KPDNHEP Sarawak pantau kegiatan rakam filem dalam panggung wayang





KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala di semua panggung wayang di seluruh negeri sejak 24 April lalu.

Pengarahnya, Dato Stanley Tan berkata, pemeriksaan itu dijalankan bagi menangani isu cetak rompak secara langsung di media sosial oleh sindiket atau pihak tertentu yang merakam ketika gambar atau filem ditayangkan di pawagam.

Menurut beliau, sebanyak 52 pemeriksaan telah dibuat melibatkan sembilan premis panggung wayang di seluruh Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan juga Miri.

“Setakat pemeriksaan yang telah dijalankan, tiada tangkapan atau tindakan curi rakam dikesan. Malah orang awam telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi arahan anti rakaman kamera,” katanya sambil mengingatkan penggguna untuk tidak merakam filem semasa menonton di pawagam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Pemeriksaan Terhadap Kesalahan Seksyen 43A Anti Rakaman Kamera di bawah Akta Hak Cipta 1987 di Panggung Wayang Gambar di MBO tHe Spring dan GSC CityOne Megamall di sini, malam tadi.

Stanley (dua kanan) pada sidang media malam tadi.

Stanley berkata, kementeriannya memandang serius berhubung isu pelanggaran hak harta intelek ini terutama dalam menangani kegiatan cetak rompak secara langsung di media sosial.

“Isu cetak rompak ini memberi kesan negatif kepada pasaran industri perfileman di Malaysia dan seluruh dunia. Akibat daripada aktiviti haram ini menyebabkan pemain dalam industri ini  mengalami kerugian.

“Jadi menerusi operasi (pemeriksaan) diadakan, kita harap tidak ada lagi pihak yang membuat cakera padat (CD), cakera padat video (VCD ) atau cakera video digital (DVD) cetak rompak melalui rakaman di pawagam ataupun meletakkan di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan dan sebagainya,” jelas beliau.

Ujar Stanley, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43A, Akta Hakcipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bercakap mengenai pemeriksaan dilakukan di dua panggung wayang di bandar raya ini pada Ahad malam, beliau berkata, seramai 10 anggota KPDNHEP Sarawak membuat pemantauan di MBO tHe Spring dan GSC CityOne Megamall.

“Di MBO, kita memeriksa lapan buah bilik tayangan dan di GSC pula, sebanyak 10 buah bilik tayangan kita periksa,” katanya sambil memberitahu pihak panggung wayang terbabit turut  bekerjasama dalam operasi pemeriksaan ini.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...