalkan sistem bayaran QR Code



KUCHING: Program Best Buy dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang julung kali diadakan di Sarawak memperkenalkan satu sistem iaitu “Cashless QR Code”.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sistem ini sangat selari dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg iaitu Sarawak ke arah Ekonomi Digital.

Menurutnya lagi, program tersebut telah memperkenalkan industri kecil sederhana yang terdapat di Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di tapak Dewan Undangan Negeri Sarawak sempena Majlis Perasmian Program Jual Beli dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL), hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembagunan Wilayah menyatakan antara tarikan program ini ialah jualan “Happy Hour” di mana setiap jualan dikenakan diskaun sebanyak 5% sehingga 20% ke atas barangan pertanian dan hasil laut.

Jualan “Happy Hour” ini akan berlangsung selama satu jam dalam sehari sepanjang program tersebut.

Ujarnya usaha ini berperanan sebagai medan untuk menjalinkan hubungan di antara usahawan antara peniaga, usahawan, peruncit dan pemborong serta masyarakat umum.

Tambah beliau lagi, program ini merupakan satu pendedahan kepada kepada masyarakat umum tentang produk-produk keluaran Sarawak dan bagaimana industri-industri asas tani telah maju dari setapak demi setapak untuk keperluan seharian pengguna.

Program Best Buy dan JTDL telah mendapat sambutan baik dalam kalangan para usahawan sebagai usaha memperkenalkan produk-produk mereka.

Program ini merupakan satu platform yang menawarkan produk berasaskan pertanian untuk di jual terus kepada pengguna dgn harga berpatutan.-SarawakVoice

Lelaki tempatan diberkas, disyaki terlibat kes pecah rumah



Suspek yang berjaya ditangkap pihak polis Bintulu termasuk barang kes yang dirampas dalam serbuan, semalam.

BINTULU: Seorang lelaki warga tempatan diberkas dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Jalan Sebiew sekitar pukul 6.30 petang Rabu, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili berkata, serbuan yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Pusat Bintulu ASP Arman Khan Abdullah dalam Ops Pintu itu turut merampas barang-barang kes daripada suspek iaitu alat pertukangan, set pembesar suara, penapis air, televisyen dan basikal. 

"Suspek serta barang-barang kes telah dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes berkaitan dengan dua lagi kes pecah rumah yang dilaporkan pada 23 dan 27 Februari lepas di kawasan kejiranan tempat tinggal suspek.

 Jelasnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan pencerobohan rumah yang mana disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan pada tahun 2015. 

Katanya, suspek kini direman sehingga 5 Mac ini dan ditahan di lokap Balai Polis Pusat Bintulu untuk siasatan lanjut.-Utusan Borneo

Tiada penyedut minuman plastik di premis makanan di Sibu berkuatkuasa Januari 2020





Tiong (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Sibu, hari ini.
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik (straw) pada 1 Januari 2020.

Justeru, pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, pelancaran kempen 'Katakan Tidak Kepada Penyedut Minuman' akan dilancarkan pada 20 April ini bersempena dengan 'Love Earth Day Campaign'.

"Kempen ini adalah antara usaha kita mengurangkan sisa plastik yang memberi kesan kepada perubahan iklim.

"Oleh itu, semua pemilik kedai makan, restoran dan kedai kopi diingatkan supaya tidak membekalkan pelanggan dengan penyedut minuman plastik selepas upacara pelancaran kempen ini," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Wisma Sanyan di sini, hari ini.

Menurutnya, kempen tersebut akan dimasukkan sebagai salah satu syarat lesen yang akan dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan segera pada 1 Januari tahun depan.

Tiong memberitahu, para pemilik premis berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Disember ini bagi menghabiskan stok penyedut minuman plastik mereka.

"Stok penyedut minuman plastik ini juga boleh digunakan secara kreatif sebagai kraf tangan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.

Mengenai perkara yang sama, Tiong memberitahu bahawa MPS akan melaksanakan larangan merokok di semua kedai makan yang diedarkan oleh
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang berkuatkuasa pada 1 Mac ini (esok).

"Penguatkuasaan pendidikan atau penyedaran akan dimulakan dalam tempoh enam bulan ini," tambahnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Rogayah Jemain.-Utusan Borneo

Ada yang bukan kali pertama ke Kemboja - Polis



KUCHING: Siasatan kes penipuan pekerjaan di Kemboja yang membabitkan 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari negeri ini, memasuki episod baharu apabila beberapa individu terbabit didapati bukan kali pertama ke negara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai, berkata pendedahan itu diperoleh daripada tiga suspek yang kini direman Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, JSJ Sarawak sedang giat mengumpul maklumat dari pelbagai sudut, terutama berkait kegiatan pemerdagangan manusia dan perjudian dalam talian.

“Kami (JSJ) sudah merekodkan keterangan daripada beberapa mangsa dan suspek yang disiasat JSJK.

“Pengumpulan maklumat sedang giat dijalankan kerana didapati ada dalam kalangan 47 mangsa itu pernah beberapa kali ke Kemboja, dan kita mahu melihat apa sebenarnya yang mereka lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuching membabitkan Asisten Komisioner Ng Ah Lek yang bersara dan Superintendan Ismail Mahmud yang akan memangku jawatan berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soon Kuai berkata, siasatan utama kes itu kini dijalankan JSJK Sarawak yang diketuai Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah kerana ia membabitkan penipuan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, JSJ Sarawak turut menjalankan siasatan dari sudut lain yang mungkin boleh membongkar kegiatan pemerdagangan manusia membabitkan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menyambung tempoh tahanan reman terhadap seorang suspek kes berkenaan selama tiga hari, bermula hari ini.

Perintah lanjutan reman itu diluluskan Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan selepas menerima permohonan JSJK Sarawak.



SOON Kuai (tengah) menyaksikan ACP Ng Ah Lek (kiri) bertukar dokumen dengan Superintendan Ismail Mahmood (kanan) di Bilik Mesyuarat, IPD Kuching.-BH Online



Dokumentari terbaru siar dakwaan mangsa deraan seksual Jacko



MENDIANG Michael Jackson. - Foto Reuters

LOS ANGELES: Hampir 10 tahun selepas kematian mengejutnya, legasi Michael Jackson, kembali menjadi tumpuan dalam dokumentari mengenai dakwaan penderaan seks kanak-kanak yang menimbulkan kemarahan penyanyi itu.

‘Leaving Neverland’ memaparkan dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an berkata mereka berkawan dengan Jackson dan didera secara seksual oleh penghibur itu bermula ketika mereka berusia tujuh dan 10 tahun.

Dokumentari itu akan disiarkan menerusi saluran HBO pada 3 dan 4 Mac ini dan di Channel 4 di Britain pada 6 dan 7 Mac.

Keluarga Jackson mengecam filem itu dan waris penyanyi ‘Thriller’ itu memfailkan saman terhadap HBO minggu lalu, menyatakan dokumentari berkenaan melanggar perjanjian pada 1992 bahawa saluran itu tidak akan menghina beliau.

“Michael Jackson tidak bersalah. Noktah,” kata warisnya dalam saman itu.
Bagaimanapun, HBO dalam kenyataannya berkata ia akan terus menyiarkan dokumentari selama empat jam itu dan ‘membiarkan semua orang berpeluang menilai filem berkenaan dan dakwaan di dalamnya’.

Selepas penyiaran itu, HBO akan menyiarkan pula perbuatan dihoskan Oprah Winfrey dengan pengarah dan dua lelaki berkenaan di depan mangsa serangan seksual.

Jackson, yang meninggal dunia pada Jun 2009, dibebaskan pada perbicaraan 2005 di California atas satu dakwaan mencabul berbeza, budak lelaki 13 tahun di kediamannya di California. —Reuters

Proton Iriz terima 367 pembaharuan



DR LI CHUNRONG (tiga, kiri) bersama Naib Presiden Pembuatan Proton, Yoshiya Inamori (tiga, kanan) ketika Majlis Pratonton Media Proton Iriz 2019 di Pusat Kecemerlangan Proton. - Foto Bernama

SUBANG JAYA: Model hatchback terkini,  Proton Iriz yang akan diperkenalkan tidak lama lagi menerima 367 pembaharuan, menyerlahkan gaya sporty dan saling-hubungan.

Pembaharuan bermula dengan reka bentuk luaran yang diberi nafas baharu serta dilengkapi unit stereo pintar sama yang diperkenalkan pada Proton X70.

Model hatchback segmen-B keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) juga model pertama dalam  rangkaian semasa syarikat yang mendapat  sentuhan terkini selepas pengumuman  kerjasama bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding).

Garisan pada Iriz adalah hasil usaha oleh sebuah pasukan yang diketuai oleh Ketua Reka Bentuk PROTON, Azlan Othman, yang  memanfaatkan kepakaran pusat reka bentuk  antara syarikat kumpulan Geely untuk  menghasilkan wajah baharu yang canggih dan  menarik.

Ketika pembentangannya kepada media hari ini, Azlan menjelaskan bahawa model ini direka  untuk menggambarkan kecerdasan dengan  rupa yang sporty, sesuai dengan slogan model  itu iaitu

‘Kepintaran yang Mengujakan’.
Azlan turut menyebut mengenai penggunaan  unsur penggayaan atau styling bagi mewujudkan hubungan visual dengan model Proton yang lain.

Pada rekaan hadapan kereta  ini, terdapat  lampu depan halus yang dipadankan dengan  gril baharu yang menonjol.

Bentuk bar krom diilhamkan melalui reka bentuk "Ethereal Bow", sementara gril radiator  pula mempunyai corak "Infinite  Weave" yang  turut dihiasi logo  Proton.

Terdapat juga bampar depan baharu yang  menyerlah dilengkapi dengan gril radiator bawah yang terkini serta lampu nyalaan siang (DRL) yang menambahkan lagi sentuhan  mewah.

Pada rekaan bentuk bahagian belakang pula, perkataan PROTON kini tampak lebih jelas yang diletakkan pada bahagian tailgate, yang mana sebelum ini dihiasi logo.

Secara visualnya, ia kelihatan lebih lebar, di mana kesan yang lebih ketara pada bampar belakang dengan garisan menegak beserta garisan bampar baharu.

Sentuhan akhir termasuklah pada nama Iriz yang ditaip menggunakan huruf baharu unik, antena sirip yu dan rim aloi dengan reka bentuk bilah yang baharu.

Iriz  2019 adalah model segmen-B pertama di Malaysia yang menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi seperti strim muzik,  sistem navigasi dan pengecaman suara. 

Akses kepada aplikasi ini serta fungsi lain adalah melalui skrin sentuh antara muka bersaiz 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB.

Dengan menggunakan sistem sama yang ada pada Proton X70, Iriz baharu turut dilengkapi dengan sambungan WiFi agar ia boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih atau menyambungkan WiFi dalam jarak jangkauannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li  Chunrong, berkata Proton Iriz diinspirasikan untuk menjadi model pintar, sebelum ia diikuti dengan rangkaian model sedia ada.

"Selepas perasmian Proton X70, Proton Iriz akan menjadi model kedua yang dilengkapi dengan unit stereo pintar dan menggunakan kata laluan yang sama iaitu Hi Proton! bagi  mengakses sistem," katanya.Lebih menarik, PROTON juga akan mengadakan jualan kilat untuk Iriz bermula jam 10 pagi esok hingga 11.59 malam pada 11 Mac ini.

Menerusi jualan kilat ini, pembeli boleh menempah Iriz secara dalam talian dengan hanya RM9.99, malah PROTON turut memberi ganjaran dengan cukai jalan percuma selama dua tahun sebagai tanda penghargaan.

Iriz baharu ditawarkan dengan pilihan lima varian iaitu Standard 1.3 liter (manual), Standard 1.3 liter CVT, Executive 1.3 liter CVT, Executive 1.6 liter CVT dan Premium 1.6 liter.-BH Online

Reman suspek kes tipu pekerjaan 47 rakyat Malaysia di lanjut



 


Tempoh tahan suspek tangkapan pertama penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini, dilanjutkan tiga hari lagi, sehingga 3 Mac.- Gambar Bernama
KUCHING: Tempoh reman seorang suspek tangkapan pertama penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini, dilanjutkan tiga hari lagi, sehingga 3 Mac.

Permohonan lanjutan reman ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu diluluskan Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Permohonan perintah tahanan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada Ahad lepas, untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki itu yang ditahan di rumahnya pada 23 Feb.
Sementara itu, dua lagi suspek kes penipuan pekerjaan berkenaan telah direman selama empat hari sehingga esok.

Suspek lelaki dan wanita tempatan masing-masing berumur 35 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua pada Ahad lepas.

Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kes ini.

Kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak, yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu,  tiba di tanah air dari Kemboja pada 17 Feb lepas. - Bernama 

Mydin Petrajaya tidak akan ditutup



Dr Ameer mengagihkan kupon kepada 600 pelanggan pertama sempena jualan ulang tahun pertama Mydin Petra Jaya hari ini.
KUCHING: Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin),  Datuk Dr  Ameer Ali Mydin yakin cawangan pasar raya besar  Mydin di Petra Jaya dapat bertahan selamanya. 
B
ercakap pada pemberita di Mydin Petra Jaya hari ini, Ameer turut menafikan khabar angin bahawa cawangan pasar raya di Petra Jaya ini bakal ditutup selepas penutupan di CityOne Megamall.
"
Tidak dinafikan bahawa senario ekonomi semasa agak sukar dan banyak peniagaan ditutup. 


"Tetapi saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa kami tidak akan menutup cawangan kami di Petra Jaya," katanya. 

Terdahulu Ameer hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Mydin Petra Jaya sebelum mengagihkan kupon kepada 600 pelanggan pertama di pasar raya tersebut.  

Tambah Ameer, berbeza dengan Mydin CityOne, cawangan di Petra Jaya mempunyai kelebihan untuk bertahan lama kerana ia bangunannya diurus sepenuhnya oleh pihak Mydin. 

Ini membolehkan Mydin tidak terikat dengan mana -mana pihak dalam merancang strategik serta aktiviti promosi untuk menarik kedatangan pengunjung amnya pelanggan. 

Datuk Dr Ameer Ali Mydin
Ameer dalam pada itu berkata buat masa ini tidak mempunyai perancangan untuk membuka cawangan baru di Sarawak dan akan memberi tumpuan kepada dua cawangan sedia ada di Petra Jaya dan Samariang. 

Mydin kini katanya mempunyai 74 cawangan di seluruh negara dengan sebuah lagi bakal dibuka di Sandakan, Sabah pada hujung tahun ini dan dua lagi di Semenanjung Malaysia. 

Sempena ulang tahun pertama Mydin Petra Jaya, pihak pasar raya mengadakan jualan istimewa besar-besaran dengan tema #jual sampey lengis di kedua-dua cawangan bermula hari ini hingga 3 Mac ini. 

Kunjungi Mydin Petra Jaya dan Mydin Samariang sepanjang jualan istimewa empat hari ini dan dapatkan pelbagai barangan pada harga terendah selain peluang sertai pelbagai aktiviti menarik yang diadakan.-Utusan Borneo
 

Facebook bolehkan pengguna padam semua data



SAN FRANCISCO 28 Feb. - Facebook bakal memperkenalkan ciri baharu bagi membolehkan pengguna memadam semua data dalam laman sosial terbabit.

Ketua pegawai kewangan Facebook, David Wehner berkata, syarikat itu akan memperkenalkan ciri baharu berkenaan pada akhir tahun ini.

Wehner mengakui ciri baharu tersebut akan menjejaskan usaha Facebook untuk menyasarkan pengiklanan sekiranya pengguna memadam semua data. - AFP


Papagomo akan didakwa pagi ini



KUALA LUMPUR: EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo akan didakwa di Mahkamah Kajang pagi ini susulan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah dalam satu kenyataan, berkata Papagomo, 36, akan didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 509 kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, hukuman bagi Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan pula, boleh dipenjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Papagomo sebelum ini ditahan dan direman selama tiga hari selepas Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak oleh individu terbabit dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada jam 10.45 pagi, 16 Februari lalu.

Pada 21 Februari lalu iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga pada 20 Februari lalu memaklumkan insiden membabitkan dua individu terbabit lebih kepada salah faham dan bukannya serangan.

Sementara itu, Papagomo menerusi status dimuat naik di akaun Twitter, @Sir_Azri reda dengan pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Dia turut memaklumkan akan hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi bersama isteri dan rakan seperjuangan.

“Saya sentiasa pegang prinsip berani kerana benar dan tidak ada apa yang saya takutkan dengan tuduhan yang dikenakan kepada saya kerana kepada Allah SWT lah saya berserah akan perjalanan yang saya perlu hadap untuk hari-hari mendatang,” katanya.-BH Online

Wanita mengandung dalam ambulans kemalangan di Kuching puji dua jururawat




KUCHING: Wanita mengandung yang terbabit dalam kemalangan ambulans di sini pada Selasa memuji dua jururawat yang mengiringi beliau kerana memberi pekhidmatan terbaik meskipun mereka turut tercedera.

Wanita itu yang dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana darah tinggi, telah melahirkan anak lelaki.

Ibu lima orang anak itu mengimbas betapa profesionalnya kedua-dua jururawat berkenaan dalam perkhidmatan mereka ketika kejadian itu berlaku.

Kata wanita itu, ketika kemalangan yang menakutkan itu, jururawat tersebut melindungi beliau, memperlihatkan sikap profesionalisme tertinggi.

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini pada Selasa, ambulans yang sedang dalam perjalanan ke HUS dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan, dirempuh sebuah SUV dari arah Jalan Green, kira-kira satu kilometer dari HUS.

Rempuhan pada bahagian kiri ambulans itu menyebabkan kenderaan itu terbalik lalu melanggar pembahagi jalan.

Wanita terbabit cedera di kepala, seorang jururawat turut tercedera sementara seorang lagi jururawat dan pemandu ambulans hanya mengalami lebam.

Kami masih berusaha untuk menemu bual dua jururawat terbabit.-SarawakVoice

Bayi lelaki terkecil di dunia dibenar pulang



Gambar ihsan Keio University Hospital Jepun menunjukkan bayi berusia lima hari, yang beratnya 268 gram ketika dilahirkan di hospital di Tokyo. - Foto AFP

TOKYO: Seorang bayi lelaki paling kecil di dunia dan hanya seberat 268 gram semasa dilahirkan, akhirnya dibenarkan pulang selepas sebulan berada di sebuah hospital di Tokyo, kata Hospital Universiti Keio.

Bayi lelaki itu yang dilahirkan menerusi pembedahan caesarean hujung Ogos lalu selepas dia gagal membesar semasa proses kehamilan dan doktor bimbang nyawanya berada dalam keadaan bahaya.

Menurut Dr Takeshi Arimitsu daripada Jabatan Pediatrik School of Medicine, bayi terbabit diletakkan di bawah jagaan rapi sehingga beratnya mencapai 3.2 kilogram sebelum dibenarkan keluar hospital pada 20 Februari lalu.

“Saya bersyukur kerana dia semakin membesar dan secara sejujur tidak pasti sama ada dia dapat hidup lama,” kata ibu bayi itu kepada Reuters.

Menurut pejabat pendaftaran Tiniest Babies yang diuruskan oleh Universiti Iowa, rekod sebelum ini dipegang oleh seorang bayi lelaki di Jerman pada 2009 iaitu seberat 274 gram.

Sementara, bayi perempuan terkecil pula seberat 252 gram dilahirkan di negara sama pada 2015. -Reuters.

Penduduk terjejas limpahan air Sungai Layar dipantau



 


BANJIR KILAT: Henry bersama pegawai dari agensi lain meninjau keadaan air yang memasuki Rh Lempaong.

BETONG: Aliran air Sungai Layar yang mengalir deras dari hulu sungai bertembung fenomena air pasang malam kelmarin di Betong menyebabkan beberapa tempat mengalami banjir kilat.

Keadaan itu memaksa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong serta beberapa agensi penyelamat dan agensi pelaksana yang lain bertindak pantas membantu penduduk yang terjejas limpahan air yang mendadak naik.

Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK1 Henry Jugah memberitahu, hasil makluman penduduk pihak berwajib telah bertindak melakukan pemantauan di kawasan berisiko.

“Kita mendapati kawasan yang terjejas teruk ialah rumah panjang Lempaong sepanjang 10 pintu yang didiami sekitar 50 penghuni apabila air naik kira-kira dua setengah kaki dari paras lantai.

“Setibanya kami sekitar jam 11.50 pagi di tempat kejadian, kami mendapati kawasan dalam rumah telah dimasuki air separas paha,” jelas Henry.

“Air yang mendadak naik memaksa penduduk menyelamatkan barangan kelengkapan rumah mereka termasuk perabot ke ‘sadau’ (tingkat atas) rumah masing-masing.

“Tiada operasi pemindahan dijalankan kerana penghuni rumah panjang tersebut tidak mahu berpindah dan mereka akan tinggal di tingkat atas rumah mereka,” katanya.

Sebelum itu, mereka telah memantau di kawasan rumah panjang Rh Sibat Banyan, Penurin yang terjejas membabitkan 46 pintu dengan 230 penghuni.

Tiada pemindahan mangsa dijalankan berikutan keadaan air sungai yang mulai surut.

Selain itu, di kawasan Terentang Batu 2 1/2 terdapat sebuah rumah terjejas yang dihuni lima sekeluarga.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Layar Horace Entoi dan pegawai Pejabat Pengairan dan Saliran Betong turut hadir.-Utusan Borneo

Fi LKM di Sabah, Sarawak diseragam mulai 1 April




 
PUTRAJAYA: Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan barangan yang didaftarkan dan beroperasi di Sabah dan Sarawak akan diseragamkan menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) bermula 1 April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (gambar). 
Beliau berkata perkara itu dipersetujui oleh jemaah menteri hari ini bagi mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang adil dan kompetitif antara pemilik-pemilik kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak.
Pada masa ini,  kriteria bagi perkiraan fi LKM kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak adalah berbeza iaitu perkiraan LKM di Sabah menggunakan asas Berat Dengan Muatan (BDM) manakala perkiraan LKM di Sarawak pula menggunakan asas  BTM. 
"Ini bermakna, semua transaksi permohonan baharu atau pembaharuan LKM kenderaan perdagangan di negeri Sabah akan menikmati kadar yang baharu mulai 1 April," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Loke berkata penyeragaman itu melibatkan 14 kategori atau kod penggunaan kenderaan barangan di Sabah.

Menurut Loke, perbezaan kadar LKM itu kerap dibangkitkan oleh komuniti perniagaan di Sabah kerana ia menyumbang kepada kos menjalankan perniagaan yang tinggi serta mewujudkan suasana persaingan yang tidak seimbang di antara kedua negeri. 

Sebagai contoh perbezaan kadar fi LKM lori penggerak utama kontena dengan berat yang sama, Sabah yang menggunakan kriteria BDM membayar RM2,478 manakala Sarawak (BTM) hanya dikenakan RM718, katanya.

Beliau berkata asas perkiraan LKM untuk kedua-dua negeri itu juga belum pernah diseragamkan atau diselaraskan semenjak penyatuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenanjung dengan JPJ Negeri Sabah dan Sarawak pada 1984. 

Loke berkata penyeragaman itu akan melibatkan pengurangan kutipan hasil kepada kerajaan dalam lingkungan RM9 juta hingga RM15 juta setahun.

"Langkah ini tidak akan membawa kesan yang terlalu drastik ke atas prestasi kutipan hasil kerajaan atau JPJ. Kutipan hasil daripada sumber fi LKM kenderaan perdagangan barangan barangan di Sabah dan Sarawak hanya mewakili lebih kurang 2.6 peratus daripada keseluruhannya kutipan hasil LKM seluruh negara," katanya.             
Loke berkata penyeragaman itu juga bertujuan mengurangkan ketirisan hasil kepada kerajaan susulan proses pendaftaran kenderaan perdagangan di Sarawak.

“Berdasarkan data 2009 hingga 2014, dianggarkan ketirisan hasil daripada aktiviti pendaftaran kenderaan bermotor di negeri itu berjumlah RM64 juta, justeru penyeragaman tersebut akan memudahkan kawalan dan pemantauan ke atas kutipan hasil kerajaan,” katanya. - Bernama 

Road tax fees in Sabah and Sarawak to be standardised from April 1


 


PUTRAJAYA: The road tax fees for registered commercial goods vehicles in Sabah and Sarawak will be standardised using the kerb weight (BTM) criteria from April 1, said Transport Minister Anthony Loke Siew Fook.

He said the Cabinet agreed to this today in a bid to create a fair and competitive business environment among owners of commercial goods vehicles in the two states.
At present, the criteria used for calculating road tax fee for commercial goods vehicles in Sabah was based on gross vehicle weight (BDM) while in Sarawak it’s based on the BTM, which makes the road tax fee in Sabah higher.
For example, the road tax fee paid for a prime mover container lorry in Sabah using the BDM criteria is RM2,478, while that paid for a vehicle of similar weight in Sarawak is only RM718, he said.
“This means all transactions for road tax applications or renewals for commercial goods vehicles in Sabah will enjoy the new rates from April 1,” he told a press conference here today, adding that the standardisation would involve 14 categories or codes of commercial goods vehicles in Sabah.
The minister said the standardisation would result in the government’s revenue being reduced by RM9 million to RM15 million a year.
“This will not have a drastic effect on the government or Road Transport Department’s (RTD) revenue collection from these two states as they account for only about 2.6 per cent of the total road tax collection nationwide,” he said.
Loke said the standardisation was aimed at reducing the leakage of revenue due to owners in Sabah registering their vehicles in Sarawak.
“Based on data from 2009 until 2014, it is estimated that the revenue leakage of vehicles registered in Sarawak was RM64 million, so the standardisation will simplify the control and monitoring of revenue collection,” he added.– BERNAMA

Dipukul dengan bantal, lelaki balas dengan cekik isteri




 
LIMBANG: Seorang wanita mengalami calar dan lebam di leher dipercayai akibat dicekik suami selain sakit di beberapa anggota badan dalam pertengkaran di sebuah rumah panjang dekat sini  pada Ahad.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa, 18, dan suspek, 22 bertengkar mulut sekitar 11 malam. 

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suami enggan menuruti permintaan mangsa untuk pulang ke rumah ibu bapanya. 

Katanya, suspek mengeluarkan kata-kata kesat sehingga mangsa berasa tersinggung dan terus memukul mulut suaminya menggunakan bantal.
 
"Suspek yang marah kemudiannya terus mencekik leher mangsa dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Akibat kejadian itu mangsa mendapat calar dan lebam di leher kerana di cekik, lebam di paha kanan kerana dihimpit oleh lutut suaminya serta sakit di dada kiri kerana terkena siku suaminya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Bukhori berkata mangsa bagaimanapun hanya membuat laporan pada pukul 7.53 malam pada Selasa. 

"Susulan itu, polis menahan suspek pada pukul 11.50 pagi di sebuah rumah panjang di kawasan Medamit hari ini," katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994.-Utusan Borneo

Anwar persiap diri menjadi PM



KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini giat mendapatkan pandangan dan laporan daripada pelbagai pihak sebagai persiapan untuk menjadi Perdana Menteri kelapan, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan beliau kini lebih kerap bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir mengenai tugas Perdana Menteri bagi memastikan wujud kesinambungan selepas proses peralihan nanti.

“Saya kini mengambil kesempatan mendengar laporan dan pandangan, menemui semua pihak dan mengadakan pertemuan rapi serta kerap dengan Tun Mahathir supaya ada kesinambungan.

“Ada orang salah faham ini (proses peralihan) akan wujud kerajaan baharu. Ini tidak betul. Ini berasaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang sekarang diterajui Tun Mahathir. Kita akan teruskan, cuma mungkin pendekatan dan cara sedikit berbeza tapi pada dasarnya sama.

“Perjanjian itu di antara Perdana Menteri atau pemimpin PH. Ia dibuat sejak Januari tahun lalu, ketika saya masih di penjara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, hari ini.

Mengulas perjalanan kempen PH bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berbaki tiga hari lagi, Anwar berkata, ia berjalan baik termasuk jentera kempen PKR yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Amiruddin Sa’ari.

Ketika ditanya kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Semenyih yang turut mendapat sambutan rakyat, beliau berkata, ia kerana rakyat ‘ingin tahu’ dan mahu melihat perbezaan Najib yang ‘dahulu’ dan ‘sekarang’.

Berkenaan calon PKR bagi PRK DUN Rantau, Anwar berkata, Biro Politik PKR yang berbincang hari ini menerima senarai nama pemimpin PKR untuk menjadi calon termasuk Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram yang pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

“Kita menerima semua pandangan dalam menentukan siapa bakal menjadi calon termasuk cadangan supaya PKR meletakkan calon wanita bertanding dalam PRK DUN Rantau.

“Kita akan bincang dan selepas diputuskan akan diumumkan mengikut proses biasa perlu diumumkan kepada pimpinan PH,” katanya.-BH Online

Kerajaan Sarawak contoh terbaik tunjuk Piagam Madinah  



AMANAT: Abang Johari menyampaikan amanat sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di Kuching, kelmarin.


KUCHING: Kepimpinan Kerajaan Sarawak merupakan contoh terbaik dalam menunjukkan Piagam Madinah, yang mengambil berat kepentingan perpaduan dan kesatuan ummah.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata walaupun di bawah pimpinan orang Islam, namun pentadbiran Kerajaan Sarawak amat mementingkan keadilan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Saya sebagai pemimpin Islam dan rakan-rakan yang lain cuba memberi nikmat bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Dengan itu, kita dapat menjalankan tugas dengan baik dan oleh sebab itu, kita dapat melihat perpaduan antara kaum yang cukup baik di Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Kompleks Islam Sarawak, kelmarin.
Menurut Abang Johari, keadilan yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada masyarakat bukan Islam juga dibuktikan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk kepentingan agama-agama lain.
“Asalkan mereka (orang bukan Islam) mempunyai ajaran agama yang baik dan dapat memahami kita orang Islam dan kita juga memahami mereka, maka Sarawak akan dapat maju dalam keadaan yang begitu bersatu padu dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat Sarawak terus menjaga perpaduan ummah tanpa memecahbelahkan persaudaraan sesama kaum yang terjalin sekian lama.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru umat Islam terus bersatu padu dan harmoni.
“Kita harus menjaga persaudaraan dalam kalangan umat Islam sendiri kerana kalau tiada persamaan antara kita, ia boleh membawa kepada perpecahan.
“Apabila ini berlaku maka umat Islam akan terjejas,” katanya.
Turut hadir Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik Luar Bandar) yang juga bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.-Utusan Borneo

Kanak-kanak perempuan cedera parah dilanggar datuk





Mangsa dibawa ke HUS untuk menerima rawatan
KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan yang mulanya dikatakan sudah meninggal dunia berjaya diselamatkan anggota paramedik selepas diberikan bantuan penafasan (CPR) sebaik tiba di Hospital Umum Sarawak, Selasa.
Me
nurut sumber, kanak-kanak berusia setahun tiga bulan itu mengalami kecederaan parah di kepala selepas disyaki dilanggar datuknya dalam satu insiden di Kampung Sejijak, di sini.


Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sempat mengucapkan selamat tinggal kepada datuknya yang hendak ke tempat kerjanya iaitu sekitar pukul 9.30 pagi.

Difahamkan, mangsa kemudian dilihat masuk ke dalam rumah dan datuknya terus menghidupkan enjin kereta jenis pacuan empat roda (4WD) miliknya.

“Bagaimanapun semasa baharu memulakan perjalanan, tiba-tiba si datuk yang merasakan seperti melanggar sesuatu di bawah keretanya kemudian terus keluar dan terkejut melihat cucunya dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah kereta.

“Si datuk kemudian segera mengangkat cucunya itu dan bersama-sama ahli keluarga yang lain terus mengejarkannya ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Setakat petang Selasa, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di Wad Pediatrik, Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) di HUS.-Utusan Borneo

Dadah Dua termasuk remaja perempuan dicekup di Limbang




Dadah yang ditangkap dalam operasi pada Selasa.
LIMBANG: Polis menahan dua individu termasuk seorang remaja perempuan yang disyaki terlibat dalam urusan jual beli dadah di sebuah pondok kecil di sebuah kampung, Jalan Kubong pada Selasa. 

Suspek, 15 dari sebuah rumah panjang di Jalan Kubong ditahan bersama seorang lelaki, 41 dari Kampung Sungai Poyan dalam operasi sekitar 1.30 tengah hari. 

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai 10 peket plastik lutsinar yang berisi bahan disyaki dadah syabu yang diletak di atas meja dalam pondok itu.


"Dadah seberat 10.11 gram bernilai RM 1,500 itu dirampas dalam operasi itu. Kita percaya berlaku urusan jual dan beli dadah di dalam pondok berkenaan," ujarnya hari ini.

Mohd Bukhori berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

Difahamkan, suspek lelaki juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan  Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.-Utusan Borneo
 

Salah faham pesanan makanan, 5 lelaki serang restoran, pekerja





Stanley melawat premis restoran hari ini.
SIBU: Akibat tidak puas hati dengan makanan yang dihidang tidak seperti yang dipesan, sekumpulan lelaki bertindak merosakkan pelbagai barangan sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini, Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, lima lelaki yang berumur antara 18 hingga 31 tahun itu ditangkap sejurus laporan diterima berhubung kejadian. 

Katanya, kejadian pukul 9.30 malam itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara pelayan restoran dengan suspek berhubungan pesanan makanan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati tiga suspek lelaki dipercayai berada dalam pengaruh alkohol ketika bertindak merosakkan barang barang di dalam premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemilik restoran, 56, yang dimaklumkan oleh pekerjanya mengenai kejadian itu bergegas ke restoran sebelum mendapati semua meja, kerusi, peti sejuk, dinding dan bahagian kaunter juruwang dirosakkan sehingga menyebabkan kerugian anggaran RM20,000.

"Seorang pekerja lelaki mengalami kecederaan di bahagian muka dipercayai dipukul dengan penyapu," katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga mendapati dua lagi suspek turut terlibat bersama merosakkan barangan.

"Pihak polis yang bertindak atas maklumat telah berjaya mengesan dan menangkap semua suspek terbabit," katanya dan menambah sebatang penyapu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera.

Kesemua lima suspek ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan.-Utusan Borneo

Bas elektrik pertama Sarawak beroperasi di Kuching mulai 1 Mac





Abdul Karim (gambar sisipan) bersama tetamu kehormat lain menunjukkan isyarat bagus ketika merakam kenangan di dalam bas elektrik pertama di Sarawak hari ini.

KUCHING: Bas elektrik yang pertama di Sarawak akan mula beroperasi pada 1 Mac nanti, dengan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada orang ramai termasuk pelancong di bandar raya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebagai percubaan, tiada tambang dikenakan kepada penumpang selama tiga bulan.

“Untuk permulaan, kita menggunakan sebuah bas dahulu dan sesiapa sahaja boleh menumpangnya secara percuma sama ada orang tempatan atau pelancong,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Pelepasan Bas Bandar Elektrik CRRC di Kompleks

Mahkamah Lama, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata jadual perjalanan bas elektrik tersebut bermula 7 pagi dari perhentian utama di Open Air Market di Jalan Power dan akan berhenti di setiap 25 perhentian yang ditetapkan di sepanjang laluan sehingga pukul 6 petang.

Perhentian-perhentian tersebut adalah kawasan Jambatan Darul Hana, Muzium Sejarah Cina, Tebingan Kuching, Jalan Abell, Padungan, Ang Cheng Ho, MBKS, iCom Square, Jalan Pending, Taman Rekreasi MBKS, SJK(C) Chung Hua No.3, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, The Hills, Hotel Riverside Majestic, Main Bazaar, Pejabat Pos Besar Kuching, Muzium Sarawak, Wisma Satok @ Jalan Satok, Pusat Komersial Al-Idrus, Wisma ASSAR, Jambatan Satok, Jalan Kulas dan Jalan Haji Taha.


“Laluan yang dikenal pasti untuk perjalanan bas ini sangat menarik, yang merangkumi seluruh kawasan warisan di bandar raya Kuching sehingga ke iCom Square dan Satok,” katanya.

Abdul Karim juga berkata sekiranya perkhidmatan bas elektrik itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat dalam sepanjang tempoh percubaan, maka tempoh perkhidmatan percuma mungkin diteruskan kepada satu tahun atau menambah sebuah lagi bas seumpamanya.

“Ini adalah permulaan untuk kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di bandar raya ini, lebih-lebih lagi bas elektrik ini adalah mesra alam,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan HENZ Pacific Sdn Bhd selaku pengendali operasi bas elektrik tersebut, Henry Lai berkata ia menawarkan perkhidmatan yang mesra penumpang kerana turut menyediakan ruang untuk kerusi roda untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Lebih menarik, katanya penumpang boleh menikmati perkhidmatan WiFi percuma tanpa had yang disediakan oleh Digi termasuk mempunyai sistem kawasan kandungan penyiaran, dilengkapi lima kamera litar tertutup (CCTV), video kiraan penumpang serta Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan orang ramai mengesan
kedudukannya.

“Untuk mendapatkan perkhidmatan bas ini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Kuching Metro yang kini boleh didapati di iOS dan Android,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr. Jerip Susil, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor.-Utusan Borneo

KPDNHEP Bintulu rampas 1,370 liter petrol



 


Salihin (dua dari kanan) bersama-sama pegawai penyiasat KPDNHEP Bintulu, menunjukkan enam tong petrol yang dirampas dari suspek pagi tadi.
BINTULU: Bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merampas 1,370 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM2,849 daripada seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Batu 5, Jalan Bintulu-Miri, hari ini.
Ketua KPDNHEP Bintulu Salihin Den berkata, lelaki yang merupakan operator kantin di sebuah ladang sawit di sini ditahan semasa sedang mengisi minyak petrol ke dalam tong sekitar pukul 7 pagi. 


"Pemeriksaan yang pegawai kita jalankan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai permit khas bagi mendapatkan bekalan petrol itu dalam kuantiti yang banyak," ujarnya. 

Katanya, lelaki yang dipercayai mahu menjual semula minyak petrol itu di kawasan ladang, dan enam tong minyak serta kereta pikap dirampas untuk membantu siasatan.

Kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM 1 juta atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.-Utusan Borneo

Suspek pecah masuk rumah sarang burung cedera ditembak



 


SIBU: Seorang dari tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah sarang burung walet di sini cedera apabila terkena tembakan dalam satu kejadian di Sungai Apong, Lebaan dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 5 pagi, pemilik rumah sarang burung, 54 tahun dihubungi adik iparnya yang memaklumkan alat penggera di rumah berkenaan berbunyi, dipercayai akibat dipecah masuk.

Mereka berdua yang bergegas ke tempat kejadian mendapati tiga orang lelaki sedang melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, tembakan itu dilepaskan oleh pemilik rumah sarang burung berkenaan, 54 tahun, selepas suspek cuba menyerangnya.

"Pemilik dan adiknya cuba mengesan tiga suspek yang telah melarikan diri di kawasan semak dan berjaya menemui seorang lelaki."Suspek cuba menyerang pemilik dengan tukul dan pemilik melepaskan satu das tembakan ke arah kaki suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 


Stanley berkata suspek yang mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak, ditangkap oleh penduduk rumah panjang sebelum diserahkan kepada polis. 

Menurutnya, seorang lagi suspek berjaya dikesan oleh pemilik sarang burung setelah terdengar bunyi kocakan air di kawasan paya berhampiran dan berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk kampung.

"Suspek ketiga berjaya meloloskan diri dan identiti suspek telah dikenal pasti. Polis sedang memburu suspek," katanya.

Katanya, polis telah mengambil selaras senapang patah, kelongsong peluru dan salinan lesen senjata api dari pemilik rumah sarang burung.

Polis turut merampas peralatan dipercayai untuk mencuri sarang burung serta beg daripada suspek, katanya lagi.

Stanley berkata, siasatan polis juga mendapati rumah sarang burung tersebut telah dipecah masuk pencuri sebanyak lima kali sebelum ini.

"Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 511/457 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan cubaan Pecah Rumah dan Curi," tambah beliau.-Utusan Borneo

Produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM1.07 juta dirampas di Sibu





 KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) telah merampas beberapa jenis produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM1.07 juta dalam satu serbuan di Sibu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim (gambar), bertindak atas risikan dan aduan yang diterima Seksyen Penguatkuasaan Farmasi Bahagian Sibu, serbuan itu dibuat di sebuah premis di bandar Sibu pada 18 Februari.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui lebih 35 ribu kotak kosmetik yang tidak bernotifikasi.

"Kesemua kosmetik tersebut dipercayai dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Jamilah berkata, pihak CPF sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua yang terlibat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan.

Katanya, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual kosmetik-kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Jabatan turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok kosmetik ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan kosmetik tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk menyemak status notifikasi sebelum membeli sesuatu kosmetik.

Orang awam juga boleh menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. 

Jelasnya, kosmetik yang bernotifikasi mempunyai nombor notifikasi yang bermula dengan huruf 'Not', diikuti sembilan digit nombor dan diakhiri dengan huruf 'K.

Orang ramai turut digalakkan untuk melaporkan serta menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana kosmetik yang meragukan sebagai tindakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras pengimportan dan penjualan kosmetik yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.  

Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my ataumelalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my. 

Orang ramai juga boleh menghubungi cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan juga melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan kosmetik berkenaan di pasaran.-Utusan Borneo
 

Beberapa jalan di Kuching ditutup petang, malam 1 Mac




KUCHING: Jalan Masjid Bahagian / Jalan Market, Jalan Lebuh Jaya dan Jalan Khoon Hun Yeang akan ditutup sementara bermula jam 4.30 petang hingga 10.30 malam pada 1 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek dalam satu siaran media berkata, penutupan dan lencongan jalan ini dilakukan sempena Majlis Perasmian Masjid India Bandar Kuching.

“Majlis perasmian ini akan diadakan pada 1 Mac (Jumaat) bermula jam 6 petang dan dijangka berlanjutan sehingga jam 10.30 malam di sekitar Jalan Gambier,” katanya dalam siaran media, hari ini.

Menurut Ng, Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg serta menteri-menteri kabinet Sarawak dan tetamu jemputan lain akan menghadiri majlis perasmian berkenaan.

“Bagi memastikan program yang telah dirancang oleh jawatankuasa induk majlis ini berjalan lancar dan selamat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan disekitar lokasi sambutan,” katanya.

Bagaimanapun, keperluan penutupan dan lencongan jalan ini bergantung kepada keadaan semasa yang difikirkan sesuai berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pegawai polis trafik bertugas agar tidak menganggu penggunaan jalan raya lain.

Justeru katanya, orang awam yang ingin menghadiri dan menyaksikan majlis sambutan dinasihatkan meletak kenderaan di sepanjang kiri Jalan Main Baazar atau tempat letak kereta Poliklinik, Jalan Masjid.

Ng menambah, semua petak letak kenderaan disepanjang kiri Jalan Gambier akan dikosongkan bermula jam 4.30 petang bagi memberi ruang kepada perjalanan program ini.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana orang awam yang mengingkari arahan Pegawai Polis yang bertugas,” katanya sambil memberitahu dianggarkan majlis berkenaan dikunjungi kira-kira 3,000 orang.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah Kuching di talian 082-221222

Polis tahan lelaki, rampas dadah RM2,000 di Sibu Jaya





SIBU: Polis menahan seorang penganggur yang berusia 40 tahun dan merampas sejumlah dadah di kawasan perumahan Sibu Jaya, di sini pada Isnin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, pasukan diketuai Ketua Polis Balai Sibu ASP Johnson Nuing membuat tangkapan itu selepas menjumpai dadah, dipercayai methamphetamine, ketika membuat pemeriksaan terhadap lelaki tersebut sekitar 1.30 tengah hari. 

"Pemeriksaan badan dilakukan oleh pihak polis menjumpai satu bekas tin, yang di dalamnya terdapat pelbagai peket plastik lutsinar yang mengandungi pepejal kristal disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koo berkata, suspek bersama dadah dengan berat kasar 18.1 gram dianggarkan bernilai RM2,000 yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Siasatan Narkotik untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.-Utusan Borneo

Bicara kes saman Rosmah ditangguh sementara tunggu pengesahan polis

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan sehingga pihak polis mengesahkan status 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta yang didakwa dihantar syarikat berkenaan kepada isteri bekas perdana menteri itu.


Peguam N. Rajivan, yang mewakili Rosmah berkata, perbicaraan kes saman itu yang dijadualkan pada 4 dan 5 Mac ini dilapangkan selepas Peguam Kanan Persekutuan (SFC) S. Narkunavathy, yang mewakili kerajaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rampasan barang kemas itu masih dalam siasatan pihak polis.

“Pihak polis juga tidak dapat mengesahkan status 44 unit barang kemas itu buat masa sekarang sehinggalah siasatan dapat diselesaikan pada Mei ini,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin, di sini hari ini.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Superintendan Foo Wei Min dalam afidavit sokongan yang diikrarkan sebelum ini menyatakan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa kesemua 44 unit barang kemas berkenaan adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dirampas pihak polis.

Rajivan berkata, jika hasil siasatan mendapati 44 unit barang kemas itu berada dalam jagaan pihak polis, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman berkenaan.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham, yang bertindak bagi pihak syarikat pemborong barangan kemas di Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkata mahkamah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Narkunavathy mengenai proses siasatan pihak polis berhubung barang kemas terbabit.

“Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes,” kata peguam itu.

Pada 14 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain memohon perintah supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta). – BERNAMA

Reka bentuk jalan akan dikaji semula



 


KUCHING: Reka bentuk jalan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak mengalami mendapan dan runtuh pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, langkah itu mesti diambil berikutan kejadian mendapan dan tanah runtuh di Kilometer 13.2 Jalan Pakan-Engkamop awal pagi kelmarin (Ahad) akibat hujan yang turun sejak beberapa hari.

“Sebahagian daripada sebab ia runtuh mungkin kerana reka bentuk yang lemah dan sebahagiannya hujan lebat.

“Apapun (sebabnya), kita perlu melihat kepada infrastruktur dengan berhati-hati dan jurutera-jurutera perlu melihat dan mengkaji ia semula, terutama reka bentuknya supaya ia tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Sarawak bersama Ketua Menteri di sebuah hotel di sini, semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata ‘hujan mari, tanah lari’ tidak seharusnya dipersalahkan atas kejadian yang berlaku di Pakan.

“Persoalannya ialah reka bentuk (jalan) perlu dibuat dengan betul-betul. Saya fikir jurutera-jurutera di Sarawak dan Malaysia mesti melihat perkara ini dengan serius kerana ia boleh menyebabkan kemalangan maut,” ujarnya.

Tambahnya sebagai menteri bertanggungjawab, beliau akan memastikan Jalan Pakan-Engkamop (Kilometer 13.2) akan dibaiki dengan sebaiknya.

Pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu, jurang dan gaung sedalam 20 meter dan 50 meter lebar terbentuk menyebabkan jalan terbabit terputus dan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan.

Situasi itu menyebabkan sebuah pacuan empat roda dinaiki dua penduduk tempatan, seorang pemandu dan seorang penumpang terbabas ke arah runtuhan, bagaimanapun kedua-duanya selamat.

Ekoran itu lebih 2,000 penduduk dari 20 rumah panjang di kawasan terbabit termasuk pelajar dari tujuh sekolah rendah di situ terputus hubungan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin kejadian tanah runtuh itu berlaku disebabkan takunan air tidak keluar sehingga membentuk kolam.

“Hujan lebat tanpa henti beberapa hari lalu turut menjadi penyebab berlakunya masalah ini,” kata Nicholas.-Utusan Borneo

Wang palsu: Bekas askar dipenjara dua tahun



 


Shahmi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan memiliki 55 keping wang kertas palsu. 

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman dua tahun penjara terhadap seorang bekas askar yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 55 keping wang kertas palsu berjumlah RM4,000.

Hakim Caroline Bee Majanil yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh, Abdul Shahmi Syaiq, 29, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditahan, 16 Februari 2019.

Mengikut pertuduhan pindaan yang dibacakan, Shahmi didakwa memiliki 55 keping wang kertas palsu berjumlah RM4,000 pada 15 Februari, kira-kira pukul 9.46 malam di sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit dengan kesalahan.

Tertuduh yang berkhidmat sembilan tahun dalam angkatan tentera, ditahan 16 Februari lalu selepas membuat laporan polis membabitkan pengeluaran wang kertas palsu. 

Siasatan polis mendapati tertuduh menipu dengan mendakwa mengeluarkan wang palsu RM4,000 dari mesin pengeluaran wang (ATM) di sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor pada 15 Februari. 

Setelah membuat pengeluaran wang tersebut, tertuduh menyerahkan wang kepada tunangnya sebagai perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 30 Mac depan. 

Curiga dengan keaslian wang itu, tunangnya kemudian memberitahu keluarganya dan tertuduh dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Namun tindakannya itu mengundang padah dan tertuduh mendedahkan telah menghasilkan wang RM4,000 itu menggunakan mesin pencetak pada awal bulan ini.-Utusan Borneo

Empat pelajar universiti disyaki edar dadah ditahan





KUCHING: Empat pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mungkin berdepan hukuman mati apabila diberkas bersama sejumlah dadah disyaki ganja dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Sungai Cina, di sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Sahar Abd Latif berkata ketika serbuan dibuat sekitar 9.34 malam, kesemua empat susupek
berada di bahagian dapur rumah berkenaan.

Dalam serbuan itu katanya, polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 264.41 gram dan satu anak pokok dipercayai pokok ganja setinggi kira-kira 10 sentimeter.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu botol plastik yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 33.69 gram.

“Dua lagi ketulan mampat dianggarkan 76.49 gram juga disyaki ganja ditemui di dalam satu tin dan tujuh lagi paket plastik juga masing-masing berisi dedaun kering dengan berat 154.23 gram disyaki ganja ditemui dalam satu kotak.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas satu anak pokok disyaki pokok ganja serta alat pengisar bersama satu alat penimbang digital,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sahar memberitahu siasatan awal turut mendapati kumpulan berempat itu mula terlibat kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini di sekitar kawasan Matang.

Menurutnya, saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC).

Kesemua suspek berusia 21 hingga 24 tahun kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.-Utusan Borneo

12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kementerian Pendidikan digesa untuk mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.


Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Mustapa Ali mendakwa, hal itu kerana terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.

“Dalam format dua syif yang terbahagi kepada petang dan malam, empat pengawal akan bertugas setiap hari tetapi format tiga syif terbahagi kepada pagi, petang serta malam, hanya tiga pengawal keselamatan bertugas setiap hari.

“Kita menggaji kira-kira 40,000 pengawal keselamatan untuk mengawal 12,000 sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan format tiga syif ini sudah tentu memberi kesan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung isu pengurangan tempoh syif bekerja bagi kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan secara drastik oleh Kementerian Pendidikan di Hotel Holiday Villa dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PKIM, Datuk Seri Ramli Yusuf dan Pengerusi PKIM Perak, Shah Jahankhir Hameed.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, format tiga syif setiap hari turut menyebabkan gaji pengawal keselamatan sekolah menjadi lebih kecil (RM1,100 sebulan) berbanding format dua syif setiap hari (RM2,200 sebulan) yang diguna pakai sebelum ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia cuba menghubungi Kementerian Pendidikan menerusi pegawai medianya berhubung isu ini tetapi setakat pukul 5 petang tadi masih belum ada sebarang maklum balas diterima. - UTUSAN ONLINE

Wanita mengandung masih menerima rawatan di unit kecemasan HUS - Polis




Keadaan di lokasi kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce hari ini.

KUCHING: Wanita mengandung yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah ambulan dan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS). 

Difahamkan mangsa, 40 tahun, yang berasal dari Kampung Nakong, Samarahan dirujuk ke HUS dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan kerana kandungan gula di dalam darahnya tinggi.

Mangsa yang hamil 37 minggu itu difahamkan, akan dimasukkan ke wad bersalin HUS sebaik sahaja keadaannya stabil.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala manakala kecederaan lain belum dapat dipastikan. 

"Akibat dari kemalangan, seorang jururawat dan seorang pemandu ambulan tidak cedera, manakala seorang jururawat mengalami cedera ringan pada bahagian pipi sebelah kiri.

"Pesakit di dalam ambulan tersebut masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata dalam kejadian sekitar 9.30 pagi itu, ambulans yang bergerak lurus melalui Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menuju HUS tiba-tiba dilanggar oleh sebuah SUV yang datang dari Jalan Green.

Katanya, impak kemalangan menyebabkan ambulans terbalik ke bahu kanan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Utusan Borneo

Operasi Rabies Sarawak 1 hingga 10 Mac ini





Uggah bersama yang lain melihat peta Sarawak yang menunjukkan kawasan wabak rabies di negeri ini selepas sidang media mengenai Operasi Rabies Sarawak hari ini. 

KUCHING: Projek perintis Operasi Rabies Sarawak akan diadakan pada 1 Mac ini melibatkan daerah Bau dan Lundu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi yang akan berlangsung selama 10 hari dijalankan selaras dengan pengisytiharan wabak rabies sebagai bencana tahap dua mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 11 Januari 2019.
"
Mesyuarat penyelarasan rabies bilangan empat hari ini adalah khusus untuk menyelaras projek perintis Ops Rabies Sarawak yang akan bermula 1 hingga 10 Mac 2019 di Daerah Bau dan Lundu.

"Saya ingin menekankan ini adalah projek perintis dan kalau ia berjaya kita akan perluaskan ke daerah lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Pembanterasan Rabies di Bilik Gerakan, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku komander operasi termasuk beberapa agensi lain.

Agensi-agensi berkenaan ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Beliau menegaskan walaupun operasi ini melibatkan polis dan tentera, senjata api tidak akan digunakan untuk menghapuskan anjing yang disasarkan sebaliknya menggunakan kaedah biasa.

Sepanjang operasi itu juga katanya, sekatan jalan akan diadakan khususnya di sempadan negara bagi mencegah kemasukan anjing yang tidak disahkan statusnya ke negeri ini.

Uggah berkata Daerah Bau dan Lundu dipilih untuk projek perintis itu kerana terdapat kawasan bandar dan perkampungan di dua daerah tersebut.

"Di kampung budaya dan cara hidup anjing berbeza dengan anjing yang berada di bandar oleh itu strategi operasi perlu diadaptasi dengan melibatkan penyertaan penduduk setempat.

"Pejabat Daerah Bau dan Lundu telah diarah melibatkan penduduk setempat supaya mereka memahami operasi ini," ujarnya.

Beliau berkata objektif operasi tersebut ialah memastikan seratus peratus anjing di kawasan operasi disuntik dengan vaksin anti rabies dan ketika ini hanya 50 peratus daripada populasi anjing di situ sudah diberi suntikan.

Objektif kedua operasi tersebut katanya ialah mensasar untuk menghapuskan anjing terbiar atau tidak bertuan di daerah Bau dan Lundu.

"Justeru kita memohon ahli-ahli masyarakat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa operasi dijalankan, anjing peliharaan hendaklah disimpan dalam kawasan masing-masing dan jangan melarikan anjing dari kawasan operasi.

"Saya juga meminta kerjasama semua pihak agar memberi bekerja sama dengan agensi-agensi terlibat dalam mengenal pasti anjing terbiar atau lepas bebas," katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud dan Pegawai Turus Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Superintenden Ang Seow Aun.-Utusan Borneo

Kadet bomba cuba selamatkan rakan hanyut ditemui lemas




KANOWIT: Mayat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang lemas ketika cuba menyelamatkan rakan-rakannya yang hanyut dalam perahu di Sungai Kanowit ditemukan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahaman Chik berkata mangsa dikenali sebagai Carlos Paae, 15 tahun yang merupakan anggota Kadet Bomba dijumpai terapung di Nanga Engkeriring oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 8.10 pagi.

"Pasukan SAR melaporkan telah menjumpai mayat terapung dengan hanya berseluar dalam pada jarak 15 kilometer dari Pos Kawalan Bomba di Rh Tony pada pukul 8.10 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke jeti Rh Tony sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, ibu bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai penemuan itu telah pergi ke Hospital Kanowit untuk membuat pengecaman. Mereka mengesahkan mayat yang dijumpai ialah anak mereka.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kanowit ASP Faizal Nawi ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa dan operasi SAR Hari ketiga telah ditamatkan sejurus selepas itu.

"Operasi hari ketiga yang bermula pukul 7.00 pagi tadi disertai oleh polis, bomba dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) bersama orang awam tertumpu di kawasan Sungai Kanowit melibatkan keluasan pencarian tiga hingga empat kilometer ke hilir sungai," katanya ketika dihubungi.

Pada pukul 2.00 petang Ahad lalu, mangsa bersama seorang rakan cuba menyelamatkan tiga rakan mereka yang hanyut dalam perahu kerana tidak pandai berkayuh.

Dalam kejadian itu, mereka berdua yang dikatakan berada di tebing cuba berenang ke arah perahu namun dihalang arus deras.

Rakan mangsa berjaya berenang ke tebing manakala Carlos terus tenggelam dibawa arus dan tenggelam.

Tiga sekawan yang berada di dalam perahu itu kemudian diselamatkan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan tersebut.-Utusan Borneo

Tak serik melakukan jenayah, penganggur ditangkap lagi

 


 


KUCHING: Tidak serik walaupun pernah ditangkap atas beberapa kesalahan jenayah termasuk empat kes samun berkumpulan, seorang penganggur sekali lagi ditahan kerana disyaki merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit.

Menurut sumber, suspek berusia 30 tahun dan berasal dari Taman Bako Indah itu ditangkap di Sejingkat Sentral di Demak Laut kira-kira pukul 11.40 malam pada Ahad.

“Terdahulunya suspek sekitar 5.30 petang hari yang sama dengan bersenjatakan pisau dan bertopi keledar telah melarikan lima telefon bimbit dari sebuah premis di Emart, Matang.

“Pemilik premis telah membuat laporan polis yang kemudian membawa kepada penangkapan suspek beberapa jam kemudian,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden
Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut yang dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Suspek tidak mengaku melakukan kes (rompak) tersebut dan mendakwa dia telah meminjamkan motosikalnya kepada seorang rakan yang sama pernah masuk penjara tetapi tidak mengenali namanya,” kata Aidil.

Polis turut merampas sebuah motosikal dan topi keledar untuk membantu siasatan lanjut.-Utusan Borneo

Kontraktor mesti patuhi piawaian, siap projek ikut jadual

MIRI: Semua kontraktor terbabit kerja menaik taraf sekolah usang di negeri ini, perlu mematuhi piawaian dan spesifikasi kerja ditetapkan kerajaan, sekali gus menyiapkan projek mengikut jadual.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, berkata ia penting bagi memastikan kualiti kerja yang terbaik dan pelajar mendapat manfaat daripada projek menaik taraf sekolah berkenaan.

Justeru, beliau berkata, kontraktor terbabit harus memiliki tahap disiplin tinggi dan keupayaan serta bertanggungjawab menyempurnakan projek itu.

“Dalam setiap kontrak, mereka perlu menyiapkan projek tepat pada waktunya. Adalah kewajipan mereka untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.

“Rakyat Sarawak, terutama pelajar, tidak boleh menunggu terlalu lama dan mereka memerlukan sekolah untuk meneruskan pendidikan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ting berkata, langkah Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM100 juta bagi kerja pembaikan 33 sekolah usang di Sarawak adalah wajar.

Mengenai keputusan Jemaah Menteri meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan akan digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di negeri ini pula, beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan sejak tahun lalu.

Katanya, langkah itu diharap dapat memastikan semua sekolah usang di Sarawak memperoleh manfaat daripada peruntukan besar berkenaan.BH Online

Pesawat MAS mendarat cemas di Jambi

PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) MH 724 melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Thaha, di sini malam semalam. -AGENSI

JAMBI 26 Feb. - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 724 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Thaha, di sini malam semalam kerana mengalami masalah teknikal.

Portal Detik.com melaporkan, Pengurus Besar Angkasa Pura II Jambi, Yogi berkata, pesawat ke Kuala Lumpur dari Jakarta itu mendarat cemas kerana masalah teknikal.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kejadian tersebut bukan dalam bidang kuasanya.

“Pesawat itu mendarat pada pukul 9.50 malam di lapangan terbang Jambi. Juruterbang telah memohon untuk membuat pendaratan cemas dan pihak lapangan terbang telah menyediakan keperluan.

“MH724 membawa 120 penumpang dan tujuh krew kabin itu bagaimanpun meneruskan penerbangan pada pukul 1.59 pagi tadi,” katanya yang dipetik daripada Antara hari ini.

Katanya, pihaknya telah menguruskan dengan Jabatan Imigresen, Kuarantin dan Kastam kerana terdapat kemungkinan pesawat tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan. -AGENSI

Lelaki dicekup sehari selepas samun kedai 24 jam





KUCHING: Seorang lelaki berusia 31 tahun dicekup sehari selepas menyamun sebuah kedai 24 jam di Jalan Gambier di sini pada Ahad.

Bertindak atas maklumat, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching membuat tangkapan itu pagi tadi di kawasan Lebuh India, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Kuching esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Polis sedang giat mengesan rakan suspek yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek tersebut positif dadah.

Dalam kejadian awal pagi itu, suspek yang bersenjata tajam telah masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengancam penjaga kedai, sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM300 bersama rakannya yang menunggu di motosikal di luar kedai.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Ng pada masa sama menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama mencegah jenayah samun yang mengancam ketenteraan awam.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat terutamanya mengenai suspek-suspek yang dikehendaki polis melalui talian 082-244444 atau berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.-Utusan Borneo

PGA Sarawak temui pacuan empat roda curi di laluan sempadan Malaysia-Indonesia



SERIAN: Pemerhatian dan tindakan cekap sepasukan anggota Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am Sarawak berjaya menyelamatkan sebuah pacuan empat roda daripada dilarikan ke negara jiran di sempadan Malaysia-Indonesia di sini awal pagi tadi.

Pegawai Memerintahnya, Superintendan Rosdi Inai berkata, kenderaan tersebut ditemui oleh seorang pegawai dan tujuh anggotanya sekitar jam 2.00 pagi ketika sedang melaksanakan rondaan rutin Op Batas Risik di Kampung Melikin.

“Siasatan awal kita mendapati pacuan empat roda jenis Isuzu berwarna biru itu telah disembunyikan di laluan tersebut, sementara menanti untuk dibawa ke seberang.

“Pasukan serbuan telah melakukan intipan dan menanti lebih dua jam, namun tiada sesiapa yang muncul untuk mengambil kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Katanya lagi, semakan nombor pendaftaran pula mendapati kenderaan ini dilaporkan hilang di Sungai Merah (Sibu) pada 15 Februari lalu.

“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM40,000 telah diserahkan kepada Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.

Rosdi turut merayu agar masyarakat sempadan memberi kerjasama penuh dan maklumat kepada pihak polis dalam menangani jenayah rentas sempadan di negeri ini.-SarawakVoice



PGA Sarawak tumpaskan cubaan seorang lelaki seludup senapang angin di ICQS Tebedu


SERIAN: Sepasukan anggota Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak pada Ahad berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk menyeludup masuk selaras senapang angin ketika melalui pintu masuk Kompleks ICQS Tebedu, di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-11, Superintendan Rosdi Inai berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 4.50 petang ketika anggota yang bertugas membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau yang dipandu rakyat tempatan sedang memasuki sempadan Malaysia dari Indonesia.

“Ketika melakukan pemeriksaan di bawah karpet bonet belakang kenderaan tersebut, pasukan menemui satu bungkusan plastik hitam berbalut pita pelekat putih yang mencurigakan.

“Setelah dibuka, terdapat selaras senapang patah yang telah dileraikan, selain dua bungkusan putih dan hitam yang mengandungi 13 kotak, dan enam botol kecil berisi peluru palet senapang angin.

Susulan penemuan tersebut katanya, pihaknya telah menahan lelaki terbabit, yang berusia 33 tahun dari Kampung Sikong, Jalan Penrissen di sini.

“Pihak kita turut merampas kenderaan yang dianggarkan bernilai RM14,000 selain senapang angin bernilai RM2,000.

“Turut disita 12 kotak air rifle pellets jenama ‘Superdome’ yang dianggarkan bernilai RM500, selain sepasang seragam Rela.

Suspek dan semua rampasan katanya, telah diserahkan kepada Balai Polis Tebedu manakala kes disiasat di bawah Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.-SarawakVoice


RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...