KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk bersabar dan bertolak ansur ketika melalui jalan menuju ke Pangkalan Feri Sebuyau/Triso disebabkan aliran trafik meningkat ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya hari ini menjelaskan peningkatan jumlah kenderaan yang melalu jalan ke Pangkalan Feri Sebuyau/Triso itu masih dalam keadaan terkawal.
“Peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat bermula dari awal pagi semalam namun keadaan masih lagi terkawal dan ini menyebabkan kenderaan berbaris panjang semasa menunggu giliran menggunakan feri untuk menyeberangi Batang Lupar dari Sebuyau Bahagian Samarahan ke Triso Bahagian Betong.
“Kini terdapat tiga feri yang beroperasi di Pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan.
“Langkah ini diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri adalah bermula dari 25 Mei sehingga 16 Jun ini di Pangkalan Feri Sebuyau/Triso, untuk Feri Pertama masa operasi dari 6 pagi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua beroperasi dari 4 pagi akan dilanjutkan sehingga keesokan 2 pagi dan Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam,” katanya.
Bagaimanapun, operasi feri ini tidak dapat menampung peningkatkan aliran trafik yang meningkat secara mendadak.
“Sejak semalam, ramai pengguna telah mula balik ke kampung dan menggunakan jalan persisiran merupakan punca utama menyebabkan kenderaan berbaris panjang di sebelah Sebuyau, bandingan aliran trafik dari sebelah Triso,” tambahnya.
Sementara itu, JKR Sarawak juga meminta kerjasama daripada nelayan tempatan untuk tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri.
“Akitiviti nelayan yang memasang pukat di laluan feri telah mengganggu dan menjejaskan kelancaran operasi feri.
“Ini menyebabkan feri terpaksa memperlahankan operasi di mana masa diambil untuk menyeberangi lebih panjang,” ujarnya.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri dinasihat supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.
No comments:
Post a Comment