Abang Johari yakin ekonomi Sarawak berkembang 6 peratus tahun ini




PETRA JAYA: Walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar, Ketua Menteri yakin, ekonomi Sarawak dijangka berkembang enam peratus, tahun ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak mampu mengatasi pencapaian KDNK negeri lain.

Jelasnya, pendapatan Kerajaan Sarawak memperlihatkan peningkatan ekoran pelaksanaan cukai eksport terhadap minyak dan gas.

Sarawak mulai melaksana cukai jualan 5 peratus terhadap segala aktiviti petroleum di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet Sarawak 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November lalu menjelaskan levi cukai berkenaan akan dikenakan ke atas beberapa sumber termasuk minyak mentah, gas mentah, gas asli cecair, baja berasas kimia dan gas produk cecair yang mampu menghasilkan pendapatan sejumlah RM3.897 bilion.

Pelaksanaan cukai tersebut adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual 10 Bahagian Lima Kurungan 7, bahawa Kerajaan Negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

“Kerajaan akan melabur nilai pendapatan itu bagi memastikan pembangunan Sarawak terus berjalan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan dan Jemputan ke Majlis Ihsan Ramadan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok di Dewan Datu Merpati Jepang, di sini, petang semalam.

Sejak menerajui kepemimpinan Sarawak, Abang Johari yang juga Presiden PBB menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur, terutama di kawasan luar bandar.

Melalui bajet terbesar dalam sejarah, sekitar RM11 bilion, yang dibentangkan tahun lalu, beliau berusaha untuk menangani masalah bekalan elektrik dan air bersih di kawasan luar bandar.

Menurut Pengerusi GPS itu, apabila ekonomi berkembang ia akan memberi kesan positif kepada syarikat.
Foto: TVSarawak.com

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...