LIMBANG: Seorang wanita mengalami calar dan lebam di leher dipercayai akibat dicekik suami selain sakit di beberapa anggota badan dalam pertengkaran di sebuah rumah panjang dekat sini pada Ahad.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa, 18, dan suspek, 22 bertengkar mulut sekitar 11 malam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suami enggan menuruti permintaan mangsa untuk pulang ke rumah ibu bapanya.
Katanya, suspek mengeluarkan kata-kata kesat sehingga mangsa berasa tersinggung dan terus memukul mulut suaminya menggunakan bantal.
"Suspek yang marah kemudiannya terus mencekik leher mangsa dan berlaku pergelutan antara mereka.
"Akibat kejadian itu mangsa mendapat calar dan lebam di leher kerana di cekik, lebam di paha kanan kerana dihimpit oleh lutut suaminya serta sakit di dada kiri kerana terkena siku suaminya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Bukhori berkata mangsa bagaimanapun hanya membuat laporan pada pukul 7.53 malam pada Selasa.
"Susulan itu, polis menahan suspek pada pukul 11.50 pagi di sebuah rumah panjang di kawasan Medamit hari ini," katanya lagi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment