KUCHING: Sempena perayaan Gawai Dayak tahun ini, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak 2.8 juta rakyat Sarawak supaya sentiasa memberi kepercayaan kepada kepemimpinan Sarawak berbanding orang luar yang disifatkannya hanya ‘datang dan pergi’.
Beliau mengakui, tidak semua orang mungkin tidak bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi “percayalah, akhirnya.. hanya kita sendiri yang dapat diharapkan untuk membantu kita sendiri.”
Menyatakan demikian dalam perutusan Gawai Dayak 2019, Ketua Menteri berkata: “Apa juga kekurangan kita sebagai satu kumpulan atau sebaliknya, kita sebagai rakyat Sarawak harus bekerjasama, walau dalam apa-apa cara sekalipun.”
Kata Abang Johari, bangsa Dayak terkenal dengan sikap rajin dan gigih, terutama ketika menghadapi kesusahan dan kesukaran hidup.
“Menjadi orang rajin ialah budaya Dayak sejak tradisi, yang berlegar sekitar kerja keras dalam menanam padi dan penghasilan beras sebagai makanan ruji,” katanya.
Pada akhir musim, Gawai diraikan, katanya.
Gawai Dayak diraikan masyarakat Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu – di Sarawak pada hari ini.
No comments:
Post a Comment