Lelaki didenda RM2,000 Farizal kerana pukul jirannya dengan topi keledar

KUCHING: Nama mereka sama.
Tetapi persamaan dari segi nama bukan bermakna mereka sentiasa bersefahaman.
Buktinya, apabila dua orang jiran beselisih faham gara-gara bunyi muzik yang kuat dan mengganggu.
Pada 10.30 malam 18 April lalu, Farizal Ismail, 23, telah memukul Farizal Bohri di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bintawa Ulu di sini.
Pada malam berkenaan mangsa dikatakan berada di rumah beliau, lalu diserang dua orang lelaki — dua orang dikenali sebagai Bujang dan Lebab.
Kedua-dua mereka memukul mangsa dengan sebuah topi keledar dan sebatang rotan.
Mangsa dikatakan dipukul kerana tidak puas hati kerana berbuat bising dengan bunyi muzik radio di rumahnja.Mangsa cedera akibat pukulan berkenaan.
Dia lalu dibawa ke hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.
Di mahkamah majistret semalam, Farizal Ismail mengaku salah atas tindakannya itu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Dia dikenakan denda RM2,000 atau empat bulan penjara setelah mengaku mencederakan jiran sebelah rumahnya dengan menggunakan topi keledar.
Majistret Nurulhuda Mohd Yusof  juga mengenakan hukuman berkenaan terhadap Mohd Affizul Jemali, 23. Setelah beliau mengaku bersalah terhadap kes yang didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan.-SarawakVoice

Ranyai merupakan tanda simbolik bagi perayaan Hari Gawai


Tahukah anda kurang sebulan lagi perayaan Gawai Dayak akan diraikan. Pastinya sudah ada saudara Dayak kita sudah bersedia untuk membuat "Ranyai"

Untuk makluman anda  Ranyai merupakan tanda simbolik bagi perayaan Hari Gawai yang disambut oleh kaum dayak. Ranyai akan dibuat dan  didirikan ditengah-tengah "ruai" dimana penghuni rumah panjang akan berkumpul.

Upacara Ranyai kebiasaanya akan dimulakan, apabila salah seorang penghuni rumah panjang dipilih untuk menarikan tarian tradisional kaum Iban iaitu Tarian Ngajat.

Dia akan mengelilingi "ranyai" tersebut. Selepas dia menari megelilingi ranyai tersebut, dia akan memilih barang yang telah disangkut dan akan memotong barang tersebut menggunakan parang.

Selepas itu, dia akan mencari sesiapa sahaja yang duduk di "ruai" dan menyerahkan parang yang digunakan kepada orang yang dia telah pilih. Begitulah proses seterusnya sehinggalah semua barang makanan yang disangkutkan pada "ranyai" itu habis dan orang terakhir akan menumbangkan "ranyai"





SEJARAH HARI PEKERJA

SEJARAH HARI PEKERJA

TANGGAL 1 Mei saban tahun merupakan hari yang dikhaskan untuk semua tenaga kerja di dunia dan ianya tidak terkecuali bagi kita di Negara Malaysia.  Satu hari yang dikhaskan oleh setiap kerajaan di dunia bagi mengiktiraf akan sumbangan tenaga pekerja baik di sektor awam mahupun swasta.  Sekaligus pada hari ini juga ianya merupakan cuti umum untuk semua pekerja di dunia. 

Menyelusuri sejarah hari pekerja sebenarnya bermula di Amerika Syarikat iaitu sekitar tahun 1880an lagi.  Di Amerika Syarikat ianya dikenali dengan “May Day” iaitu hari yang dikhaskan untuk golongan buruh sahaja bukannya kakitangan di pejabat.  Pada waktu itu boleh dikatakan golongan buruh pula terdiri daripada pelbagai peringkat umur daripada yang tua sehinggalah kepada kanak-kanak asalkan mempunyai kudrat untuk bekerja kerana pada waktu itu tiada peraturan seperti yang kita nikmati sekarang. 

Dek kerana itulah di Amerika Syarikat pada masa itu, kebanyakan golongan buruh “dipaksa” untuk bekerja dari 12 hingga 14 jam sehari dengan tiada hari cuti sekalipun telahan lagi cuti sakit.  Sesiapa yang kedapatan sakit maka pada sudah tentu upah mereka akan dipotong lantas menambah derita golongan berpendapatan rendah yang rata-ratanya hidup miskin seperti kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bertindak daripada kesedaran para buruh yang merasakan diri mereka sudah mula dijadikan mangsa sang kapitalis maka mereka bersatu hati memperjuangkan untung nasib mereka dengan mengadakan mogok lapar dan demostrasi jalanan besar-besaran.  Mereka menuntut untuk tempohmasa mereka bekerja hanya lapan jam sehari dan selebihnya adalah dibayar lebihmasa. 

Daripada hanya melakukan mogok dan demostrasi aman akhirnya ianya bertukar menjadi ganas apabila pada tanggal 4 Mei 1886 ketika mengadakan perarakan di Chicago, satu letupan bom telah berlaku yang menyebabkan ramai anggota polis dan orang awam terkorban.  Bermula dari tarikh itulah, kesemua ketua-ketua buruh dicari oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan seterusnya ditangkap dan dihukum bunuh. Hakikatnya apa sahaja keganasan yang berlaku itu bukanlah diatur oleh golongan buruh sebaliknya oleh golongan ekstremis yang anti kerajaan.  Merekalah yang telah membuat onar iaitu dengan menangguk di air yang keruh sehingga golongan buruh yang dipersalahkan. 

Pada tahun 1888, American Federation of Labor atau Persatuan Buruh Amerika berjaya ditubuhkan secara rasmi dengan keizinan Kerajaan Amerika Syarikat.  Bagi memperingati tragedi yang berlaku pada 4 Mei 1886, Persatuan Buruh Amerika sepakat untuk menjadikan tanggal 1 Mei saban tahun sebagai hari peringatan tragedi yang berlaku di Chicago tersebut dengan setiap ahli gabungan tersebut hanya bekerja selama lapan jam sahaja pada hari tersebut.  Ianya adalah sebagai satu tanda protes mereka kepada kerajaan pada waktu itu.   Tindakan berani AFL telah disokong oleh Second International iaitu satu lagi gabungan sosialis sedunia yang mana pada tahun 1889 telah menetapkan 1 Mei sebagai “International Workers Day”. 

Hanya di ketika pemerintahan Presiden Teddy Roosevelt yang mendiami White House dari tahun 1901-1909 baharulah penguatkuasaan waktu bekerja lapan jam sehari diiktiraf di Amerika Syarikat untuk golongan buruh wanita manakala kanak-kanak pula diharamkan untuk bekerja.  Undang-undang yang ketat dan teratur juga turut berkuatkuasa ke atas majikan-majikan bagi memastikan mereka tidak mengeksploitasi tenaga pekerja mereka. Legasi Presiden Amerika Syarikat seterusnya telah mewarisi perjuangan Roosevelt sehinggalah akhirnya 1 Mei diiktiraf sebagai cuti umum negara dan perjuangan masa bekerja lapan jam sehari turut melibatkan pekerja berjantina lelaki di seluruh Amerika Syarikat. 

Di Malaysia pula, Hari Pekerja hanya diiktiraf secara rasmi semasa Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.  Tanggal 20 Mei 1972, Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu mengumumkan bahawa tarikh 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia.  Dan acara sambutan Hari Pekerja secara besar-besaran pula hanya diadakan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1991 iaitu semasa pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Begitulah sejarah ringkas Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei saban tahun di seantero dunia sekarang. Di Malaysia, keazaman dan ketegasan Perdana Menteri Malaysia kedua yakni Allahyarham Tun Abdul Razak yang langsung tidak mengambil kisah akan suara-suara sumbang golongan tertentu di dalam kerajaan itu sendiri menjadikan pekerja-pekerja di Malaysia turut mendapat satu hari mengkhusus bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara. 

Selamat hari pekerja diucapkan kepada seluruh pekerja-pekerja rakyat Malaysia samada yang bekerja di dalam Malaysia atau luar negara. 

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

Nota: Kami abadikan pekerja sektor industri minyak dan gas sebagai teaser artikel ini bagi memberi penghormatan atas keringat dan sumbangan pekerja industri ini yang merupakan industri penjana ekonomi utama Negara Malaysia dan juga Sarawak merupakan pengeluar minyak dan gas utama Negara Malaysia.  Sumbangan mereka amat besar kepada kita semua.

Rujukan:

1. The Brief Origins Of May Day
https://www.iww.org/history/library/misc/origins_of_mayday
2. Commemoranting Labour Day In Malaysia
http://malayahistory.blogspot.com/2008/05/commemorating-labour-day-in-malaysia.html
3. Celebrating Their Contributions
https://www.nst.com.my/news/2016/05/142938/celebrating-their-contributions

Penjual nasi lemak raih RM400,000 sebulan dengan modal RM3,000






Nasi Lemak Saleha cawangan kedua yang dibuka di Sri Rampai, Wangsa Maju, bangunan ini bernilai RM3.8 juta dibeli Saleha sendiri bagi memajukan perniagaan.

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM3,000, seorang penjual nasi lemak kini mampu meraih pendapatan mencecah hampir RM400,000 sebulan.

Lebih menarik apabila kejayaan itu diperolehi tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana bank.
Saleha Abdullah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan berniaga di sebuah kedai kecil tepi jalan 10 tahun lalu.
“Idea ini datang dari suami saya sendiri, masa itu saya bekerja dengan arwah mak, kedai kecil itu, dah 30 tahun lebih semasa arwah mak saya ada.
Kedai Nasi Lemak Saleha yang pertama dibuka di Kampung Pandan pada 2009Saleha Abdullah memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM3,000.
“Kemudian suami meminta saya untuk menjual nasi lemak di Kampung Pandan. Saya pun mula buat pada peringkat permulaan dalam sekilo beras sahaja. Ia habis dijual dan jumlah itu meningkat dari hari ke hari.





“Bermula 2009, saya gunakan modal RM3,000 itu sebagai modal pusingan dan saya konsisten, cermat dalam setiap duit yang dikeluarkan. Akhirnya, saya boleh buka kedai tepi jalan secara kecil-kecilan dan ada 20 pekerja.
“Anak-anak saya membantu banyak dalam hal ini,” katanya kepada FMT.
Perniagaannya semakin berkembang dan Saleha membeli beberapa lori bagi tujuan penghantaran.
Nasi lemak yang disediakan kepada pelanggan, RM1.90 bagi setiap hidangan, namun boleh memilih pelbagai lauk untuk menambah rasa selera anda.Sambal nasi lemak ini mengambil masa selama 6 ke 7 jam untuk masak sepenuhnya, dan ia mampu dihidangkan kepada 2000 pelanggan setiap kali sambal itu dimasakAntara menu yang dihidangkan dan menjadi kegemaran orang ramai, ayam goreng berempah
Kini, perkhidmatan Food Panda turut membantu meningkatkan jualannya. Tetapi, ada juga pelanggan Nasi Lemak Saleha yang yang sanggup beratur panjang khususnya pada hujung minggu demi merasai keenakan makanan popular rakyat berbilang kaum di negara ini.

Nasi lemak Saleha terkenal di sekitar Lembah Klang dan turut mendapat liputan media tempatan mahupun antarabangsa.
“Tiada apa yang unik tentang nasi lemak ini, cuma masak biar betul, hati biar ikhlas, jangan sebab harga barang naik, kita kurangkan bahan dalam masakan, orang akan lari.
“Mungkin keaslian nasi lemak itu masih dirasai bila kita hidang nasi tersebut di atas daun pisang. Wangi itu ada,” katanya.
Bahan yang cukup serta cara masakan sambal nasi Lemak Salaha membuatkan ia berbeza dengan sambal nasi lemak lain.Setiap hujung minggu restoran Nasi Lemak Saleha akan dikunjungi ramai, tidak kira sama ada di Ampang atau Sri RampaiBeberapa applikasi seperti Grab dan Honestbee menyediakan perkhidmatan penghantaran nasi lemak secara terus kepada pelanggan
Namun, di sebalik setiap kejayaan pasti ada pahit manis yang terpaksa diharungi usahawan. Saleha tidak terkecuali berdepan kesukaran akibat dendam peniaga lain yang dengki dengan kejayaannya sehingga hari ini.
“Selama ini, saya tak pernah kacau orang, tapi akhirnya menitik juga air mata apabila peniaga lain terlalu dengki dengan kejayaan ini, mereka gunakan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) untuk merampas kerusi dan meja agar kami tidak boleh beroperasi.
“Selama saya berniaga, walaupun zaman arwah mak ada, saya tak pernah kena teruk seperti ini.
“Namun, ia tidak mematahkan semangat dan usaha untuk terus memajukan cawangan ke-2.”
Hasil usaha gigihnya, Saleha akhirnya mampu membeli sebuah bangunan di Sri Rampai, Wangsa Maju yang bernilai RM3.8 juta dengan bantuan Amanah ikhtiar Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Idea itu datang daripada anak lelakinya, Mohd Rizal Isa yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai doktor untuk mempelajari selok-belok perniagaan.
“Ini semua hasil idea dia, dia belajar macam mana nak buka kedai, adik-adik dia dan seorang kakaknya menjalankan operasi dari segi pengurusan dan masakan, saya boleh lepas tangan perlahan-lahan.
“Dah sampai masa saya perlu rehat, biar anak-anak yang uruskan, tapi masih perlu dipantau.”
Ayam masak merah.Rendang daging.Pelanggan nasi lemak Saleha bukan sahaja Melayu malah masyarakat kaum Cina juga suka meninkmatinya.Hidangan asas, nasi lemak berserta timun, separuh telur rebus, ikan bilis dan kacang serta sambal
Kini, Nasi Lemak Saleha mempunyai 60 kakitangan dan pendapatan harian boleh mencecah RM12,000.
“Kita akan mula menyediakan sambal seawal 4 pagi. Setiap kali masak sambal, ia mengambil 6 hingga 7 jam bagi hidangan 2,000 orang.”
Nasi Lemak Saleha yang beroperasi setiap hari bermula 6 pagi sehingga 1 pagi menyediakan pelbagai lauk-pauk sampingan, termasuk ayam goreng, sambal sotong, paru goreng berlada dan daging rendang.
Selain lokasinya berhampiran Lebuhraya MRR2, anda boleh juga berkunjung ke sebuah lagi cawangan di Sri Rampai.
Anda juga boleh “check-in” di Facebook “Nasi Lemak Saleha (superb)”! Cuba cari, mesti jumpa!

FMT

Usul Bantahan Rasmi Penempatan Semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Yang Dikemukakan ADUN Batu Lintang Diluluskan DUN Sarawak

KUCHING: Satu usul yang telah dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, YB See Chee How yang menggesa Kerajaan Sarawak membantah secara rasmi penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

See Chee How ketika membentangkan usul tersebut menggesa Kerajaan Sarawak menetapkan pendirian berkenaan isu pemindahan tersebut dengan mengambil tindakan segera melindungi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan melindungi hak-hak Perlembagaan Sarawak.

"Keputusan untuk menempatkan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak adalah bercanggah dengan Perkara 121(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan...

"Dalam menentukan di mana letaknya Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan atas nasihat Perdana Menteri, yang akan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak dan Ketua Hakim Negara," katanya.

Usul tersebut telah disokong oleh ADUN Kota Sentosa, YB Chong Chieng Jen.

Pada 23 April lepas, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Taha menerusi satu 'surat edaran' memaklumkan penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu, Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei ini.

Surat sama turut diedarkan kepada Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Malaya.

Sebelum ini Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dilaporkan akan dipindah dari Kuching ke Kota Kinabalu berkuat kuasa 1 Mei ini (esok).

Pada 22 April 2019 Pejabat Ketua Menteri Sarawak telah mengeluarkan kenyataan mengatakan Sarawak membantah tindakan menempatkan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi  Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu.

Pejabat Ketua Menteri berkata tindakan itu tidak mematuhi peraturan undang-undang dan melihat penempatan semula itu tidak berperlembagaan.

Turut disahkan, tiada rundingan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berhubung perkara itu kerana ia adalah tuntutan mandatori seperti di bawah Perkara 121 (4) Perlembagaan Persekutuan

Lelaki ditangkap belanja wang palsu di Fun Fair



KUCHING: Cubaan seorang lelaki membelanjakan duit palsu di Fun Fair Siburan mengundang padah apabila dia ditangkap polis.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Melbin Lisa, suspek berusia 35 tahun datang ke Fun Fair berkenaan semalam lebih kurang jam 7 malam.

Dia kemudian bermain permainan di salah sebuah gerai dan kemudian membayar menggunakan wang kertas bernilai RM100.
Namun wanita yang mengusahakan gerai terbabit mengesyaki wang kertas itu palsu dan bertengkar dengan suspek, sebelum mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Siburan.

Bertindak atas maklumat, Merbin berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan pergi ke lokasi sekitar jam 10.40 malam dan hasil pemeriksaan mendapati wang kertas RM100 itu palsu.


Wang palsu RM100 yang digunakan suspek untuk berbelanja di Fun Fair Siburan.


“Suspek ditangkap di Megabite Cafe di pekan Siburan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah wang palsu itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Merbin berkata suspek sudah ditahan reman selama lima hari bermula 30 April hingga 4 Mei dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan didenda di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Katanya suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Sehubungan itu, Merbin menasihati masyarakat khasnya golongan peniaga agar berwaspada apabila melakukan transaksi melibat wang kertas supaya tidak menjadi mangsa penipuan wang palsu.

“Jika ada menerima wang palsu hendaklah dengan segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
 

Beberapa jajaran L/raya Pan Borneo empat lorong dua hala dibuka Julai




KUALA LUMPUR: Beberapa jajaran di Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak yang dinaik taraf daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala akan mula dibuka kepada orang ramai Julai ini.

“Perkembangan ini bakal mengurangkan ketidakselesaan pengguna jalan raya dalam tempoh pembinaan lebuh raya itu,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya semalam.

Bagi projek sama di Sabah, Mohd Anuar berkata sehingga kini 12 daripada 35 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor yang telah memulakan kerja pembinaan dengan status kemajuan keseluruhan projek mencapai 13.43 peratus.

Namun begitu, jelasnya, terdapat satu kontraktor pakej kerja melibatkan laluan Tawau ke Semporna telah ditamatkan kontrak disebabkan prestasi kerja tidak memuaskan.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.  — BERNAMA

Polis Miri tumpas tiga kumpulan curi sarang burung




MIRI: Polis menumpaskan tiga kumpulan dikenali sebagai Kumpulan Boy, Kumpulan John dan Kumpulan Billy yang aktif melakukan kegiatan mencuri sarang burung walet sejak tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata kejayaan itu dicapai setelah polis berjaya memberkas lapan lelaki yang merupakan ahli tiga kumpulan terbabit.  

Katanya, kesemua lapan suspek terbabit diberkas dalam satu operasi yang dilancarkan petang Isnin sehingga awal pagi ini di lima lokasi berasingan.  

"Semua suspek yang berusia antara 20 hingga 42 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Menurut Lim, hasil siasatan awal, polis mendapati kesemua suspek aktif melakukan kecurian sarang burung walet di sekitar kawasan Miri termasuk di Bekenu dan Batu Niah sejak 2018. 

Selain itu katanya, mereka turut melakukan jenayah serupa di Bintulu, Sibu dan Sarikei. 
"Sarang-sarang burung yang dicuri di kawasan Miri dan Bintulu akan dijual di Sarikei," dedah beliau lanjut.-UtusanBorneo 

Anak Sarawak berusia 7 tahun terbit buku


KUCHING: Sejarah tercipta apabila anak kelahiran Kuching dinobatkan sebagai antara penulis termuda di negeri ini.

Cynn Cheng mula menjadi pengarang buku apabila berjaya menghasilkan karya ketika berumur tujuh tahun.

Karya sulungnya dalam bahasa Inggeris, naskhah ringan seperti buku kanak-kanak berjudul ‘Playing Soccer’ mengajak golongan wanita supaya menyukai sukan bola sepak.

Cheng kini berusia lapan tahun yang meminati penulis buku tersohor dunia, Roald Dhal dan Enid Blyton berkata, idea untuk menulis buku tersebut datang daripada kakaknya, Fay Chen, 10 tahun.

“Playing Soccer” berjaya merangkul gelaran juara semasa pertandingan bercerita tahun lalu.

“Setelah itu, kakak saya memberi cadangan kepada ibu agar menerbitkan buku tersebut supaya dapat dibaca oleh orang lain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada Program Karnival Kanak-kanak di Pustaka Negeri Sarawak di sini, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, semua ilustrasi dalam buku juga dilukis olehnya sendiri.
Anak pasangan Cheng Ho Chwen dan Irena Halim itu hanya bersekolah di rumah.

Menurut ibunya, kedua-dua anaknya itu bersekolah di rumah menggunakan khidmat guru persendirian.

“Saya sangat mementingkan pendidikan kepada mereka, oleh itu saya sebagai ibu akan memastikan pendidikan terbaik diberikan.

Kedua-dua anaknya fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Sekarang saya berusaha untuk mencari guru yang dapat mengajar mereka dalam bahasa lain Sarawak,” katanya.

Ibunya yang juga seorang suri rumah terkejut dengan penerimaan orang ramai terhadap buku tulisan anaknya.

“Buku yang diterbitkan pada 22 April tahun ini telah terjual lebih daripada 100 naskhah pada hari pertama prapelancaran,” jelasnya.

“Selain itu, buku itu kini boleh didapati dalam bentuk e-book yang ada di Kindle dan Amazon bagi memudahkan pelanggan membeli dan membaca hasil karya sulung Cynn.

Tambahnya lagi, akan ada empat projek terbaharu pengarang cilik itu pada penghujung tahun ini.-SuaraSarawak

Sri Aman bakal memiliki 30 menara telekomunikasi

KUCHING: 30 menara telekomunikasi di Bahagian Sri Aman bakal dibina dibawah inisatif Sarawak Multimedia Authority (SMA300) .

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol, inisiatif SMA300 ini 100 peratus peruntukan daripada Kerajaan Sarawak dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Lingga Simoi Peri pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, SMA juga merancang untuk menyediakan kemudahan internet terutama sekali di kawasan luar bandar dan berkemungkinan meneruskan rancangan pembinaan hab inovasi di setiap bahagian di negeri ini.-SarawakVoice

Polis buru tiga lelaki larikan tabung surau


 


LIMBANG: Polis sedang memburu tiga lelaki yang melarikan tabung surau Baitul Rahmah, Batu Biah di sini pada malam Sabtu lepas.

Tindakan tiga suspek yang memakai topeng muka dan topi kaledar itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan rakaman CCTV, ketiga-tiga suspek memasuki surau berkenaan sekitar 2.32 pagi dan cuba membuka tabung berkenaan.

Bagaimanapun apabila gagal membukanya, kumpulan bertiga itu bertindak mengangkat tabung berkenaan keluar.

Rakaman berdurasi enam minit itu tular dalam aplikasi WhatsApp sejak tiga hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Limbang DSP Tega Bilong berkata kejadian itu disedari jawatankuasa surau apabila tabung Surau yang diikat dengan rantai besi pada tiang simen dalam surau hilang disyaki dicuri orang yang tidak dikenali.

"Hasil semakan CCTV yang dipasang dalam surau mendapati tiga orang lelaki terlibat dalam kejadian ini.

"Ketiga-tiga suspek memakai topi kaledar dan bertopeng muka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tega berkata hasil siasatan di tempat kejadian berjaya menimbulkan tiga kesan cap jari di cermin tingkap laluan suspek masuk.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakuan dan usaha mengenal pasti suspek giat dilakukan.

"Kejadian itu menyebabkan kerugian sebanyak RM300," katanya.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (kerana mencuri dalam bangunan).-UtusanBorneo
 

Sarawak terima RM10.75 juta dana ukur tanah NCR

KUCHING, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak sudah menerima dana RM10.75 juta daripada jumlah keseluruhan RM21.5 juta yang dikhususkan kepada kerja-kerja mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperuntukan Kerajaan Pakatan Harapan untuk program khas bagi bumiputera di negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata melalui peringkat pertama program pengukuran tanah NCR, sebanyak 63 surat hak milik di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) telah pun dikeluarkan melibatkan kawasan seluas 163.088 hektar (403 ekar).

“Namun, kenapa pemberian itu beransur-ansur dan kenapa tidak memberi kesemuanya sekali gus,” soalnya semasa menjawab soalan tambahan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) yang bertanya berapa banyak dana yang sudah disalurkan kerajaan pusat untuk menyukat tanah NCR.

Katanya, peruntukan itu juga bukan hanya untuk pengukuran tanah NCR Seksyen 18 sahaja, malah ia termasuk pengukuran perimeter tanah NCR untuk Seksyen 6. 

Setakat 31 Mac lepas, seluas 74,600.56 hektar (84,342 ekar) telah diwartakan sebagai ‘reserve community’ di bawah Seksyen 6, KTN, katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak swasta atau agensi kerajaan untuk membangun dan merancang penganjuran pesta antarabangsa yang mempunyai potensi untuk menarik pelawat seperti Kabong International Kite Festival.

“Bagaimanapun kementerian belum mempunyai perancangan untuk mengambil alih penganjuran Kabong International Kita Festival untuk tahun 2020,” katanya semasa menjawab soalan Mohamad Chee Kadir (GPS-Kabong) yang bertanya sekiranya Kerajaan Negeri bercadang untuk mengambil alih penganjuran berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Penguang Manggil berkata Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan peruntukan di bawah Rural Transformation Program (RTP) bagi melaksanakan cadangan Market Jungle Produce di Kapit.

“Projek itu telah dicadangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tetapi tidak diluluskan,” katanya yang menjawab soalan Jefferson Jamit Unyat (GPS-Bukit Goram) yang bertanya mengenai status terkini cadangan pembinaan Market Jungle Produce di bandar itu.

-- BERNAMA

TAHNIAH Senator Dr Zaiedi Suhaili diatas percalonan semula sebagai senator di Dewan Negara

TAHNIAH Senator Dr Zaiedi Suhaili diatas percalonan semula sebagai senator di Dewan Negara selama tiga tahun pada sesi DUN Sarawak sebentar tadi.

Zaiedi, 62, dari Kuching, Sarawak pertama kali dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun pada tahun 2016.

Beliau pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pertanian, menganggotai Ahli Lembaga Air Kuching dari 2007 hingga 2009 serta menjadi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dari 1974 hingga 1985.

Selain itu, beliau juga aktif dalam politik dengan menjadi Timbalan Ketua Bahagian Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tupong sejak 1996.

UnReportedNews™® #iamSarawakian #IbuPertiwiku

Wong King Wei digantung dari menghadiri DUN selama setahun

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama tempoh setahun dari hari ini.

Terdahulu, Menteri Perlancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Datuk Karim Hamzah membaca laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN mengenai salah laku Wong membuat beberapa tuduhan ke atas Speaker Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada sesi Persidangan DUN pada tahun lepas.

Karim telah mengusul cadangan agar keahlian Wong di DUN Sarawak digantung selama setahun mulai hari ini.

Satu undian diadakan dikalangan ADUN Sarawak pada sesi Persidangan DUN Sarawak yang dibawah kendalian Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala sebentar tadi memyokong usul pengantungan tersebut. Keputusannya adalah 64-9.

Difahamkan, Wong telah menuduh Asfia berlaku tidak adil ke atas usul yang dibawa oleh ADUN Pembangkang, malah, telah mengeluarkan kata-kata agar Asfia sepatutnya diganti dengan orang lain.

UnReportedNews™® #iamSarawakian #IbuPertiwiku

Biker dies after ramming tree



KUCHING: A filial son who helped his parents run errand passed away after he lost control of the motorcycle he was riding and rammed into a tree by the roadside while on his way home at 11.30pm on Sunday.
The deceased has been identified as Miliadi Ahmad, 39, of Kampung Jayaria, Kota Samarahan.
The impact of the crash caused Miliadi to be flung from his motorcycle before he landed on the road. He died on the spot.

After the crash, passers-by called the police and Miliadi’s remains were taken to Sarawak General Hospital for a post-mortem.
The accident spot was dark with no street lighting.
The villagers hoped that the authority concerned will install more street lightings in the area soon.
Sarawak Head of Traffic Investigation and Enforcement Department, Supt  Alexson Naga Chabu confirmed the case.

Penjaja rayu disediakan payung, tempat beratap





SIBU: Penjaja tamu di tapak sementara Taman Esplaned Sibu di sini memohon jasa baik pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) agar menyediakan payung atau tempat beratap di tempat tersebut.

Wakil penjaja di situ Rinta Mamat berkata, setelah mereka dipindahkan ke tempat tersebut kira-kira dua bulan lalu mereka menghadapi kesulitan berikutan cuaca yang tidak menentu sama ada hujan atau panas.

“Kami sanggup membayar sewa RM5 sekiranya MPS menyediakan payung atau tempat beratap untuk melindungi kami daripada cuaca hujan atau panas. Tidak semua kami mampu memiliki payung.

“Semua kami dikenakan RM1 untuk sewa di tapak sementara ini malah kami sanggup bayar RM5 untuk kemudahan tersebut,” katanya menerusi video yang ditularkan menerusi laman sosial berdurasi selama seminit 50 saat kelmarin yang mendapat kongsian atau ditonton lebih daripada 50,000 netizen.

Rinta memberitahu, mereka berasa tidak diperlakukan dengan adil oleh pihak berkenaan setelah dipindahkan di situ di mana soal kemudahan paling mudah iaitu tempat beratap atau payung tidak disediakan pihak MPS bagi kemudahan mereka.

“Kebanyakkan kami datang dari rumah panjang di kawasan Pakan, Julau, Song dan Kapit semata-mata mahu menjual hasil tani dan hutan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

“Sekarang harga getah dan lada tidak berharga di pasaran menyebabkan kami dari rumah panjang terpaksa berjaja bagi menyara kehidupan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, ada antara mereka terpaksa bermalam untuk datang lebih awal bagi mencari tempat yang redup atau tempat yang selesa.

“Kadang-kadang ada antara kami sampai bergaduh kerana masalah tersebut. Hati mahu banyak bersabar menempuhi kesulitan tersebut yang perlu diselesaikan MPS.

“Apalah nasib kami diperlakukan sebegini berbanding penjaja lain yang tidak dipindahkan dan masih berjaja di Pasar Sentral,” tegasnya.

Tambahnya lagi, mereka mahu MPS menyelesaikan masalah mereka dengan sebaik mungkin bagi manfaat serta keselesaan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penjaja dan Pasar MPS Kaunselor Wong Hie Ping yang bertanggungjawab terhadap isu tersebut berkata, MPS sudah sedia maklum mengenai tular video tersebut dan akan menyelesaikan masalah tersebut demi keselesaan penjaja di situ.

“Saya sudah mengetahui perkara ini dan ia telah dimaklumkan kepada saya kelmarin.

Pihak majlis akan mengkaji dan akan mengambil langkah selanjutnya berhubung aduan tersebut demi manfaat para penjaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penjaja tamu hujung minggu (Sabtu dan Ahad) di Pasar Sentral Sibu dipindahkan oleh MPS buat sementara waktu kerana tapak mereka di situ sedang dinaik taraf.

Tapak pasar tamu di Pasar Sentral Sibu akan ditutup sementara waktu untuk peniaga hujung minggu dari 1 Mac lalu hingga Oktober tahun ini.

Justeru, pada mulanya MPS menasihati para penjaja tamu berniaga di Pasar Minggu di Jalan Mahsuri sebagai alternatif.

Tidak lama selepas itu, MPS telah mengubah keputusannya dengan membenarkan para penjaja tamu yang dipindahkan itu berniaga di Taman Esplaned Sibu di Jalan Maju di sini.

Ini kerana Pasar Minggu di Jalan Mahsuri agak sedikit jauh dari pusat bandar di mana Taman Esplaned Sibu merupakan kawasan strategik untuk penduduk luar bandar khususnya penduduk rumah panjang kerana kawasan itu berdekatan dengan Terminal Penumpang Sibu, terminal bas dan stesen kereta sewa.-UtusanBorneo

Vincent Wong Tuduh Nancy Shukri "TIDAK DELIVER" Sila Baca!!

Mungkin ada betul tuduhan saudara Vincent Wong ini. Saya merenung dan terfikir, apakah yang saya "tidak deliver" sebagaimana dituduh Saudara Vincent Wong. Mungkin, ada juga benda yang saya tidak lakukan atau tidak "deliver".

Pertama, saya tidak "deliver" dalam usaha pembatalan projek-projek mesra rakyat.  - contohnya projek jambatan Batang Sadong. Kerajaan Pakatan Harapan memang RAJIN batalkan projek-projek mesra rakyat. Sebaliknya, saya telah memohon agar Jambatan Batang Sadong dibina dengan pembiayaan penuh Kerajaan Persekutuan.
https://www.utusanborneo.com.my/2018/12/21/kekangan-kewangan-pembinaan-tiga-jambatan-ditangguh

Selepas solat Magrib tadi, saya terfikir satu lagi perkara yang saya tidak "deliver" - iaitu menabur janji kosong. Saya haruslah bertaubat dan merujuk kepada cara kerajaan Pakatan Harapan beroperasi - memberi macam-macam perjanjian dalam manifesto dan memungkirkan mereka. Saya sepatutnya berjanji akan memberikan 20% royalti minyak kepada negeri Sarawak dan 50% daripada jumlah hasil kutipan cukai persekutuan sempena PRU 14 tetapi saya gagal berbuat demikian. Dalam hal ini saya cuma bekerja keras dalam usaha 'Penurunan Kuasa' kepada Sarawak sebagaimana diterbit artikel ini -

https://www.utusanborneo.com.my/2018/07/26/20-peratus-royalti-minyak-chong-kini-berubah-arah

Saya merenung dan terfikir lagi, saya telah gagal untuk "deliver" dalam usaha membuat U-turn manifesto selepas memenangi pilihan raya. Tengoklah Kerajaan Pusat sekarang, begitu rajin membuat U-turn, V-turn, sampai O-turn pun ada. Saya tidak mampu membuat "Delivery" sedemikian. Kerajaan negeri walaupun bukan lagi sebahagian daripada Kerajaan Pusat, namun kami tetap memastikan kesinambungan projek-projek jambatan yang telah dibatalkan oleh kerajaan persekutuan.

https://www.theborneopost.com/2018/05/17/its-over-says-chong-of-devolution-of-power/

Selain itu, saya terbaca isu mengenai sistem "kuota" di surat khabar yang hangat dimainkan oleh mereka yang dalam Kerajaan Pusat kebelakangan ini dan terfikir satu lagi benda yang saya tidak "Deliver" ialah permainan isu perkauman dan agama. Mungkin saudara Vincent boleh salahkan saya atau Kerajaan Negeri dalam usaha penubuhkan Unit Hal Ehwal Bukan Islam (UNIFO), serta menyediakan peruntukan sebanyak RM 20 juta untuk menjaga kebajikan semua agama bukan Islam di Sarawak. Dia nak juga saya "Deliver" seperti Kerajaan Pusat Pakatan Harapan sekarang - main isu sensitif dan memecahbelahkan masyarakat.

https://www.theborneopost.com/2018/11/23/be-fair-in-giving-out-allocations-for-religions-mordi/

Saudara Vincent mungkin marah kerana saya tidak "Deliver" dalam usaha untuk membawa Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) yang telah menyalurkan pinjaman RM 20 juta kepada 2,888 usahawan wanita di Bahagian Samarahan dan juga usaha saya untuk meluluskan Grab dan Uber sebagai khidmat e-hailing yang sah di Malaysia yang memberi peluang kepada mereka yang mahu mencari pendapatan secara sampingan sebagai pelajar, orang lencen dan untuk golongan B40.

https://www.utusanborneo.com.my/2017/11/05/rm20-juta-untuk-usahawanita-samarahan

http://m.utusan.com.my/berita/parlimen/operasi-uber-grabcar-kini-sah-1.508303

Semua yang atas sekadar coretan khayal oleh para media dan pengendali Majlis - hanya apa yang disebut Saudara Vincent Wong adalah kenyataan sahih.

Kesimpulanan, betul cakap Saudara Vincent. Saya tidak "Deliver" langsung kepada Sarawak sempena menjawat jawatan Menteri. Saya haraplah Menteri Sarawak Pakatan Harapan dapat "Deliver" sebanyak boleh, dan minta jasa baik Saudara Vincent Wong untuk terus memantau prestasi menteri Persekutuan PH dari Sarawak. Usaha saudara Vincent Wong saya dahulukan dengan ribuan terima kasih kerana sentiasa berminat dengan kerja amalan saya selama ini.



Empat projek RTP di Kuala Tatau, DUN Jepak siap Mac lepas




BINTULU: Empat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan di kawasan Kuala Tatau melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak sejak 2018 telah siap pada Mac lepas.

Empat projek berkenaan ialah naik taraf jalan Kampung Hilir Kuala Tatau, bina baharu laluan pejalan kaki Kampung Haji Ismail dan di Kampung Hilir Kuala Tatau.

Projek lain pula ialah naik taraf jalan Kampung Haji Ismail Kuala Tatau serta bina baharu laluan pejalan kaki di Kampung Seberang dan Kampung Seberang Jaya Kuala Tatau.

Projek berkenaan telah diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tatau pada 15 Mac lepas.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, YB Datuk Talib Zulpilip telah hadir menyaksikan majlis penyerahan empat projek berkenaan.

KPDNHEP Sarawak pantau kegiatan rakam filem dalam panggung wayang





KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala di semua panggung wayang di seluruh negeri sejak 24 April lalu.

Pengarahnya, Dato Stanley Tan berkata, pemeriksaan itu dijalankan bagi menangani isu cetak rompak secara langsung di media sosial oleh sindiket atau pihak tertentu yang merakam ketika gambar atau filem ditayangkan di pawagam.

Menurut beliau, sebanyak 52 pemeriksaan telah dibuat melibatkan sembilan premis panggung wayang di seluruh Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan juga Miri.

“Setakat pemeriksaan yang telah dijalankan, tiada tangkapan atau tindakan curi rakam dikesan. Malah orang awam telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi arahan anti rakaman kamera,” katanya sambil mengingatkan penggguna untuk tidak merakam filem semasa menonton di pawagam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Pemeriksaan Terhadap Kesalahan Seksyen 43A Anti Rakaman Kamera di bawah Akta Hak Cipta 1987 di Panggung Wayang Gambar di MBO tHe Spring dan GSC CityOne Megamall di sini, malam tadi.

Stanley (dua kanan) pada sidang media malam tadi.

Stanley berkata, kementeriannya memandang serius berhubung isu pelanggaran hak harta intelek ini terutama dalam menangani kegiatan cetak rompak secara langsung di media sosial.

“Isu cetak rompak ini memberi kesan negatif kepada pasaran industri perfileman di Malaysia dan seluruh dunia. Akibat daripada aktiviti haram ini menyebabkan pemain dalam industri ini  mengalami kerugian.

“Jadi menerusi operasi (pemeriksaan) diadakan, kita harap tidak ada lagi pihak yang membuat cakera padat (CD), cakera padat video (VCD ) atau cakera video digital (DVD) cetak rompak melalui rakaman di pawagam ataupun meletakkan di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan dan sebagainya,” jelas beliau.

Ujar Stanley, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43A, Akta Hakcipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bercakap mengenai pemeriksaan dilakukan di dua panggung wayang di bandar raya ini pada Ahad malam, beliau berkata, seramai 10 anggota KPDNHEP Sarawak membuat pemantauan di MBO tHe Spring dan GSC CityOne Megamall.

“Di MBO, kita memeriksa lapan buah bilik tayangan dan di GSC pula, sebanyak 10 buah bilik tayangan kita periksa,” katanya sambil memberitahu pihak panggung wayang terbabit turut  bekerjasama dalam operasi pemeriksaan ini.

Rakyat diseru sokong Abang Jo kembalikan hak Sarawak


KUCHING: Hak-hak dan kepentingan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 perlu dipelihara kerana perjanjian itu menjadikan Sarawak sebagai salah satu daripada wilayah dalam Malaysia.


Yang di Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata, beliau gembira kerana pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.


“Rundingan mengenai hak-hak yang telah terhakis hendaklah dijalankan dengan Kerajaan Persekutuan melalui saluran yang betul. Beberapa jawatankuasa perundingan Perjanjian ini telah dibentuk di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” kata Taib dalam ucapan.


“Saya percaya, jawatankuasa ini merupakan landasan terbaik untuk kita merunding dan mendapatkan kembali hak-hak kita. Kepada rakyat semua, janganlah mengambil tindakan melulu di luar batasan undang-undang yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan Negeri Sarawak,” katanya dalam ucapan Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kempat Dun Sarawak Ke-18 di sini, hari ini.


Beliau yakin Ketua Menteri dan semua pihak yang terbabit dalam rundingan ini, akan terus meletakkan kepentingan Sarawak dan agenda pembangunan untuk rakyat mengatasi segala-galanya.


Beliau menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik supaya terus menyokong usaha kepimpinan Ketua Menteri dalam rundingan untuk mengembalikan semula hak-hak Sarawak di bawah MA63.-SarawakVoice


Tunggu keputusan DUN Sarawak berhubung Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) - Liew



KUCHING: Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuat keputusan berhubung perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata langkah selanjutnya ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) hanya ditentukan selepas keputusan Usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) yang dibentangkan pada Persidangan DUN esok, diketahui.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dijadual membentangkan usul tersebut.

"Kita perlu menunggu DUN Sarawak membincangkan perkara ini esok. Kita lihat apakah keputusan usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) itu, sebab kita tidak tahu apakah 'pakej' yang  akan diputuskan oleh DUN Sarawak esok.

"Kita mahu mengetahui keputusan DUN Sarawak kerana ia mewakili suara rakyat Sarawak menerusi Ahli Dewan (wakil rakyat). Jadi kita tunggu dan lihat. Saya akan memantau perkara ini dengan dekat menerusi media sosial, semuanya senang sekarang," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Liew berkata menyatakan beliau berasa sangat gembira kerana rakyat Sarawak mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengembalikan hak-hak seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibahaskan di DUN.

Liew turut menyangkal dakwaan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Ketua Menteri berhubung MA63.

"Dari segi fakta sejarah ia masih kekal dan apa yang dipersetujui seperti dalam MA63 kekal dan tidak boleh diubah. Misalnya di Sabah ada 18 perkara dan Sarawak 20 perkara. 

"Ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh diubah. Mungkin wujud penterjemahan tertentu bagi peruntukan tertentu tetapi saya berpendapat pada akhirnya ia diserahkan kepada peguam diiktiraf untuk meneliti kerana rakyat biasa juga memberi komen berhubung perkara ini," ujarnya.

Beliau menambah hasil rundingan dengan Abang Johari akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya beliau ke Kuala Lumpur.

"Sudah tentu, (akan maklumkan kepada Tun Mahathir) beliau adalah Perdana Menteri Malaysia, beliau bos saya," katanya sambil menambah mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari merupakan inisiatif beliau sendiri dan mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir.

Liew berkata dalam pertemuan dengan
Ketua Menteri lebih sejam itu turut dibangkitkan ialah pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, Sabah dan Akta Profesion Guaman (LPA).

"Semua isu ini perlu diselesaikan satu persatu secara berasingan kerana ia tiada saling hubungan. 

"Berhubung pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi ke Kota Kinabalu, Sabah, saya memaklumkan kepada Ketua Menteri (Abang Johari) yang saya hanya mengetahuinya apabila ia menjadi isu media.

"Saya telah menghubungi Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan dimaklumkan penempatan semula itu adalah cadangan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum serta beberapa hakim tertinggi negara ketika itu tetapi perkara itu tidak akan dilaksanakan buat masa ini," jelasnya.-UtusanBorneo

Bunuh isteri, bekas pekerja kem balak ke tali gantung




SIBU: Seorang bekas pekerja kem balak dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana membunuh isterinya, lima tahun lepas.

Serberry Selih Kaya, 28, didapati bersalah membunuh Jara Jimbat di koridor flat mereka di Sibu Jaya antara pukul 1 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 4 Julai 2014.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Lim Hock Leng menegaskan pendakwaan telah membuktikan kes itu melebihi keraguan munasabah.

Serberry didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.

Ini merupakan kali kedua sabitan tertuduh terhadap kesalahan tersebut. 

Pada 17 Oktober 2016, Serberry telah disabitkan hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Supang Lian atas kesalahan yang sama.

Dia kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan yang kemudiannya memerintahkan kes itu untuk dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan tersebut.

Tertuduh dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya sejurus selepas membunuh isterinya yang berusia 52 tahun kerana cemburu.

Perasaan cemburu menguasai tertuduh yang bekerja sebagai pengendali jentera berat di Kapit ketika isterinya hanya kembali ke flat mereka di Sibu Jaya sekali-sekala dari Julau di mana mangsa bekerja sebagai tukang jahit.

Sebelum kejadian itu, tertuduh merampas telefon bimbit isterinya untuk memeriksa telefonnya dan tindakan itu menyebabkan mereka berdua bergelut.

Tertuduh didakwa memijak isterinya dan kemudian mengelar lehernya dengan pisau di tingkat dua flat mereka.

Mangsa yang berlumuran darah sempat melarikan diri dari rumah tetapi rebah di koridor luar rumah mereka dan mangsa yang mengalami kecederaan serius di leher disahkan mati di tempat kejadian.

Menurut jiran, pasangan terbabit sering bergaduh. Apabila pergaduhan menjadi lebih serius pada hari kejadian, jirannya kemudian menghubungi polis untuk bantuan lanjut.

Tiga anggota polis bergegas ke lokasi untuk meleraikan pergaduhan dan selepas pasangan itu kembali reda serta dalam keadaan baik, pihak polis beredar.

Ketiga-tiga anggota polis itu kembali semula ke flat terbabit selepas menerima panggilan. 

Apabila tiba di tempat kejadian, mereka melihat mangsa sudahpun terbaring berlumuran darah.

Pasangan itu telah berkahwin pada tahun 2012 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.-UtusanBorneo

Pindaan Fasal (2) Perkara 1 dalam Perlembagaan Persekutuan akan dibentang semula


Kuching: Pindaan Fasal (2) Perkara 1 dalam Perlembagaan Persekutuan akan dibentang semula selepas keputusan kandungan dicapai di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang berlangsung minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Di Wisma Bapa Malaysia petang tadi. - RTM Sarawak

Mengamuk ditegur bawa balik gadis




KUCHING: Gara-gara mengugut dan merosakkan perabot ibunya, seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan dan dikenakan denda RM5,000 atau penjara 24 bulan sekiranya gagal di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 
Chung Chung Leong didakwa mengamuk serta memecahkan barangan rumah apabila ditegur oleh ibunya, Tang Poh Ing, 63, pada 25 April lepas pada pukul 3.30 pagi kerana membawa wanita pulang ke rumahnya di Stapok. 
Tertuduh seterusnya mengugut ibunya menggunakan pisau sehingga mendatangkan kecederaan pada tapak tangan mangsa.
Untuk kesalahan tersebut, Chung didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Musa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal bagi pertuduhan pertama.
Chung turut melakukan kerosakan terhadap perabot milik ibunya di tempat dan waktu yang sama.
Jumlah kerosakan bernilai RM300 dan untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala bagi pertuduhan kedua, Chung dikenakan denda RM2,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal. 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.-UtusanBorneo
 

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...