Produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM1.07 juta dirampas di Sibu





 KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) telah merampas beberapa jenis produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM1.07 juta dalam satu serbuan di Sibu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim (gambar), bertindak atas risikan dan aduan yang diterima Seksyen Penguatkuasaan Farmasi Bahagian Sibu, serbuan itu dibuat di sebuah premis di bandar Sibu pada 18 Februari.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui lebih 35 ribu kotak kosmetik yang tidak bernotifikasi.

"Kesemua kosmetik tersebut dipercayai dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Jamilah berkata, pihak CPF sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua yang terlibat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan.

Katanya, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual kosmetik-kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Jabatan turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok kosmetik ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan kosmetik tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk menyemak status notifikasi sebelum membeli sesuatu kosmetik.

Orang awam juga boleh menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. 

Jelasnya, kosmetik yang bernotifikasi mempunyai nombor notifikasi yang bermula dengan huruf 'Not', diikuti sembilan digit nombor dan diakhiri dengan huruf 'K.

Orang ramai turut digalakkan untuk melaporkan serta menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana kosmetik yang meragukan sebagai tindakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras pengimportan dan penjualan kosmetik yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.  

Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my ataumelalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my. 

Orang ramai juga boleh menghubungi cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan juga melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan kosmetik berkenaan di pasaran.-Utusan Borneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...