KOTA SAMARAHAN: Sebuah keluarga di Kampung Niup di sini redha hilang tempat berteduh sekelip mata taktala sambutan Hari Raya Aidilfiri tidak lama lagi.
Awang Ismali Awang Masri,44, berkata, ketika kejadian dia masih berada di pejabat manakala isterinya, Suria Salleh,38, berada di sebuah bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.
"Saya terkejut dan hanya terpaku menerima panggilan dari jiran menyatakan mengenai kebakaran yang sedang berlaku membabitkan rumah saya.
"Isteri turut memaklumkan kepada saya dia hendak ke bazar ramadan manakala dua anak saya sedang tidur di rumah,” katanya.
Pada 19 Mei lalu, rumah milik Awang Ismali musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 2.30 petang.
Anggaran kerugian yang dialami ialah sebanyak sebanyak RM120,000.
Menjelas lanjut, katanya, meskipun kehilangan tempat untuk berteduh namun dia dan isteri bersyukur kerana dua anak mereka, Dayang Nabilah, 17, dan Dayang Nazihah, 14, sempat keluar dari rumah semasa kejadian itu.
"Memang sedih kehilangan tempat tinggal ketika mula melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi.
"Namun, saya redha dengan kejadian yang berlaku dan ketentuan ilahi kepada keluarga kami," katanya.
Sementara itu, nasib malang yang menimpa keluarga terbabit mendapat perhatian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menyampaikan bantuan dan sumbangan.
Sumbangan berupa barangan makanan dan wang ringgit disampaikan oleh Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama Pengarah Unimas Global, Azlan Ramli dan kakitangan Unimas lain.
Mohamad Kadim berkata, penyampaian sumbangan itu sebagai bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit selepas musibah itu.
Katanya, meskipun bantuan tidak seberapa namun Unimas berharap agar lebih ramai lagi pihak dapat membantu keluarga terbabit.
No comments:
Post a Comment