Keadaan di lokasi kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce hari ini.
KUCHING: Wanita mengandung yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah ambulan dan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Difahamkan mangsa, 40 tahun, yang berasal dari Kampung Nakong, Samarahan dirujuk ke HUS dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan kerana kandungan gula di dalam darahnya tinggi.
Mangsa yang hamil 37 minggu itu difahamkan, akan dimasukkan ke wad bersalin HUS sebaik sahaja keadaannya stabil.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala manakala kecederaan lain belum dapat dipastikan.
"Akibat dari kemalangan, seorang jururawat dan seorang pemandu ambulan tidak cedera, manakala seorang jururawat mengalami cedera ringan pada bahagian pipi sebelah kiri.
"Pesakit di dalam ambulan tersebut masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata dalam kejadian sekitar 9.30 pagi itu, ambulans yang bergerak lurus melalui Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menuju HUS tiba-tiba dilanggar oleh sebuah SUV yang datang dari Jalan Green.
Katanya, impak kemalangan menyebabkan ambulans terbalik ke bahu kanan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment