RM30,000 Baik Pulih Atap Masjid Kampung Sekambal Lundu



LUNDU: Sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi baik pulih atap Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Melayu Lundu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, YB Datuk Amar Jamilah Anu berkata peruntukkan ini bagi membolehkan atapnya tidak bocor dan supaya lebih cantik.

“Saya akan memperuntukkan sebanyak RM30,000 untuk baik pulih atap Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Melayu Lundu.

“Ianya akan dicat supaya lebih cantik dan tidak bocor ketika hari hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkannya di Majlis Khatam Al-Quran sempena Program Rakan Muda Tadarus Al-Quran 2019 /1440H di Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Lundu, semalam.

Seramai 55 orang peserta menyertai Majlis Khatam Al-Quran ini.

Pada majlis itu juga Datuk Amar Jamilah turu memberikan sumbangan kepada 28 orang warga emas. 

Mengulas lanjut, objektif program ini adalah untuk meraikan bulan Ramadan al-Mubarak dengan mensyukuri dan menghayati kesuciannya.

“Selain itu, ianya untuk membina kesedaran di dalam golongan muda akan kepentingan untuk meningkatkan penghayatan terhadap amalan di bulan Ramadan.

“Ini juga untuk melahirkan golongan pemimpin muda yang mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah dengan menghayati Islam sebagai cara hidup,” tambah.

Majlis ini turut dihadiri Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching Abu Zaid bin Abu Bakar, Pemanca Ibrahim Suni, Ketua Kaum Kampung Sekambal Jariee Bujang dan KK Kampung Meriyu Raya Pawi dan Pengerusi Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Ramli Zainudin.


Tunjukkan Tradisi Kebudayaan Masyarakat Lun Bawang Untuk Tarik Kehadiran Pelancong Ke Sarawak

LAWAS: Tunjukkan tradisi kebudayaan masyarakat Lun Bawang kepada umum dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dan masyarakat lain mengetahui budaya sebenar masyarakat kita. 

Penaung Persatuan Lun Bawang Sarawak merangkap Ahli Parlimen Lawas YB Dato Henry Sum Agong berkata tidak salah untuk kita menunjukkan kepada masyarakat umum budaya kaum Lun Bawang yang hanya ada di Kepulauan Borneo ini.

“Sudah 32 tahun Persatuan Lun Bawang Sarawak ini ditubuhkan. Dalam tempoh itu, saya percaya masyarakat Lun Bawang sudah matang.

“Untuk itu, marilah kita sama-sama membangunkan Daerah Lawas dan Sarawak ini sebagai tempat asal usul kita.

“Pada hari ini kita lihat ramai yang hadir dengan memakai pakaian tradisi yang menunjukkan kebudayaan kita dan perpaduan yang sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Irau Aco Lun Bawang Sarawak 2019 anjuran Persatuan Lun Bawang Sarawak di Dataran Lawas, semalam.

Dalam pada itu, Dato Henry menambah Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat tentang pembangunan setiap kawasan agar rakyatnya dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Dalam masa terdekat ini kita akan menyaksikan pembangunan infrastruktur iaitu Lawas Mall 15 tingkat, Maktab Rendah Sains MARA, Centexs dan pembinaan hospital baru,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mengambil alih jalan ke Ba’kelalan memandangkan menteri merupakan ADUN Ba’kelalan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa bangunan yang ada sekarang ini milik Persatuan Lun Bawang Sarawak di Lawas adalah hasil usaha dan persetujuan daripada bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tok Nan yang telah menyumbang RM500,000 untuk melunaskan pembelian bangunan tiga tingkat tersebut.

Pada majlis itu, Dato Henry berjanji untuk menyalurkan peruntukkan sebanyak RM5,000 kepada setiap kontijen yang hadir pada hari ini.

Majlis ini telah dirasmikan Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Penaung Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan YB Baru Bian.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Sarawak Suria Charles Buas Pegawai Daerah Limbang Supri Awang Said, Presiden Lun Bawang Sarawak, Robin Lusong, Presiden Lun Bawang Brunei Bina Berauk, Presiden Lun Dayeh Sabah Pengiran Lalung dan Presiden Lun Dayeh Dayak Kalimantan Indonesia.




Teruskan Memberi Sokongan Kepada Wakil Rakyat Demi Agenda Pembangunan Kawasan

LIMBANG: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau harus terus memberikan sokongan kepada wakil rakyat yang sedia ada dalam memastikan agenda pembangunan dapat dicapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau YB Paulus Palu Ak Gumbang berkata sokongan ini penting supaya setiap rakyat akan merasai pembangunan yang disediakan Kerajaan Sarawak.

“Majlis yang diadakan pada hari ini adalah penghargaan saya kepada penduduk Kampung Anak Bukit yang selama ini menyokong saya.

“Selain itu, kita menyaksikan bahawa di Sarawak kehadiran bukan Islam untuk sama-sama berbuka puasa adalah suatu yang tidak asing lagi dan ini menjadi salah satu cara kita memupuk perpaduan yang telah sedia terjalin,” katanya dalam ucapan ringkas di Majlis Berbuka Puasa Bersama ADUN Batu Danau YB Paulus Palu Ak Gumbang dan Penduduk Kampung Anak Bukit di Surau Setia Bakti, di sini, semalam. 

Tambahnya, majlis ini juga bertujuan untuk membolehkan beliau menyampaikan sumbangan kepada surau-surau yang ada di kawasan DUN Batu Danau di sepanjang bulan Ramadan ini. 

Pada majlis itu, Paulus telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Surau Setia Bakti, Surau Nurul Huda dan Surau Nurul Falah.



Gawai landasan terbaik perkukuh perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum, agama





KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak merupakan landasan terbaik untuk semua memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian bukan sahaja dalam kalangan sesama ahli keluarga, tetapi juga dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memberitahu, sambutan Hari Gawai Dayak adalah masa terbaik untuk setiap lapisan masyarakat bersatu ke arah kesatuan yang lebih baik.

“Ini adalah masa yang terindah bagi kita semua dalam meraikan Hari Gawai Dayak yang akan dirai esok (hari ini) dan inilah masa untuk masyarakat Dayak mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyumbang ke arah keharmonian kaum dan pada masa sama, melahirkan rasa kesyukuran kita.

“Malah, ini juga merupakan masa terbaik untuk kita memperkasakan komitmen ke arah kesatuan yang lebih baik dalam hidup kita di masa akan datang dan seterusnya,” katanya dalam ucapan Hari Gawai Dayak 2019 di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, ramai di kalangan masyarakat Dayak akan pulang ke kampung atau ‘pulai ke menoa’ masing-masing.

Jelasnya, ini membolehkan generasi muda mengenali dan memahami adat dan budaya yang merupakan tradisi nenek moyang mereka yang perlu dipertahankan.

“Seperti rakyat Malaysia lain, masyarakat Dayak juga mengadakan ‘rumah terbuka’ bagi menyambut kedatangan sanak saudara, rakan dan tetamu mereka.

“Ini adalah tradisi yang menjadi amalan kita yang harus diteruskan supaya ikatan persaudaraan kita dapat diperkukuhkan sekali gus mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni,” tambahnya.

Malah, katanya, makanan tradisi ‘pansuh’ sememangnya amat popular yang menjadi juadah utama pada perayaan tersebut selain masakan kari, kicap dan kek lapis.

“Inilah keunikan kita di Malaysia yang menunjukkan perpaduan di kalangan rakyatnya menerusi pelbagai juadah tradisi dari pelbagai kaum yang kita sediakan,” jelasnya.

Selain itu, Uggah memberitahu, kerajaan yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan menjelang 2030.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat Dayak terutamanya generasi muda untuk memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam pertanian masing-masing.

Jelasnya, kementeriannya ada menyediakan sokongan seperti latihan dan kursus berkaitan, bahan tanaman, geran permulaan, subsidi, jaringan pasaran dan sebagainya.

“Saya juga menggalakkan petani untuk mempelbagaikan tanaman bagi mewujudkan sumber pendapatan sampingan selain bergantung kepada hasil komoditi seperti lada, getah dan sawit yang sedang mengalami kejatuhan harga.

“Kementerian saya sedang mempromosikan tanaman sampingan seperti durian, nanas, pisang, kelapa dan jagung yang mempunyai potensi besar untuk diusahakan,” tegasnya.-UtusanBorneo

Kerajaan pusat diminta selenggara jalan dari Tedungan ke Pandaruan





LIMBANG: Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) diminta menyelenggara jalan persekutuan dari Tedungan hingga ke Pandaruan dekat sini yang kini rosak dan berlubang.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, masalah jalan rosak dan berlubang khususnya dari Tedungan, Batu Danau hingga ke bandar Limbang akibat pertambahan kenderaan menyukarkan pengguna jalan raya termasuk dari negara jiran, Brunei.

“Disebabkan banyak kenderaan terutama kenderaan berat melalui jalan Tedungan, Batu Danau hingga ke bandar Limbang, jalan mengalami kerosakan agak teruk dan berlubang.

“Oleh itu, kita berharap agar kerajaan persekutuan terutama KKR memberi peruntukan menyelengara jalan-jalan terbabit,” ujarnya ketika ditemui media pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Gawai Raya di sini, semalam.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan ketua jabatan kerajaan lain.

ADUN Bukit Kota itu menjelaskan, KKR melalui Menterinya Baru Bian juga perlu mencari dana untuk menyelenggara jalan sedia ada sementara menunggu pembinaan laluan alternatif dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Long Lama, Marudi, Bario hingga ke Limbang dan Lawas tanpa melalui negara Brunei.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada amat perlu untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan bukan sahaja di Sarawak, malah Brunei dan Sabah.

Pada masa sama katanya, keadaan jalan yang kurang memuaskan boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman turut menasihati orang ramai yang balik ke kampung halaman agar berhati-hati semasa berada di jalan raya.

Perayaan Gawai dan Raya ini jelasnya, perlu disambut dalam riang gembira dan dapat berkumpul bersama keluarga.

“Oleh itu, perantau yang pulang ke kampung perlu memeriksa kenderaan, supaya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Rehat yang cukup amat penting untuk mengelak mereka berasa mengantuk ketika berada di jalan raya sekali gus mengelak kemalangan daripada berlaku,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Paulus menyeru orang ramai yang balik ke kampung halaman agar memandu dengan cermat dan berhemat, memandangkan pertambahan jumlah  kenderaan di jalan raya.

“Sebagai pengguna jalan kita perlu mempunyai kesabaran tinggi agar selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.

Sebanyak 20 topi keledar dan 150 beg kempen, diserahkan kepada pengguna jalan raya di bandar ini pada program itu.

Seramai sembilan agensi kerajaan terlibat dalam menjayakan kempen kali ini anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Limbang.-UtusanBorneo

Abang Johari - Dayak terkenal dengan sikap rajin dan gigih





KUCHING: Sempena perayaan Gawai Dayak tahun ini, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak 2.8 juta rakyat Sarawak supaya sentiasa memberi kepercayaan kepada kepemimpinan Sarawak berbanding orang luar yang disifatkannya hanya ‘datang dan pergi’.

Beliau mengakui, tidak semua orang mungkin tidak bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi “percayalah, akhirnya.. hanya kita sendiri yang dapat diharapkan untuk membantu kita sendiri.”
Menyatakan demikian dalam perutusan Gawai Dayak 2019, Ketua Menteri berkata: “Apa juga kekurangan kita sebagai satu kumpulan atau sebaliknya, kita sebagai rakyat Sarawak harus bekerjasama, walau dalam apa-apa cara sekalipun.”
Kata Abang Johari, bangsa Dayak terkenal dengan sikap rajin dan gigih, terutama ketika menghadapi kesusahan dan kesukaran hidup.
“Menjadi orang rajin ialah budaya Dayak sejak tradisi, yang berlegar sekitar kerja keras dalam menanam padi dan penghasilan beras sebagai makanan ruji,” katanya.
Pada akhir musim, Gawai diraikan, katanya.
Gawai Dayak diraikan masyarakat Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu – di Sarawak pada hari ini.

Tun Taib - Jadikan Gawai Dayak perayaan untuk bercampur gaul

KUCHING: Tun Abdul Taib Mahmud mengingatkan rakyat pelbagai kaum di negeri ini supaya Gawai Dayak yang mulai diraikan pada hari ini digunakan untuk bertemu, bertukar lawatan, bercampur gaul dan memahami adat resam antara satu sama lain.


Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, rakyat perlu menganggap perayaan tiap-tiap kaum di negeri ini sebagai masa untuk mengekalkan budaya, sambil mempelajari dan meraikan budaya kaum lain.


Taib berkata, perayaan ini merupakan peluang terbaik untuk memperbaharui ikatan dan mengeratkan silaturahim.


Melalui perayaan yang unik itu, tambahnya, akan dapat digunakan untuk memperkukuh perpaduan dan membolehkan mereka saling memahami.


“Perpaduan adalah kekuatan utama yang menjadi tunjang kestabilan dan keamanan di Sarawak,” jelasnya dalam perutusan Gawai Dayak 2019 yang mulai diraikan  hari ini oleh masyarakat Dayak.


Beliau peracay perayaan Gawai Dayak ini lebih bermakna setelah kehidupan rakyat di negeri ini, termasuk kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sudah banyak berubah.

Anak-Anak Sarawak Yang Sedang Menerima Rawatan Di IJN Dan HKL Tidak Pernah dilupakan.

KUCHING: Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (Rumah Sarawak) dengan kerjasama Sarawak Volunteers telah melawat anak-anak Sarawak yang berada di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mereka ini sedang mendapat rawatan di pusat perubatan susulan daripada penyakit yang mereka hidapi.

Bersempena sambutan perayaan Gawai dan Aidilfitri, wakil wakil Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (Rumah Sarawak) Awang Supian Awang Daud telah menyerahkan hamper kepada anak-anak Sarawak sebagai tanda ingatan bersama.

Menurut Awang Supian, lawatan dan sumbangan ini bertujuan memberikan sinar kegembiraan kepada mereka walaupun terpaksa di perantauan.

“Semoga sumbangan ini dapat membawa kegembiraan kepada mereka yang terpaksa meraikannya jauh di perantauan,” katanya.





Perayaan Gawai Raya Dan Cuti Sekolah Punca Kepada Aliran Trafik Di Pangkalan Feri Sebuyau/Triso Meningkat



KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk bersabar dan bertolak ansur ketika melalui jalan menuju ke Pangkalan Feri Sebuyau/Triso disebabkan aliran trafik meningkat ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya hari ini menjelaskan peningkatan jumlah kenderaan yang melalu jalan ke Pangkalan Feri Sebuyau/Triso itu masih dalam keadaan terkawal.

“Peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat bermula dari awal pagi semalam namun keadaan masih lagi terkawal dan ini menyebabkan kenderaan berbaris panjang semasa menunggu giliran menggunakan feri untuk menyeberangi Batang Lupar dari Sebuyau Bahagian Samarahan ke Triso Bahagian Betong.

“Kini terdapat tiga feri yang beroperasi di Pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan. 

“Langkah ini diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri adalah bermula dari 25 Mei sehingga 16 Jun ini di Pangkalan Feri Sebuyau/Triso, untuk Feri Pertama masa operasi dari 6 pagi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua beroperasi dari 4 pagi akan dilanjutkan sehingga keesokan 2 pagi dan Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam,” katanya.

Bagaimanapun, operasi feri ini tidak dapat menampung peningkatkan aliran trafik yang meningkat secara mendadak.

“Sejak semalam, ramai pengguna telah mula balik ke kampung dan menggunakan jalan persisiran merupakan punca utama menyebabkan kenderaan berbaris panjang di sebelah Sebuyau, bandingan aliran trafik dari sebelah Triso,” tambahnya.

Sementara itu, JKR Sarawak juga meminta kerjasama daripada nelayan tempatan untuk tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri. 

“Akitiviti nelayan yang memasang pukat di laluan feri telah mengganggu dan menjejaskan kelancaran operasi feri. 

“Ini menyebabkan feri terpaksa memperlahankan operasi di mana masa diambil untuk menyeberangi lebih panjang,” ujarnya.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri dinasihat supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.

PESANAN UNTUK MEREKA YANG BALIK GAWAI RAYA

PESANAN DARI SUPERINTENDEN ALEXSON NAGA UNTUK PARA PEMANDU SEMPENA GAWAI RAYA INI

KUCHING: Utamakan keselamatan diri, keluarga, dan orang lain ketika memandu pada musim perayaan itu nasihat Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Katanya berdasarkan statistik tahun lepas berbanding tahun ini 1 Januari sehingga 29 Mei tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 329 kes kemalangan iaitu dari 1,796 kes menjadi 8,125 kes pada tahun ini.

"Tahun lepas sahaja jumlah kenderaan yang terlibat  ialah sebanyak 14,253 buah dan pada tahun ini sehingga 29 Mei ini, sebanyak 15,141 kenderaan mengalami kemalangan, berlaku pertambahan sebanyak 888 buah kenderaan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa jaga-jaga ketika memandu sama ada memulakan, semasa memandu (pada waktu hujan atau malam) untuk pulang menyambut Gawai ataupun Raya nanti.

Di sini terdapat beberapa nasihat penting dari Alexson yang perlu diikuti  oleh semua  iaitu;

 Sebelum memulakan perjalanan:

1.Rancang perjalan anda dan dapatkan rehat yang secukupnya.

2.Elakkan daripada mengambil minuman atau ubatan yang boleh mendatangkan kesan mabuk atau mengantuk.
3.Hindarkan perasaan negatif seperti marah,kecewa dan teragak-agak sebelum memandu.

4.Periksa kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

5.Pastikan kedudukan tempat duduk pemandu sesuai untuk penglihatan yang maksimum dan pastikan cermin belakang dan cermin sisi berada pada kedudukan yang tepat.
6.Pastikan  tayar mempunyai tekanan angin yang mencukupi dan simpan air dan minyak hitam tambahan didalam kenderaan.

7.Simpan alat bantuan kecemasan didalam kenderaan dan servis kenderaan anda tepat pada masanya.

Ketika dalam perjalanan:

1.Bertolak awal untuk perjalanan jauh dan anda digalakkan membaca mengikut agama masing-masing.

2.Pakai tali pinggang keledar dan asingkan tempat duduk kanak-kanan yang gemar bergurau di dalam kenderaan.

3.Kedudukan kerusi pemandu yang betul dan pastikan kedudukan cermin pandang belakang dan cermin sisi yang betul.
4.Pastikan anda berehat di tempat sepatutnya dan tidak membawa muatan berlebihan.

5.Jangan menggunakan telefon ketika memandu dan pastikan anda menggunakan lorong yang betul.

Memandu waktu malam:

1.Pastikan kenderaan anda bersedia untuk pemanduan pada waktu malam dan nyalakan lampu utama kenderaan anda.
2.Pastikan anda berupaya memberhentikan kenderaan di dalam jarak cahaya lampu dan pastikan lampu anda dihalakan kearah yang betul.

3.Gunakan lampu rendah apabila mengikori kenderaan lain supaya anda tidak mengaburi atau mengganggu penglihatan pemandu lain.

4.Sekiranya anda sukar melihat akibat pancaran lampu dari kenderaan dari arah bertentangan, gunakan penanda jalan di sebelah kiri sebagai panduan.

5.Kurangkan kelajuan kenderaan. Kelajuan sesebuah kenderaan agak sukar ditafsirkan oleh pemandu pada waktu malam.

Memandu ketika waktu hujan:

1.Kurangkan kelajuan kenderaan untuk mengurangkan “hydroplane” atau keadaan kenderaan terapung di atas lapisan air.
2.Sekiranya kenderaan tergelincir, cuba kawal kenderaan atau lepaskan pedal minyak untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.

3.Berikan tumpuan yang lebih ketika memandu dan pastikan kenderaan bergerak pada kelajuan tidak melebihi 80 km/j.

4.Nyalakan lampu utama kenderaan ketika hujan lebat untuk membolehkan kenderaan ketika hujan lebat untuk membolehkan kenderaan anda mudah dilihat oleh pemandu lain.

5.Pastikan kenderaan anda berada 100 meter (4 saat) dari kenderaan di hadapan.

6.Jangan nyalakan lampu isyarat kecemasan ketika kenderaan sedang bergerak.Gunakan lampu isyarat kecemasan sekiranya terpaksa berhenti di lorong kecemasan.

7.Elakkan daripada berhenti di lorong kecemasan kerana pemandu lain mungkin sukar melihat kenderaan.

Tambah Alexson ia menjadi keutamaan para pemandu agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling semasa memandu bagi memastikan keselamatan diri , penumpang dan orang lain di sekitarnya terkawal.

Ujarnya diharapkan semua pengguna jalan raya yang menyambut Gawai Dayak dan Hari Raya tahun ini selamat sampai ke destinasi yang dituju.-SuaraSarawak

Jangan guna Gawai Dayak pecah belahkan kami, kata timbalan KM Sarawak






Kerajaan Sarawak mengiktiraf sambutan Gawai Dayak pada 1960-an sebagai perayaan kebudayaan masyarakat Dayak. (Gambar Bernama)

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing memberi amaran kepada kaum lain supaya tidak menggunakan sambutan Gawai Dayak sebagai aktiviti politik atau gimik untuk memecahbelahkan masyarakat Dayak.

Katanya, hanya orang Dayak berhak menganjurkan sambutan Gawai Dayak peringkat negeri, tetapi kaum lain dialu-alukan menyertai sambutan itu.

“Ia milik kami, oleh itu kita perlu kekalkan. Ia adalah milik kita untuk menganjurkannya.

“Orang Dayak tidak boleh membenarkan diri mereka dipergunakan secara politik oleh kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan.



Beliau berkata, sambutan Gawai Dayak peringkat negeri dianjurkan 3 badan bukan kerajaan Dayak, iaitu Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu.

“NGO ini yang diberikan penghormatan menganjurkan sambutan Gawai peringkat negeri setiap tahun, sejak Gawai Dayak diiktiraf kerajaan Sarawak pada 1960-an sebagai perayaan kebudayaan Dayak.”

Beliau berkata, tiada faktor sama yang boleh mengenal pasti 3 kumpulan utama Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu – sebagai unit tunggal.

Walaupun agama memainkan peranan dalam masyarakat Melayu, katanya, ia tidak menyatukan orang Dayak.

“Kita tiada objektif sosial sama yang boleh menyatukan diri kita sebagai satu entiti sosial. Politik boleh menjadi kaedah untuk menyatukan Dayak, tetapi sebaliknya ia terus memecahbelahkan kami.”

Bagaimanapun, katanya, sambutan Gawai Dayak ialah kaitan sama antara masyarakat Dayak.

“Oleh itu, mari kita jadikan ia untuk mengikat dan menyatukan semua masyarakat Dayak.

“Mari kita gunakan ia sebagai perayaan kebudayaan yang dinikmati semua rakyat Malaysia.”-FMT

Mangsa rabies terbaru meninggal dunia hari ini



 
KUCHING: Mangsa terbaru rabies di Sarawak meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar 9 pagi tadi.

Jackson Yap Foh Fong berusia 26 tahun dari Jalan Batu Kawa merupakan yang ke-17 meninggal dunia daripada 18 mangsa yang disahkan rabies setakat ini.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memberitahu mangsa mula mengalami lemah badan dan sukar bernafas sejak Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa juga mengalami kekeliruan, hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota badan menjadi lemah,” katanya yang dipetik.

Mangsa dikatakan mempunyai sejarah dicakar anjing peliharaan namun tidak mendapatkan rawatan.

“Pada pertengahan Mac lalu, anjing peliharaannya itu mati setelah menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia.

“Bangkai anjing telah dibuang ke dalam belukar dan tiada sebarang laporan dibuat ke JabatanPerkhidmatan Veteriner Sarawak,” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan orang ramai supaya tidak mengambil anjing yang tidak diketahui status vaksinasi untuk dipelihara memandangkan Sarawak belum bebas daripada risiko jangkitan rabies.-UtusanBorneo
 

Nelayan terjatuh laut di Kuala Sg. Alo ditemui


MUKAH - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika keluar menangkap ikan semalam di Kuala Sg. Alo di sini ditemui pagi ini.

Mayat mangsa Lee Ah Leng 37 telah ditemui pada pukul 0900 pagi ini oleh nelayan yang turut serta membantu dalam operasi pencarian pada jarak 3 batu nautika dari pantai dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.



Dua lagi mayat mangsa lemas di Tutus dijumpai pagi ini


 Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, mayat pertama Nurul Syahiera Salam,13, ditemui pada jam 7.05 pagi manakala mayat Trevince Gong, 14, dijumpai sekitar jam 7.20 pagi.

Kedua-dua mangsa dijumpai terapung di kawasan Rasau, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, mayat pertama ditemui kira-kira jam 2.30 petang semalam oleh pasukan SAR yang dikenali pasti sebagai Trisha Janggok dan berumur 12 tahun.

Mangsa dijumpai terapung  di kawasan jeti Pos Kawalan Bomba (PKB) dan disedari polis yang melalui di kawasan tersebut. 

Susulan penemuam kedua-dua mayat terakhir kejadian lemas tersebut, operasi SAR ditamatkan sekitar jam 8 pagi.-UtusanBorneo

Kerajaan Sarawak, Kastam kerjasama dalam kebajikan rakyat dan pembangunan negeri 



 


KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap dapat terus bekerjasama dengan Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) Cawangan Sarawak dalam menganjurkan program-program kebajikan untuk rakyat. 

Berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadhan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak kelolaan PERKASA Cawangan Sarawak pada Khamis, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau percaya ini bukan program terakhir persatuan itu. 

"Saya berterima kasih kepada kastam dan persatuan kerana menganjurkan program ini dan mungkin kita boleh bekerjasama dalam hal-hal lain terutama dalam memberi kebajikan bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi juga Gawai, Tahun Baru Cina dan Krismas. 

"Sebagai ketua kerajaan saya berterima kasih kepada kastam atas kerjasama dalam kita membangunkan negeri kita. Saya rasa kerja kita akan semakin bertambah, eksport bertambah, import bertambah dan kerja kastam juga akan bertambah," katanya. 

Sementara itu Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam ucapannya berkata jabatan tahun ini mengadakan lima program CSR sempena bulan Ramadhan dan sambutan Gawai. 

Program pertama katanya melibatkan penyampaian sumbangan kepada 50 warga emas di N.4 Pantai Damai disusuli N.3 Tanjong Datu bersama ibu tunggal dan seterusnya di N.18 Serembu melibatkan warga emas yang meraikan Gawai. 

Program CSR keempat berlangsung N.26 Gedong dan penutup tirai program hari ini  di N.8 Satok bagi meraikan 70 orang anak-anak yatim dari kawasan ini. 

Turut hadir isteri ketua menteri,  Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Presiden PERKASA, Abang Zamri Abang Nazarin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman. 

Selesai penyampaian sumbangan disusuli majlis berbuka puasa, Abang Johari turut menyertai solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih. 

Penganjuran program ini dalam pada itu diharap menjadi medium untuk JKDM Sarawak mendekati masyarakat sekali gus memberi rasa keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan bantuan.-UtusanBorneo

Kemudahan Surau Al Iman dinaik taraf, penduduk ucap terima kasih kepada Ketua Menteri

KUCHING: Penduduk Kampung Kudei Ulu bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan negeri, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan menaik taraf kemudahan Surau Al Iman kampung berkenaan.

Setelah lebih tujuh tahun surau berkenaan menggunakan peralatan lama, hari ini berkat bulan Ramadan yang mulia, surau tersebut menerima beberapa kelengkapan surau seperti memperbaharui aliran bekalan elektrik, tiga unit penyaman udara, PA sistem, speaker serta peralatan lain untuk kemudahan jemaah menunaikan solat terutama di bulan Ramadan ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Samay Gany dan Timbalan Ketua Cawangan PBB N.8 Satok, Ibrahim Baki mengadakan lawatan ke surau tersebut pada petang tadi.

Ketua Ranting PBB Kampung Patingan, Abdul Rahman Adenan turut hadir.
Pengurusan ahli jawatankuasa surau turut mengemukakan permohonan untuk membina surau baharu memandangkan surau itu sering dinaiki air jika banjir.




KETUA MENTERI HADIR BERBUKA PUASA BERSAMA PERSATUAN PEGAWAI KASTAM MALAYSIA

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadiri Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa dan Berjemaah Solat Maghrib anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) di Hotel Dormani, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching semalam.-JiwaBakti



KERAJAAN SARAWAK AMBIL BERAT KESEJAHTERAAN RAKYAT

LIMBANG: Kerajaan Sarawak mengambil berat terhadap kesejahteraan setiap rakyatnya dalam kehidupan pada hari ini.

Menteri Muda Pertanian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota YB Dr Abdul Rahman Ismail berkata untuk mencapai matlamat ini, Ketua Menteri telah menyediakan banyak peruntukkan untuk membantu rakyat.

“Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukkan bagi membantu anak-anak yatim menerima bantuan persekolahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

“Juga, atas inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah diperuntukkan RM1 juta setiap tahun kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membaiki rumah penduduk yang kurang berkemampuan. 

“Untuk itu, ibu tunggal yang memerlukan baik pulih rumah disarankan mendaftarkan nama mereka di Pejabat Daerah atau Pusat Khidmat DUN Bukit Kota atau Pusat Khidmat Batu Danau untuk diproses,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang di Masjid Baitul Iman Daerah Limbang, hari ini. 

Pada majlis itu, seramai 89 orang penerima yang terdiri daripada 73 orang pelajar dari sekolah rendah, 5 orang murid dari Pra Sekolah/ Tadika dan 6 orang pelajar dari sekolah menengah yang merupakan anak ahli PERKIM sahaja menerima sumbangan daripada PERKIM Cawangan Limbang. 

Turut menerima golongan asnaf yang terdiri daripada kalangan golongan kurang upaya (OKU) dan ahli-ahli PERKIM yang tiada pengharapan seperti ibu tunggal, menghidap penyakit kanser dan tiada pekerjaan.

Terdahulu, Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud dalam ucapannya berkata sebanyak RM10,040 diagihkan kepada kepada penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan golongan asnaf pada hari ini. 

“Saya berharap agar sumbangan Aidilfitri ini akan dapat meringankan beban ibu atau penjaga supaya anak-anak yatim dapat merasai kemariahan Hari Raya.

“Selain PERKIM, kita juga ada menerima sumbangan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan  untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar dan Ketua-ketua Masyarakat.





RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...