Suami maut, isteri cedera kereta terjunam ke dalam parit di Sadong Jaya




KOTA SAMARAHAN: Suami maut, isteri cedera dalam satu insiden kemalangan yang berlaku berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya, Jalan Sadong Jaya di sini awal pagi hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Tan Kuan Soon berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (Bomba), pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.59 pagi hari ini.

"Kita menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya di alamat berkenaan dan menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

"Pemanggil memaklumkan terdapat dua mangsa dipercayai sepasang suami isteri tersepit dalam kemalangan tersebut," kata Bomba dalam kenyataan di sini hari ini.

Dedahnya, tiba dilokasi kejadian pada jam 8.38 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang masuk ke dalam parit.

"Mangsa seorang lelaki yang tersepit pada bahagian pemandu telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

"Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat," jelas Bomba.

Manakala seorang lagi mangsa wanita telah selamat keluar dari kenderaan dengan bantuan arang awam dan dihantar ke Klinik Asajaya oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Setelah Bomba selesai mengeluarkan dan menyerahkan mangsa kepada pihak berkenaan, operasi ditamatkan pada jam 9.50 pagi.-UtusanBorneo

Abang Johari yakin ekonomi Sarawak berkembang 6 peratus tahun ini




PETRA JAYA: Walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar, Ketua Menteri yakin, ekonomi Sarawak dijangka berkembang enam peratus, tahun ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak mampu mengatasi pencapaian KDNK negeri lain.

Jelasnya, pendapatan Kerajaan Sarawak memperlihatkan peningkatan ekoran pelaksanaan cukai eksport terhadap minyak dan gas.

Sarawak mulai melaksana cukai jualan 5 peratus terhadap segala aktiviti petroleum di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet Sarawak 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November lalu menjelaskan levi cukai berkenaan akan dikenakan ke atas beberapa sumber termasuk minyak mentah, gas mentah, gas asli cecair, baja berasas kimia dan gas produk cecair yang mampu menghasilkan pendapatan sejumlah RM3.897 bilion.

Pelaksanaan cukai tersebut adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual 10 Bahagian Lima Kurungan 7, bahawa Kerajaan Negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

“Kerajaan akan melabur nilai pendapatan itu bagi memastikan pembangunan Sarawak terus berjalan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan dan Jemputan ke Majlis Ihsan Ramadan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok di Dewan Datu Merpati Jepang, di sini, petang semalam.

Sejak menerajui kepemimpinan Sarawak, Abang Johari yang juga Presiden PBB menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur, terutama di kawasan luar bandar.

Melalui bajet terbesar dalam sejarah, sekitar RM11 bilion, yang dibentangkan tahun lalu, beliau berusaha untuk menangani masalah bekalan elektrik dan air bersih di kawasan luar bandar.

Menurut Pengerusi GPS itu, apabila ekonomi berkembang ia akan memberi kesan positif kepada syarikat.
Foto: TVSarawak.com

Pusat kebudayaan Orang Ulu pertama Malaysia bakal dibina di Miri


 



MIRI:Pusat Kebudayaan Orang Ulu (OUCC) pertama di negara ini akan dibangunkan di Bandaraya Miri, dengan matlamat untuk dijadikan pusat bagi kebudayaan Orang UIu, penganjuran majlis dan ikon perpaduan komuniti itu.

Penasihat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (Forum)  Datuk Gerawat Gala berkata pelan bangunan OUCC telah pun siap dan diperakukan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum dikemukakan kepada Urus Setia Sarawak (SPA) untuk kelulusan sebelum tender dikeluarkan.

"Kerja pembinaan akan bermula selepas tender/kontrak ditawarkan, pembinaan OUCC dijangka mengambil masa 18 bulan dari tarikh penawaran kontrak,” katanya kepada Bernama, dan menambah,  setelah siap kelak, OUCC akan menjadi daya penarik pelancongan terbaharu bagi Bandaraya Miri.

Gerawat, yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, berkata anggaran jangka masa untuk memulakan pembinaan OUCC bergantung kepada tarikh kelulusan OUCC oleh SPA.

"Reka bentuk  OUCC diilhamkan daripada bangunan tradisional Orang Ulu, menggabungkan pelbagai motif Orang Ulu dengan reka bentuk moden bagi memaksimumkan penggunaan ruang bangunan, sebahagian dijadikan pejabat manakala sebahagian lagi untuk penganjuran majlis rasmi,” katanya.

Gerawat berkata sebagai tambahan, kawasan terbuka di luar juga boleh digunakan untuk mengadakan  persembahan kebudayaan dan permainan tradisional, dengan landskapnya turut menggabungkan sebahagian daripada kraf serta motif Orang Ulu.

Mengenai tarikan utama  OUCC, beliau berkata apabila siap, bangunan itu sendiri akan menjadi pusat tarikan yang mengetengahkan reka bentuk tradisional dan moden, dengan motif serta kerja seni Orang Ulu.

Beliau berkata terdapat kemungkinan mewujudkan sebuah galeri yang mempamerkan personaliti terkenal Orang Ulu di samping budaya dan artifak bersejarah Orang Ulu.

Sebagai rekod, pembinaan OUCC mendapat lampu hijau selepas  Abang Johari mengumumkan peruntukan RM25 juta dan sebidang tanah, semasa penutupan Simposium Kebudayaan Orang Ulu pada November 2018, dan beliau menetapkan sasaran dua tahun bagi projek itu menjadi kenyataan.

Forum berkenaan dianggotai sembilan persatuan Orang Ulu - Persatuan Kayan Sarawak, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak, Rurum Kelabit Sarawak, Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak, Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Masyarakat Saban Miri, Persatuan Lakiput Sarawak dan Persatuan Bisaya Sarawak.-UtusanBorneo

Redha hilang tempat berteduh sekelip mata menjelang Hari Raya





KOTA SAMARAHAN: Sebuah keluarga di Kampung Niup di sini redha hilang tempat berteduh sekelip mata taktala sambutan Hari Raya Aidilfiri tidak lama lagi.

Awang Ismali Awang Masri,44, berkata, ketika kejadian dia masih berada di pejabat manakala isterinya, Suria  Salleh,38, berada di sebuah bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Saya terkejut dan hanya terpaku menerima panggilan dari jiran menyatakan mengenai kebakaran yang sedang berlaku membabitkan rumah saya.

"Isteri turut memaklumkan kepada saya dia hendak ke bazar ramadan manakala dua anak saya sedang tidur di rumah,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, rumah milik Awang Ismali musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 2.30 petang.

Anggaran kerugian yang dialami ialah sebanyak sebanyak RM120,000.

Menjelas lanjut, katanya, meskipun  kehilangan tempat untuk berteduh namun dia dan isteri bersyukur kerana dua anak mereka, Dayang Nabilah, 17, dan Dayang Nazihah, 14, sempat keluar dari rumah semasa kejadian itu.

"Memang sedih kehilangan tempat tinggal ketika mula melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi.

"Namun, saya redha dengan kejadian yang berlaku dan ketentuan ilahi kepada keluarga kami," katanya.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa keluarga terbabit mendapat perhatian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menyampaikan bantuan dan sumbangan.

Sumbangan berupa barangan makanan dan wang ringgit disampaikan oleh Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama Pengarah Unimas Global, Azlan Ramli dan kakitangan Unimas lain. 

Mohamad Kadim berkata, penyampaian sumbangan itu sebagai bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit selepas musibah itu.

Katanya, meskipun bantuan  tidak seberapa namun Unimas berharap agar lebih ramai lagi pihak dapat membantu keluarga terbabit.

PEMUDA PBB TUPONG RAI 150 ANAK ANAK ASNAF

KUCHING: Seramai 150 anak-anak golongan asnaf diraikan dengan pemberian sumbangan baju raya menerusi Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Program anjuran Pergerakan Pemuda PBB N6 Tupong telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.
Menurut Fazzrudin, program tersebut adalah bertujuan untuk membantu golongan anak-anak asnaf dan yang kurang berkemampuan untuk bersama-sama menikmati Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.
“Anak-anak golongan asnaf tersebut dibawa ke SES Pesona di pusat beli-belah hopoh pagi tadi untuk mereka sendiri memilih baju raya, songkok dan keperluan raya,” katanya.
“Golongan anak-anak asnaf tersebut telah dikenal pasti di setiap ranting N6 Tupong”
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan TVSarawak di Masjid At-Taqwa, di sini, pagi tadi.
Turut Hadir Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof

Lagi kawasan perumahan baharu bakal diwujud - Abang Johari

KUCHING: Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah lagi kawasan perumahan baharu yang menghubungkan tiga kawasan berdekatan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan baharu itu bakal menyaksikan kawasan yang dilengkapi dengan pembinaan jalan raya yang menghubungkan dari bulatan Stapok ke kampung Sungai Maong terus ke Segedup.

Selain jalan raya katanya, kawasan perumahan baharu itu turut dilengkapi dengan bekalan air bersih, api dan sistem perparitan sempurna.

Katanya, konsep rumah yang akan dibangunkan ialah rumah mampu milik yang dijual dengan harga tidak terlalu mahal bagi membolehkan masyarakat khususnya di kawasan Satok memiliki rumah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ihsan Ramadan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.8 Satok di Dewan Merpati Jepang, SK Merpati Jepang, hari ini.

Seramai 210 penerima dari 14 ranting N.8 Satok menerima sumbangan itu.
Turut dibangunkan dengan kawasan perumahan ialah Sungai Bedaun dekat Santubong.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu katanya, perpaduan dalam kalangan masyarakat amat penting selain bekerjasama untuk mengukuhkan ekonomi negeri ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program seperi ini landasan untuk mengukuhkan ukhuwah masyarakat Islam lebih-lebih lagi tatkala masyarakat menyambut Hari Raya.-JiwaBakti




RM30,000 Baik Pulih Atap Masjid Kampung Sekambal Lundu



LUNDU: Sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi baik pulih atap Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Melayu Lundu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, YB Datuk Amar Jamilah Anu berkata peruntukkan ini bagi membolehkan atapnya tidak bocor dan supaya lebih cantik.

“Saya akan memperuntukkan sebanyak RM30,000 untuk baik pulih atap Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Melayu Lundu.

“Ianya akan dicat supaya lebih cantik dan tidak bocor ketika hari hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkannya di Majlis Khatam Al-Quran sempena Program Rakan Muda Tadarus Al-Quran 2019 /1440H di Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Kampung Sekambal Lundu, semalam.

Seramai 55 orang peserta menyertai Majlis Khatam Al-Quran ini.

Pada majlis itu juga Datuk Amar Jamilah turu memberikan sumbangan kepada 28 orang warga emas. 

Mengulas lanjut, objektif program ini adalah untuk meraikan bulan Ramadan al-Mubarak dengan mensyukuri dan menghayati kesuciannya.

“Selain itu, ianya untuk membina kesedaran di dalam golongan muda akan kepentingan untuk meningkatkan penghayatan terhadap amalan di bulan Ramadan.

“Ini juga untuk melahirkan golongan pemimpin muda yang mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah dengan menghayati Islam sebagai cara hidup,” tambah.

Majlis ini turut dihadiri Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching Abu Zaid bin Abu Bakar, Pemanca Ibrahim Suni, Ketua Kaum Kampung Sekambal Jariee Bujang dan KK Kampung Meriyu Raya Pawi dan Pengerusi Masjid Darul Ikhwanil Muslimin Ramli Zainudin.


RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...