BANTU: Mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.
KUCHING: Seorang pemandu dan seorang kelindan nyaris maut selepas lori yang dinaiki mereka hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek sebelum terjunam ketika menuruni bukit jalan masuk ke kuari dan berlanggar dengan sebuah lagi lori di Kilometer 22 Jalan Sri Aman-Serian, pagi semalam.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi yang mengatakan seorang pemandu berusia 33 tersepit akibat kemalangan.
“Setibanya di lokasi, dua lori didapati berada di kawasan luar jalan raya yang sedang dalam pembinaan yang mana seorang mangsa iaitu pemandu lori masih tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan sedar dengan kakinya tersepit.
“Manakala, pemandu sebuah lagi lori telah keluar sendiri dan bagi memastikan kestabilan kenderaan, kita mengarahkan pegawai EMRS untuk masuk memasang kolar leher dan menyelimut mangsa bagi melindungnya ketika kerja-kerja mengeluarkannya dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Jelasnya, pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan hidraulik dan berjaya mengeluarkan mangsa yang kemudian diserahkan kepada pihak paramedik dari Hospital Sri Aman yang turut berada di tempat kejadian.
Jurucakap bomba berkata, difahamkan kemalangan berlaku apabila lori membawa muatan batu kuari hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek ketika menuruni bukit jalan masuk ke kuari terbabit.
Lori tersebut kemudiannya terbabas menyeberangi jalan raya Pan Borneo dan merempuh sebuah lagi lori yang kebetulan melalui kawasan tersebut yang sedang melakukan kerja-kerja mengangkut tanah.
Sementara itu, kelindan dan pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami kecederaan.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment