Reka bentuk jalan akan dikaji semula



 


KUCHING: Reka bentuk jalan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak mengalami mendapan dan runtuh pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, langkah itu mesti diambil berikutan kejadian mendapan dan tanah runtuh di Kilometer 13.2 Jalan Pakan-Engkamop awal pagi kelmarin (Ahad) akibat hujan yang turun sejak beberapa hari.

“Sebahagian daripada sebab ia runtuh mungkin kerana reka bentuk yang lemah dan sebahagiannya hujan lebat.

“Apapun (sebabnya), kita perlu melihat kepada infrastruktur dengan berhati-hati dan jurutera-jurutera perlu melihat dan mengkaji ia semula, terutama reka bentuknya supaya ia tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Sarawak bersama Ketua Menteri di sebuah hotel di sini, semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata ‘hujan mari, tanah lari’ tidak seharusnya dipersalahkan atas kejadian yang berlaku di Pakan.

“Persoalannya ialah reka bentuk (jalan) perlu dibuat dengan betul-betul. Saya fikir jurutera-jurutera di Sarawak dan Malaysia mesti melihat perkara ini dengan serius kerana ia boleh menyebabkan kemalangan maut,” ujarnya.

Tambahnya sebagai menteri bertanggungjawab, beliau akan memastikan Jalan Pakan-Engkamop (Kilometer 13.2) akan dibaiki dengan sebaiknya.

Pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu, jurang dan gaung sedalam 20 meter dan 50 meter lebar terbentuk menyebabkan jalan terbabit terputus dan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan.

Situasi itu menyebabkan sebuah pacuan empat roda dinaiki dua penduduk tempatan, seorang pemandu dan seorang penumpang terbabas ke arah runtuhan, bagaimanapun kedua-duanya selamat.

Ekoran itu lebih 2,000 penduduk dari 20 rumah panjang di kawasan terbabit termasuk pelajar dari tujuh sekolah rendah di situ terputus hubungan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin kejadian tanah runtuh itu berlaku disebabkan takunan air tidak keluar sehingga membentuk kolam.

“Hujan lebat tanpa henti beberapa hari lalu turut menjadi penyebab berlakunya masalah ini,” kata Nicholas.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...