Penduduk terjejas limpahan air Sungai Layar dipantau



 


BANJIR KILAT: Henry bersama pegawai dari agensi lain meninjau keadaan air yang memasuki Rh Lempaong.

BETONG: Aliran air Sungai Layar yang mengalir deras dari hulu sungai bertembung fenomena air pasang malam kelmarin di Betong menyebabkan beberapa tempat mengalami banjir kilat.

Keadaan itu memaksa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong serta beberapa agensi penyelamat dan agensi pelaksana yang lain bertindak pantas membantu penduduk yang terjejas limpahan air yang mendadak naik.

Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK1 Henry Jugah memberitahu, hasil makluman penduduk pihak berwajib telah bertindak melakukan pemantauan di kawasan berisiko.

“Kita mendapati kawasan yang terjejas teruk ialah rumah panjang Lempaong sepanjang 10 pintu yang didiami sekitar 50 penghuni apabila air naik kira-kira dua setengah kaki dari paras lantai.

“Setibanya kami sekitar jam 11.50 pagi di tempat kejadian, kami mendapati kawasan dalam rumah telah dimasuki air separas paha,” jelas Henry.

“Air yang mendadak naik memaksa penduduk menyelamatkan barangan kelengkapan rumah mereka termasuk perabot ke ‘sadau’ (tingkat atas) rumah masing-masing.

“Tiada operasi pemindahan dijalankan kerana penghuni rumah panjang tersebut tidak mahu berpindah dan mereka akan tinggal di tingkat atas rumah mereka,” katanya.

Sebelum itu, mereka telah memantau di kawasan rumah panjang Rh Sibat Banyan, Penurin yang terjejas membabitkan 46 pintu dengan 230 penghuni.

Tiada pemindahan mangsa dijalankan berikutan keadaan air sungai yang mulai surut.

Selain itu, di kawasan Terentang Batu 2 1/2 terdapat sebuah rumah terjejas yang dihuni lima sekeluarga.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Layar Horace Entoi dan pegawai Pejabat Pengairan dan Saliran Betong turut hadir.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...