Fi LKM di Sabah, Sarawak diseragam mulai 1 April




 
PUTRAJAYA: Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan barangan yang didaftarkan dan beroperasi di Sabah dan Sarawak akan diseragamkan menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) bermula 1 April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (gambar). 
Beliau berkata perkara itu dipersetujui oleh jemaah menteri hari ini bagi mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang adil dan kompetitif antara pemilik-pemilik kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak.
Pada masa ini,  kriteria bagi perkiraan fi LKM kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak adalah berbeza iaitu perkiraan LKM di Sabah menggunakan asas Berat Dengan Muatan (BDM) manakala perkiraan LKM di Sarawak pula menggunakan asas  BTM. 
"Ini bermakna, semua transaksi permohonan baharu atau pembaharuan LKM kenderaan perdagangan di negeri Sabah akan menikmati kadar yang baharu mulai 1 April," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Loke berkata penyeragaman itu melibatkan 14 kategori atau kod penggunaan kenderaan barangan di Sabah.

Menurut Loke, perbezaan kadar LKM itu kerap dibangkitkan oleh komuniti perniagaan di Sabah kerana ia menyumbang kepada kos menjalankan perniagaan yang tinggi serta mewujudkan suasana persaingan yang tidak seimbang di antara kedua negeri. 

Sebagai contoh perbezaan kadar fi LKM lori penggerak utama kontena dengan berat yang sama, Sabah yang menggunakan kriteria BDM membayar RM2,478 manakala Sarawak (BTM) hanya dikenakan RM718, katanya.

Beliau berkata asas perkiraan LKM untuk kedua-dua negeri itu juga belum pernah diseragamkan atau diselaraskan semenjak penyatuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenanjung dengan JPJ Negeri Sabah dan Sarawak pada 1984. 

Loke berkata penyeragaman itu akan melibatkan pengurangan kutipan hasil kepada kerajaan dalam lingkungan RM9 juta hingga RM15 juta setahun.

"Langkah ini tidak akan membawa kesan yang terlalu drastik ke atas prestasi kutipan hasil kerajaan atau JPJ. Kutipan hasil daripada sumber fi LKM kenderaan perdagangan barangan barangan di Sabah dan Sarawak hanya mewakili lebih kurang 2.6 peratus daripada keseluruhannya kutipan hasil LKM seluruh negara," katanya.             
Loke berkata penyeragaman itu juga bertujuan mengurangkan ketirisan hasil kepada kerajaan susulan proses pendaftaran kenderaan perdagangan di Sarawak.

“Berdasarkan data 2009 hingga 2014, dianggarkan ketirisan hasil daripada aktiviti pendaftaran kenderaan bermotor di negeri itu berjumlah RM64 juta, justeru penyeragaman tersebut akan memudahkan kawalan dan pemantauan ke atas kutipan hasil kerajaan,” katanya. - Bernama 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...