Bas elektrik pertama Sarawak beroperasi di Kuching mulai 1 Mac





Abdul Karim (gambar sisipan) bersama tetamu kehormat lain menunjukkan isyarat bagus ketika merakam kenangan di dalam bas elektrik pertama di Sarawak hari ini.

KUCHING: Bas elektrik yang pertama di Sarawak akan mula beroperasi pada 1 Mac nanti, dengan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada orang ramai termasuk pelancong di bandar raya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebagai percubaan, tiada tambang dikenakan kepada penumpang selama tiga bulan.

“Untuk permulaan, kita menggunakan sebuah bas dahulu dan sesiapa sahaja boleh menumpangnya secara percuma sama ada orang tempatan atau pelancong,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Pelepasan Bas Bandar Elektrik CRRC di Kompleks

Mahkamah Lama, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata jadual perjalanan bas elektrik tersebut bermula 7 pagi dari perhentian utama di Open Air Market di Jalan Power dan akan berhenti di setiap 25 perhentian yang ditetapkan di sepanjang laluan sehingga pukul 6 petang.

Perhentian-perhentian tersebut adalah kawasan Jambatan Darul Hana, Muzium Sejarah Cina, Tebingan Kuching, Jalan Abell, Padungan, Ang Cheng Ho, MBKS, iCom Square, Jalan Pending, Taman Rekreasi MBKS, SJK(C) Chung Hua No.3, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, The Hills, Hotel Riverside Majestic, Main Bazaar, Pejabat Pos Besar Kuching, Muzium Sarawak, Wisma Satok @ Jalan Satok, Pusat Komersial Al-Idrus, Wisma ASSAR, Jambatan Satok, Jalan Kulas dan Jalan Haji Taha.


“Laluan yang dikenal pasti untuk perjalanan bas ini sangat menarik, yang merangkumi seluruh kawasan warisan di bandar raya Kuching sehingga ke iCom Square dan Satok,” katanya.

Abdul Karim juga berkata sekiranya perkhidmatan bas elektrik itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat dalam sepanjang tempoh percubaan, maka tempoh perkhidmatan percuma mungkin diteruskan kepada satu tahun atau menambah sebuah lagi bas seumpamanya.

“Ini adalah permulaan untuk kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di bandar raya ini, lebih-lebih lagi bas elektrik ini adalah mesra alam,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan HENZ Pacific Sdn Bhd selaku pengendali operasi bas elektrik tersebut, Henry Lai berkata ia menawarkan perkhidmatan yang mesra penumpang kerana turut menyediakan ruang untuk kerusi roda untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Lebih menarik, katanya penumpang boleh menikmati perkhidmatan WiFi percuma tanpa had yang disediakan oleh Digi termasuk mempunyai sistem kawasan kandungan penyiaran, dilengkapi lima kamera litar tertutup (CCTV), video kiraan penumpang serta Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan orang ramai mengesan
kedudukannya.

“Untuk mendapatkan perkhidmatan bas ini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Kuching Metro yang kini boleh didapati di iOS dan Android,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr. Jerip Susil, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...