Ada yang bukan kali pertama ke Kemboja - Polis



KUCHING: Siasatan kes penipuan pekerjaan di Kemboja yang membabitkan 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari negeri ini, memasuki episod baharu apabila beberapa individu terbabit didapati bukan kali pertama ke negara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai, berkata pendedahan itu diperoleh daripada tiga suspek yang kini direman Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, JSJ Sarawak sedang giat mengumpul maklumat dari pelbagai sudut, terutama berkait kegiatan pemerdagangan manusia dan perjudian dalam talian.

“Kami (JSJ) sudah merekodkan keterangan daripada beberapa mangsa dan suspek yang disiasat JSJK.

“Pengumpulan maklumat sedang giat dijalankan kerana didapati ada dalam kalangan 47 mangsa itu pernah beberapa kali ke Kemboja, dan kita mahu melihat apa sebenarnya yang mereka lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuching membabitkan Asisten Komisioner Ng Ah Lek yang bersara dan Superintendan Ismail Mahmud yang akan memangku jawatan berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soon Kuai berkata, siasatan utama kes itu kini dijalankan JSJK Sarawak yang diketuai Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah kerana ia membabitkan penipuan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, JSJ Sarawak turut menjalankan siasatan dari sudut lain yang mungkin boleh membongkar kegiatan pemerdagangan manusia membabitkan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menyambung tempoh tahanan reman terhadap seorang suspek kes berkenaan selama tiga hari, bermula hari ini.

Perintah lanjutan reman itu diluluskan Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan selepas menerima permohonan JSJK Sarawak.



SOON Kuai (tengah) menyaksikan ACP Ng Ah Lek (kiri) bertukar dokumen dengan Superintendan Ismail Mahmood (kanan) di Bilik Mesyuarat, IPD Kuching.-BH Online



No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...