Kerajaan pusat diminta selenggara jalan dari Tedungan ke Pandaruan





LIMBANG: Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) diminta menyelenggara jalan persekutuan dari Tedungan hingga ke Pandaruan dekat sini yang kini rosak dan berlubang.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, masalah jalan rosak dan berlubang khususnya dari Tedungan, Batu Danau hingga ke bandar Limbang akibat pertambahan kenderaan menyukarkan pengguna jalan raya termasuk dari negara jiran, Brunei.

“Disebabkan banyak kenderaan terutama kenderaan berat melalui jalan Tedungan, Batu Danau hingga ke bandar Limbang, jalan mengalami kerosakan agak teruk dan berlubang.

“Oleh itu, kita berharap agar kerajaan persekutuan terutama KKR memberi peruntukan menyelengara jalan-jalan terbabit,” ujarnya ketika ditemui media pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Gawai Raya di sini, semalam.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan ketua jabatan kerajaan lain.

ADUN Bukit Kota itu menjelaskan, KKR melalui Menterinya Baru Bian juga perlu mencari dana untuk menyelenggara jalan sedia ada sementara menunggu pembinaan laluan alternatif dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Long Lama, Marudi, Bario hingga ke Limbang dan Lawas tanpa melalui negara Brunei.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada amat perlu untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan bukan sahaja di Sarawak, malah Brunei dan Sabah.

Pada masa sama katanya, keadaan jalan yang kurang memuaskan boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman turut menasihati orang ramai yang balik ke kampung halaman agar berhati-hati semasa berada di jalan raya.

Perayaan Gawai dan Raya ini jelasnya, perlu disambut dalam riang gembira dan dapat berkumpul bersama keluarga.

“Oleh itu, perantau yang pulang ke kampung perlu memeriksa kenderaan, supaya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Rehat yang cukup amat penting untuk mengelak mereka berasa mengantuk ketika berada di jalan raya sekali gus mengelak kemalangan daripada berlaku,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Paulus menyeru orang ramai yang balik ke kampung halaman agar memandu dengan cermat dan berhemat, memandangkan pertambahan jumlah  kenderaan di jalan raya.

“Sebagai pengguna jalan kita perlu mempunyai kesabaran tinggi agar selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.

Sebanyak 20 topi keledar dan 150 beg kempen, diserahkan kepada pengguna jalan raya di bandar ini pada program itu.

Seramai sembilan agensi kerajaan terlibat dalam menjayakan kempen kali ini anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Limbang.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...