SERIAN: Pemerhatian dan tindakan cekap sepasukan anggota Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am Sarawak berjaya menyelamatkan sebuah pacuan empat roda daripada dilarikan ke negara jiran di sempadan Malaysia-Indonesia di sini awal pagi tadi.
Pegawai Memerintahnya, Superintendan Rosdi Inai berkata, kenderaan tersebut ditemui oleh seorang pegawai dan tujuh anggotanya sekitar jam 2.00 pagi ketika sedang melaksanakan rondaan rutin Op Batas Risik di Kampung Melikin.
“Siasatan awal kita mendapati pacuan empat roda jenis Isuzu berwarna biru itu telah disembunyikan di laluan tersebut, sementara menanti untuk dibawa ke seberang.
“Pasukan serbuan telah melakukan intipan dan menanti lebih dua jam, namun tiada sesiapa yang muncul untuk mengambil kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.
Katanya lagi, semakan nombor pendaftaran pula mendapati kenderaan ini dilaporkan hilang di Sungai Merah (Sibu) pada 15 Februari lalu.
“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM40,000 telah diserahkan kepada Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.
Rosdi turut merayu agar masyarakat sempadan memberi kerjasama penuh dan maklumat kepada pihak polis dalam menangani jenayah rentas sempadan di negeri ini.-SarawakVoice
No comments:
Post a Comment