Operasi Rabies Sarawak 1 hingga 10 Mac ini





Uggah bersama yang lain melihat peta Sarawak yang menunjukkan kawasan wabak rabies di negeri ini selepas sidang media mengenai Operasi Rabies Sarawak hari ini. 

KUCHING: Projek perintis Operasi Rabies Sarawak akan diadakan pada 1 Mac ini melibatkan daerah Bau dan Lundu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi yang akan berlangsung selama 10 hari dijalankan selaras dengan pengisytiharan wabak rabies sebagai bencana tahap dua mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 11 Januari 2019.
"
Mesyuarat penyelarasan rabies bilangan empat hari ini adalah khusus untuk menyelaras projek perintis Ops Rabies Sarawak yang akan bermula 1 hingga 10 Mac 2019 di Daerah Bau dan Lundu.

"Saya ingin menekankan ini adalah projek perintis dan kalau ia berjaya kita akan perluaskan ke daerah lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Pembanterasan Rabies di Bilik Gerakan, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku komander operasi termasuk beberapa agensi lain.

Agensi-agensi berkenaan ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Beliau menegaskan walaupun operasi ini melibatkan polis dan tentera, senjata api tidak akan digunakan untuk menghapuskan anjing yang disasarkan sebaliknya menggunakan kaedah biasa.

Sepanjang operasi itu juga katanya, sekatan jalan akan diadakan khususnya di sempadan negara bagi mencegah kemasukan anjing yang tidak disahkan statusnya ke negeri ini.

Uggah berkata Daerah Bau dan Lundu dipilih untuk projek perintis itu kerana terdapat kawasan bandar dan perkampungan di dua daerah tersebut.

"Di kampung budaya dan cara hidup anjing berbeza dengan anjing yang berada di bandar oleh itu strategi operasi perlu diadaptasi dengan melibatkan penyertaan penduduk setempat.

"Pejabat Daerah Bau dan Lundu telah diarah melibatkan penduduk setempat supaya mereka memahami operasi ini," ujarnya.

Beliau berkata objektif operasi tersebut ialah memastikan seratus peratus anjing di kawasan operasi disuntik dengan vaksin anti rabies dan ketika ini hanya 50 peratus daripada populasi anjing di situ sudah diberi suntikan.

Objektif kedua operasi tersebut katanya ialah mensasar untuk menghapuskan anjing terbiar atau tidak bertuan di daerah Bau dan Lundu.

"Justeru kita memohon ahli-ahli masyarakat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa operasi dijalankan, anjing peliharaan hendaklah disimpan dalam kawasan masing-masing dan jangan melarikan anjing dari kawasan operasi.

"Saya juga meminta kerjasama semua pihak agar memberi bekerja sama dengan agensi-agensi terlibat dalam mengenal pasti anjing terbiar atau lepas bebas," katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud dan Pegawai Turus Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Superintenden Ang Seow Aun.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...