Kerajaan Sarawak contoh terbaik tunjuk Piagam Madinah  



AMANAT: Abang Johari menyampaikan amanat sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di Kuching, kelmarin.


KUCHING: Kepimpinan Kerajaan Sarawak merupakan contoh terbaik dalam menunjukkan Piagam Madinah, yang mengambil berat kepentingan perpaduan dan kesatuan ummah.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata walaupun di bawah pimpinan orang Islam, namun pentadbiran Kerajaan Sarawak amat mementingkan keadilan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Saya sebagai pemimpin Islam dan rakan-rakan yang lain cuba memberi nikmat bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Dengan itu, kita dapat menjalankan tugas dengan baik dan oleh sebab itu, kita dapat melihat perpaduan antara kaum yang cukup baik di Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Kompleks Islam Sarawak, kelmarin.
Menurut Abang Johari, keadilan yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada masyarakat bukan Islam juga dibuktikan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk kepentingan agama-agama lain.
“Asalkan mereka (orang bukan Islam) mempunyai ajaran agama yang baik dan dapat memahami kita orang Islam dan kita juga memahami mereka, maka Sarawak akan dapat maju dalam keadaan yang begitu bersatu padu dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat Sarawak terus menjaga perpaduan ummah tanpa memecahbelahkan persaudaraan sesama kaum yang terjalin sekian lama.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru umat Islam terus bersatu padu dan harmoni.
“Kita harus menjaga persaudaraan dalam kalangan umat Islam sendiri kerana kalau tiada persamaan antara kita, ia boleh membawa kepada perpecahan.
“Apabila ini berlaku maka umat Islam akan terjejas,” katanya.
Turut hadir Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik Luar Bandar) yang juga bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...