Shahmi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan memiliki 55 keping wang kertas palsu.
SIBU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman dua tahun penjara terhadap seorang bekas askar yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 55 keping wang kertas palsu berjumlah RM4,000.
Hakim Caroline Bee Majanil yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh, Abdul Shahmi Syaiq, 29, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditahan, 16 Februari 2019.
Mengikut pertuduhan pindaan yang dibacakan, Shahmi didakwa memiliki 55 keping wang kertas palsu berjumlah RM4,000 pada 15 Februari, kira-kira pukul 9.46 malam di sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit dengan kesalahan.
Tertuduh yang berkhidmat sembilan tahun dalam angkatan tentera, ditahan 16 Februari lalu selepas membuat laporan polis membabitkan pengeluaran wang kertas palsu.
Siasatan polis mendapati tertuduh menipu dengan mendakwa mengeluarkan wang palsu RM4,000 dari mesin pengeluaran wang (ATM) di sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor pada 15 Februari.
Setelah membuat pengeluaran wang tersebut, tertuduh menyerahkan wang kepada tunangnya sebagai perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 30 Mac depan.
Curiga dengan keaslian wang itu, tunangnya kemudian memberitahu keluarganya dan tertuduh dinasihatkan untuk membuat laporan polis.
Namun tindakannya itu mengundang padah dan tertuduh mendedahkan telah menghasilkan wang RM4,000 itu menggunakan mesin pencetak pada awal bulan ini.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment