SIBU: Penjaja tamu di tapak sementara Taman Esplaned Sibu di sini memohon jasa baik pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) agar menyediakan payung atau tempat beratap di tempat tersebut.
Wakil penjaja di situ Rinta Mamat berkata, setelah mereka dipindahkan ke tempat tersebut kira-kira dua bulan lalu mereka menghadapi kesulitan berikutan cuaca yang tidak menentu sama ada hujan atau panas.
“Kami sanggup membayar sewa RM5 sekiranya MPS menyediakan payung atau tempat beratap untuk melindungi kami daripada cuaca hujan atau panas. Tidak semua kami mampu memiliki payung.
“Semua kami dikenakan RM1 untuk sewa di tapak sementara ini malah kami sanggup bayar RM5 untuk kemudahan tersebut,” katanya menerusi video yang ditularkan menerusi laman sosial berdurasi selama seminit 50 saat kelmarin yang mendapat kongsian atau ditonton lebih daripada 50,000 netizen.
Rinta memberitahu, mereka berasa tidak diperlakukan dengan adil oleh pihak berkenaan setelah dipindahkan di situ di mana soal kemudahan paling mudah iaitu tempat beratap atau payung tidak disediakan pihak MPS bagi kemudahan mereka.
“Kebanyakkan kami datang dari rumah panjang di kawasan Pakan, Julau, Song dan Kapit semata-mata mahu menjual hasil tani dan hutan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Sekarang harga getah dan lada tidak berharga di pasaran menyebabkan kami dari rumah panjang terpaksa berjaja bagi menyara kehidupan,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, ada antara mereka terpaksa bermalam untuk datang lebih awal bagi mencari tempat yang redup atau tempat yang selesa.
“Kadang-kadang ada antara kami sampai bergaduh kerana masalah tersebut. Hati mahu banyak bersabar menempuhi kesulitan tersebut yang perlu diselesaikan MPS.
“Apalah nasib kami diperlakukan sebegini berbanding penjaja lain yang tidak dipindahkan dan masih berjaja di Pasar Sentral,” tegasnya.
Tambahnya lagi, mereka mahu MPS menyelesaikan masalah mereka dengan sebaik mungkin bagi manfaat serta keselesaan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penjaja dan Pasar MPS Kaunselor Wong Hie Ping yang bertanggungjawab terhadap isu tersebut berkata, MPS sudah sedia maklum mengenai tular video tersebut dan akan menyelesaikan masalah tersebut demi keselesaan penjaja di situ.
“Saya sudah mengetahui perkara ini dan ia telah dimaklumkan kepada saya kelmarin.
Pihak majlis akan mengkaji dan akan mengambil langkah selanjutnya berhubung aduan tersebut demi manfaat para penjaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Penjaja tamu hujung minggu (Sabtu dan Ahad) di Pasar Sentral Sibu dipindahkan oleh MPS buat sementara waktu kerana tapak mereka di situ sedang dinaik taraf.
Tapak pasar tamu di Pasar Sentral Sibu akan ditutup sementara waktu untuk peniaga hujung minggu dari 1 Mac lalu hingga Oktober tahun ini.
Justeru, pada mulanya MPS menasihati para penjaja tamu berniaga di Pasar Minggu di Jalan Mahsuri sebagai alternatif.
Tidak lama selepas itu, MPS telah mengubah keputusannya dengan membenarkan para penjaja tamu yang dipindahkan itu berniaga di Taman Esplaned Sibu di Jalan Maju di sini.
Ini kerana Pasar Minggu di Jalan Mahsuri agak sedikit jauh dari pusat bandar di mana Taman Esplaned Sibu merupakan kawasan strategik untuk penduduk luar bandar khususnya penduduk rumah panjang kerana kawasan itu berdekatan dengan Terminal Penumpang Sibu, terminal bas dan stesen kereta sewa.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment