Proton Iriz terima 367 pembaharuan



DR LI CHUNRONG (tiga, kiri) bersama Naib Presiden Pembuatan Proton, Yoshiya Inamori (tiga, kanan) ketika Majlis Pratonton Media Proton Iriz 2019 di Pusat Kecemerlangan Proton. - Foto Bernama

SUBANG JAYA: Model hatchback terkini,  Proton Iriz yang akan diperkenalkan tidak lama lagi menerima 367 pembaharuan, menyerlahkan gaya sporty dan saling-hubungan.

Pembaharuan bermula dengan reka bentuk luaran yang diberi nafas baharu serta dilengkapi unit stereo pintar sama yang diperkenalkan pada Proton X70.

Model hatchback segmen-B keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) juga model pertama dalam  rangkaian semasa syarikat yang mendapat  sentuhan terkini selepas pengumuman  kerjasama bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding).

Garisan pada Iriz adalah hasil usaha oleh sebuah pasukan yang diketuai oleh Ketua Reka Bentuk PROTON, Azlan Othman, yang  memanfaatkan kepakaran pusat reka bentuk  antara syarikat kumpulan Geely untuk  menghasilkan wajah baharu yang canggih dan  menarik.

Ketika pembentangannya kepada media hari ini, Azlan menjelaskan bahawa model ini direka  untuk menggambarkan kecerdasan dengan  rupa yang sporty, sesuai dengan slogan model  itu iaitu

‘Kepintaran yang Mengujakan’.
Azlan turut menyebut mengenai penggunaan  unsur penggayaan atau styling bagi mewujudkan hubungan visual dengan model Proton yang lain.

Pada rekaan hadapan kereta  ini, terdapat  lampu depan halus yang dipadankan dengan  gril baharu yang menonjol.

Bentuk bar krom diilhamkan melalui reka bentuk "Ethereal Bow", sementara gril radiator  pula mempunyai corak "Infinite  Weave" yang  turut dihiasi logo  Proton.

Terdapat juga bampar depan baharu yang  menyerlah dilengkapi dengan gril radiator bawah yang terkini serta lampu nyalaan siang (DRL) yang menambahkan lagi sentuhan  mewah.

Pada rekaan bentuk bahagian belakang pula, perkataan PROTON kini tampak lebih jelas yang diletakkan pada bahagian tailgate, yang mana sebelum ini dihiasi logo.

Secara visualnya, ia kelihatan lebih lebar, di mana kesan yang lebih ketara pada bampar belakang dengan garisan menegak beserta garisan bampar baharu.

Sentuhan akhir termasuklah pada nama Iriz yang ditaip menggunakan huruf baharu unik, antena sirip yu dan rim aloi dengan reka bentuk bilah yang baharu.

Iriz  2019 adalah model segmen-B pertama di Malaysia yang menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi seperti strim muzik,  sistem navigasi dan pengecaman suara. 

Akses kepada aplikasi ini serta fungsi lain adalah melalui skrin sentuh antara muka bersaiz 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB.

Dengan menggunakan sistem sama yang ada pada Proton X70, Iriz baharu turut dilengkapi dengan sambungan WiFi agar ia boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih atau menyambungkan WiFi dalam jarak jangkauannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li  Chunrong, berkata Proton Iriz diinspirasikan untuk menjadi model pintar, sebelum ia diikuti dengan rangkaian model sedia ada.

"Selepas perasmian Proton X70, Proton Iriz akan menjadi model kedua yang dilengkapi dengan unit stereo pintar dan menggunakan kata laluan yang sama iaitu Hi Proton! bagi  mengakses sistem," katanya.Lebih menarik, PROTON juga akan mengadakan jualan kilat untuk Iriz bermula jam 10 pagi esok hingga 11.59 malam pada 11 Mac ini.

Menerusi jualan kilat ini, pembeli boleh menempah Iriz secara dalam talian dengan hanya RM9.99, malah PROTON turut memberi ganjaran dengan cukai jalan percuma selama dua tahun sebagai tanda penghargaan.

Iriz baharu ditawarkan dengan pilihan lima varian iaitu Standard 1.3 liter (manual), Standard 1.3 liter CVT, Executive 1.3 liter CVT, Executive 1.6 liter CVT dan Premium 1.6 liter.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...