SIBU: Seorang bekas pekerja kem balak dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana membunuh isterinya, lima tahun lepas.
Serberry Selih Kaya, 28, didapati bersalah membunuh Jara Jimbat di koridor flat mereka di Sibu Jaya antara pukul 1 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 4 Julai 2014.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Lim Hock Leng menegaskan pendakwaan telah membuktikan kes itu melebihi keraguan munasabah.
Serberry didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.
Ini merupakan kali kedua sabitan tertuduh terhadap kesalahan tersebut.
Pada 17 Oktober 2016, Serberry telah disabitkan hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Supang Lian atas kesalahan yang sama.
Dia kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan yang kemudiannya memerintahkan kes itu untuk dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan tersebut.
Tertuduh dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya sejurus selepas membunuh isterinya yang berusia 52 tahun kerana cemburu.
Perasaan cemburu menguasai tertuduh yang bekerja sebagai pengendali jentera berat di Kapit ketika isterinya hanya kembali ke flat mereka di Sibu Jaya sekali-sekala dari Julau di mana mangsa bekerja sebagai tukang jahit.
Sebelum kejadian itu, tertuduh merampas telefon bimbit isterinya untuk memeriksa telefonnya dan tindakan itu menyebabkan mereka berdua bergelut.
Tertuduh didakwa memijak isterinya dan kemudian mengelar lehernya dengan pisau di tingkat dua flat mereka.
Mangsa yang berlumuran darah sempat melarikan diri dari rumah tetapi rebah di koridor luar rumah mereka dan mangsa yang mengalami kecederaan serius di leher disahkan mati di tempat kejadian.
Menurut jiran, pasangan terbabit sering bergaduh. Apabila pergaduhan menjadi lebih serius pada hari kejadian, jirannya kemudian menghubungi polis untuk bantuan lanjut.
Tiga anggota polis bergegas ke lokasi untuk meleraikan pergaduhan dan selepas pasangan itu kembali reda serta dalam keadaan baik, pihak polis beredar.
Ketiga-tiga anggota polis itu kembali semula ke flat terbabit selepas menerima panggilan.
Apabila tiba di tempat kejadian, mereka melihat mangsa sudahpun terbaring berlumuran darah.
Pasangan itu telah berkahwin pada tahun 2012 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment