Suspek pecah masuk rumah sarang burung cedera ditembak



 


SIBU: Seorang dari tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah sarang burung walet di sini cedera apabila terkena tembakan dalam satu kejadian di Sungai Apong, Lebaan dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 5 pagi, pemilik rumah sarang burung, 54 tahun dihubungi adik iparnya yang memaklumkan alat penggera di rumah berkenaan berbunyi, dipercayai akibat dipecah masuk.

Mereka berdua yang bergegas ke tempat kejadian mendapati tiga orang lelaki sedang melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, tembakan itu dilepaskan oleh pemilik rumah sarang burung berkenaan, 54 tahun, selepas suspek cuba menyerangnya.

"Pemilik dan adiknya cuba mengesan tiga suspek yang telah melarikan diri di kawasan semak dan berjaya menemui seorang lelaki."Suspek cuba menyerang pemilik dengan tukul dan pemilik melepaskan satu das tembakan ke arah kaki suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 


Stanley berkata suspek yang mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak, ditangkap oleh penduduk rumah panjang sebelum diserahkan kepada polis. 

Menurutnya, seorang lagi suspek berjaya dikesan oleh pemilik sarang burung setelah terdengar bunyi kocakan air di kawasan paya berhampiran dan berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk kampung.

"Suspek ketiga berjaya meloloskan diri dan identiti suspek telah dikenal pasti. Polis sedang memburu suspek," katanya.

Katanya, polis telah mengambil selaras senapang patah, kelongsong peluru dan salinan lesen senjata api dari pemilik rumah sarang burung.

Polis turut merampas peralatan dipercayai untuk mencuri sarang burung serta beg daripada suspek, katanya lagi.

Stanley berkata, siasatan polis juga mendapati rumah sarang burung tersebut telah dipecah masuk pencuri sebanyak lima kali sebelum ini.

"Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 511/457 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan cubaan Pecah Rumah dan Curi," tambah beliau.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...