Tunggu keputusan DUN Sarawak berhubung Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) - Liew



KUCHING: Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuat keputusan berhubung perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata langkah selanjutnya ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) hanya ditentukan selepas keputusan Usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) yang dibentangkan pada Persidangan DUN esok, diketahui.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dijadual membentangkan usul tersebut.

"Kita perlu menunggu DUN Sarawak membincangkan perkara ini esok. Kita lihat apakah keputusan usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) itu, sebab kita tidak tahu apakah 'pakej' yang  akan diputuskan oleh DUN Sarawak esok.

"Kita mahu mengetahui keputusan DUN Sarawak kerana ia mewakili suara rakyat Sarawak menerusi Ahli Dewan (wakil rakyat). Jadi kita tunggu dan lihat. Saya akan memantau perkara ini dengan dekat menerusi media sosial, semuanya senang sekarang," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Liew berkata menyatakan beliau berasa sangat gembira kerana rakyat Sarawak mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengembalikan hak-hak seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibahaskan di DUN.

Liew turut menyangkal dakwaan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Ketua Menteri berhubung MA63.

"Dari segi fakta sejarah ia masih kekal dan apa yang dipersetujui seperti dalam MA63 kekal dan tidak boleh diubah. Misalnya di Sabah ada 18 perkara dan Sarawak 20 perkara. 

"Ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh diubah. Mungkin wujud penterjemahan tertentu bagi peruntukan tertentu tetapi saya berpendapat pada akhirnya ia diserahkan kepada peguam diiktiraf untuk meneliti kerana rakyat biasa juga memberi komen berhubung perkara ini," ujarnya.

Beliau menambah hasil rundingan dengan Abang Johari akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya beliau ke Kuala Lumpur.

"Sudah tentu, (akan maklumkan kepada Tun Mahathir) beliau adalah Perdana Menteri Malaysia, beliau bos saya," katanya sambil menambah mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari merupakan inisiatif beliau sendiri dan mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir.

Liew berkata dalam pertemuan dengan
Ketua Menteri lebih sejam itu turut dibangkitkan ialah pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, Sabah dan Akta Profesion Guaman (LPA).

"Semua isu ini perlu diselesaikan satu persatu secara berasingan kerana ia tiada saling hubungan. 

"Berhubung pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi ke Kota Kinabalu, Sabah, saya memaklumkan kepada Ketua Menteri (Abang Johari) yang saya hanya mengetahuinya apabila ia menjadi isu media.

"Saya telah menghubungi Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan dimaklumkan penempatan semula itu adalah cadangan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum serta beberapa hakim tertinggi negara ketika itu tetapi perkara itu tidak akan dilaksanakan buat masa ini," jelasnya.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...