KUCHING, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak sudah menerima dana RM10.75 juta daripada jumlah keseluruhan RM21.5 juta yang dikhususkan kepada kerja-kerja mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperuntukan Kerajaan Pakatan Harapan untuk program khas bagi bumiputera di negeri ini.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata melalui peringkat pertama program pengukuran tanah NCR, sebanyak 63 surat hak milik di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) telah pun dikeluarkan melibatkan kawasan seluas 163.088 hektar (403 ekar).
“Namun, kenapa pemberian itu beransur-ansur dan kenapa tidak memberi kesemuanya sekali gus,” soalnya semasa menjawab soalan tambahan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) yang bertanya berapa banyak dana yang sudah disalurkan kerajaan pusat untuk menyukat tanah NCR.
Katanya, peruntukan itu juga bukan hanya untuk pengukuran tanah NCR Seksyen 18 sahaja, malah ia termasuk pengukuran perimeter tanah NCR untuk Seksyen 6.
Setakat 31 Mac lepas, seluas 74,600.56 hektar (84,342 ekar) telah diwartakan sebagai ‘reserve community’ di bawah Seksyen 6, KTN, katanya.
Sementara itu, Menteri Muda Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak swasta atau agensi kerajaan untuk membangun dan merancang penganjuran pesta antarabangsa yang mempunyai potensi untuk menarik pelawat seperti Kabong International Kite Festival.
“Bagaimanapun kementerian belum mempunyai perancangan untuk mengambil alih penganjuran Kabong International Kita Festival untuk tahun 2020,” katanya semasa menjawab soalan Mohamad Chee Kadir (GPS-Kabong) yang bertanya sekiranya Kerajaan Negeri bercadang untuk mengambil alih penganjuran berkenaan.
Dalam pada itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Penguang Manggil berkata Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan peruntukan di bawah Rural Transformation Program (RTP) bagi melaksanakan cadangan Market Jungle Produce di Kapit.
“Projek itu telah dicadangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tetapi tidak diluluskan,” katanya yang menjawab soalan Jefferson Jamit Unyat (GPS-Bukit Goram) yang bertanya mengenai status terkini cadangan pembinaan Market Jungle Produce di bandar itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment