SEJARAH HARI PEKERJA

SEJARAH HARI PEKERJA

TANGGAL 1 Mei saban tahun merupakan hari yang dikhaskan untuk semua tenaga kerja di dunia dan ianya tidak terkecuali bagi kita di Negara Malaysia.  Satu hari yang dikhaskan oleh setiap kerajaan di dunia bagi mengiktiraf akan sumbangan tenaga pekerja baik di sektor awam mahupun swasta.  Sekaligus pada hari ini juga ianya merupakan cuti umum untuk semua pekerja di dunia. 

Menyelusuri sejarah hari pekerja sebenarnya bermula di Amerika Syarikat iaitu sekitar tahun 1880an lagi.  Di Amerika Syarikat ianya dikenali dengan “May Day” iaitu hari yang dikhaskan untuk golongan buruh sahaja bukannya kakitangan di pejabat.  Pada waktu itu boleh dikatakan golongan buruh pula terdiri daripada pelbagai peringkat umur daripada yang tua sehinggalah kepada kanak-kanak asalkan mempunyai kudrat untuk bekerja kerana pada waktu itu tiada peraturan seperti yang kita nikmati sekarang. 

Dek kerana itulah di Amerika Syarikat pada masa itu, kebanyakan golongan buruh “dipaksa” untuk bekerja dari 12 hingga 14 jam sehari dengan tiada hari cuti sekalipun telahan lagi cuti sakit.  Sesiapa yang kedapatan sakit maka pada sudah tentu upah mereka akan dipotong lantas menambah derita golongan berpendapatan rendah yang rata-ratanya hidup miskin seperti kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bertindak daripada kesedaran para buruh yang merasakan diri mereka sudah mula dijadikan mangsa sang kapitalis maka mereka bersatu hati memperjuangkan untung nasib mereka dengan mengadakan mogok lapar dan demostrasi jalanan besar-besaran.  Mereka menuntut untuk tempohmasa mereka bekerja hanya lapan jam sehari dan selebihnya adalah dibayar lebihmasa. 

Daripada hanya melakukan mogok dan demostrasi aman akhirnya ianya bertukar menjadi ganas apabila pada tanggal 4 Mei 1886 ketika mengadakan perarakan di Chicago, satu letupan bom telah berlaku yang menyebabkan ramai anggota polis dan orang awam terkorban.  Bermula dari tarikh itulah, kesemua ketua-ketua buruh dicari oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan seterusnya ditangkap dan dihukum bunuh. Hakikatnya apa sahaja keganasan yang berlaku itu bukanlah diatur oleh golongan buruh sebaliknya oleh golongan ekstremis yang anti kerajaan.  Merekalah yang telah membuat onar iaitu dengan menangguk di air yang keruh sehingga golongan buruh yang dipersalahkan. 

Pada tahun 1888, American Federation of Labor atau Persatuan Buruh Amerika berjaya ditubuhkan secara rasmi dengan keizinan Kerajaan Amerika Syarikat.  Bagi memperingati tragedi yang berlaku pada 4 Mei 1886, Persatuan Buruh Amerika sepakat untuk menjadikan tanggal 1 Mei saban tahun sebagai hari peringatan tragedi yang berlaku di Chicago tersebut dengan setiap ahli gabungan tersebut hanya bekerja selama lapan jam sahaja pada hari tersebut.  Ianya adalah sebagai satu tanda protes mereka kepada kerajaan pada waktu itu.   Tindakan berani AFL telah disokong oleh Second International iaitu satu lagi gabungan sosialis sedunia yang mana pada tahun 1889 telah menetapkan 1 Mei sebagai “International Workers Day”. 

Hanya di ketika pemerintahan Presiden Teddy Roosevelt yang mendiami White House dari tahun 1901-1909 baharulah penguatkuasaan waktu bekerja lapan jam sehari diiktiraf di Amerika Syarikat untuk golongan buruh wanita manakala kanak-kanak pula diharamkan untuk bekerja.  Undang-undang yang ketat dan teratur juga turut berkuatkuasa ke atas majikan-majikan bagi memastikan mereka tidak mengeksploitasi tenaga pekerja mereka. Legasi Presiden Amerika Syarikat seterusnya telah mewarisi perjuangan Roosevelt sehinggalah akhirnya 1 Mei diiktiraf sebagai cuti umum negara dan perjuangan masa bekerja lapan jam sehari turut melibatkan pekerja berjantina lelaki di seluruh Amerika Syarikat. 

Di Malaysia pula, Hari Pekerja hanya diiktiraf secara rasmi semasa Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.  Tanggal 20 Mei 1972, Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu mengumumkan bahawa tarikh 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia.  Dan acara sambutan Hari Pekerja secara besar-besaran pula hanya diadakan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1991 iaitu semasa pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Begitulah sejarah ringkas Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei saban tahun di seantero dunia sekarang. Di Malaysia, keazaman dan ketegasan Perdana Menteri Malaysia kedua yakni Allahyarham Tun Abdul Razak yang langsung tidak mengambil kisah akan suara-suara sumbang golongan tertentu di dalam kerajaan itu sendiri menjadikan pekerja-pekerja di Malaysia turut mendapat satu hari mengkhusus bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara. 

Selamat hari pekerja diucapkan kepada seluruh pekerja-pekerja rakyat Malaysia samada yang bekerja di dalam Malaysia atau luar negara. 

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

Nota: Kami abadikan pekerja sektor industri minyak dan gas sebagai teaser artikel ini bagi memberi penghormatan atas keringat dan sumbangan pekerja industri ini yang merupakan industri penjana ekonomi utama Negara Malaysia dan juga Sarawak merupakan pengeluar minyak dan gas utama Negara Malaysia.  Sumbangan mereka amat besar kepada kita semua.

Rujukan:

1. The Brief Origins Of May Day
https://www.iww.org/history/library/misc/origins_of_mayday
2. Commemoranting Labour Day In Malaysia
http://malayahistory.blogspot.com/2008/05/commemorating-labour-day-in-malaysia.html
3. Celebrating Their Contributions
https://www.nst.com.my/news/2016/05/142938/celebrating-their-contributions

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...