KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak merupakan landasan terbaik untuk semua memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian bukan sahaja dalam kalangan sesama ahli keluarga, tetapi juga dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memberitahu, sambutan Hari Gawai Dayak adalah masa terbaik untuk setiap lapisan masyarakat bersatu ke arah kesatuan yang lebih baik.
“Ini adalah masa yang terindah bagi kita semua dalam meraikan Hari Gawai Dayak yang akan dirai esok (hari ini) dan inilah masa untuk masyarakat Dayak mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyumbang ke arah keharmonian kaum dan pada masa sama, melahirkan rasa kesyukuran kita.
“Malah, ini juga merupakan masa terbaik untuk kita memperkasakan komitmen ke arah kesatuan yang lebih baik dalam hidup kita di masa akan datang dan seterusnya,” katanya dalam ucapan Hari Gawai Dayak 2019 di sini, semalam.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, ramai di kalangan masyarakat Dayak akan pulang ke kampung atau ‘pulai ke menoa’ masing-masing.
Jelasnya, ini membolehkan generasi muda mengenali dan memahami adat dan budaya yang merupakan tradisi nenek moyang mereka yang perlu dipertahankan.
“Seperti rakyat Malaysia lain, masyarakat Dayak juga mengadakan ‘rumah terbuka’ bagi menyambut kedatangan sanak saudara, rakan dan tetamu mereka.
“Ini adalah tradisi yang menjadi amalan kita yang harus diteruskan supaya ikatan persaudaraan kita dapat diperkukuhkan sekali gus mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni,” tambahnya.
Malah, katanya, makanan tradisi ‘pansuh’ sememangnya amat popular yang menjadi juadah utama pada perayaan tersebut selain masakan kari, kicap dan kek lapis.
“Inilah keunikan kita di Malaysia yang menunjukkan perpaduan di kalangan rakyatnya menerusi pelbagai juadah tradisi dari pelbagai kaum yang kita sediakan,” jelasnya.
Selain itu, Uggah memberitahu, kerajaan yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan menjelang 2030.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat Dayak terutamanya generasi muda untuk memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam pertanian masing-masing.
Jelasnya, kementeriannya ada menyediakan sokongan seperti latihan dan kursus berkaitan, bahan tanaman, geran permulaan, subsidi, jaringan pasaran dan sebagainya.
“Saya juga menggalakkan petani untuk mempelbagaikan tanaman bagi mewujudkan sumber pendapatan sampingan selain bergantung kepada hasil komoditi seperti lada, getah dan sawit yang sedang mengalami kejatuhan harga.
“Kementerian saya sedang mempromosikan tanaman sampingan seperti durian, nanas, pisang, kelapa dan jagung yang mempunyai potensi besar untuk diusahakan,” tegasnya.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment