Tiong (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Sibu, hari ini.
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik (straw) pada 1 Januari 2020.
Justeru, pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, pelancaran kempen 'Katakan Tidak Kepada Penyedut Minuman' akan dilancarkan pada 20 April ini bersempena dengan 'Love Earth Day Campaign'.
"Kempen ini adalah antara usaha kita mengurangkan sisa plastik yang memberi kesan kepada perubahan iklim.
"Oleh itu, semua pemilik kedai makan, restoran dan kedai kopi diingatkan supaya tidak membekalkan pelanggan dengan penyedut minuman plastik selepas upacara pelancaran kempen ini," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Wisma Sanyan di sini, hari ini.
Menurutnya, kempen tersebut akan dimasukkan sebagai salah satu syarat lesen yang akan dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan segera pada 1 Januari tahun depan.
Tiong memberitahu, para pemilik premis berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Disember ini bagi menghabiskan stok penyedut minuman plastik mereka.
"Stok penyedut minuman plastik ini juga boleh digunakan secara kreatif sebagai kraf tangan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
Mengenai perkara yang sama, Tiong memberitahu bahawa MPS akan melaksanakan larangan merokok di semua kedai makan yang diedarkan oleh
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang berkuatkuasa pada 1 Mac ini (esok).
"Penguatkuasaan pendidikan atau penyedaran akan dimulakan dalam tempoh enam bulan ini," tambahnya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Rogayah Jemain.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment