Sarawak, Putrajaya tidak berbalah berhubung bayaran pinjaman kontra sekolah daif


Manyin (empat kanan) merakamkan gambar bersama penerima baucer dari SK Tepoi. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Ellen Maniam Enggang (tiga kanan).
Manyin (empat kanan) merakamkan gambar bersama penerima baucer dari SK Tepoi. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Ellen Maniam Enggang (tiga kanan).
TEBEDU: Tiada perbalahan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pinjaman kontra untuk memudahkan peruntukan dana bagi membaiki sekolah daif di negeri ini. 
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manying Jawong berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah bersetuju untuk Kerajaan Sarawak membayar balik RM350 juta supaya jumlah yang sama dapat diperuntukan kepada kerajaan bagi membaiki dan membina semula sekolah tahun ini. 

Menegaskan lebih baik perkara ini diselesaikan menerusi mesyuarat rasmi daripada menyebarkan menerusi media, Manyin mendedahkan bahawa pegawai dari kementeriannya diiringi Kementerian Kewangan Negeri mengadakan pertemuan minggu lepas di Putrajaya dengan pegawai dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan bagi memuktamadkan butiran peruntukan. 
“Ia hampir dimuktamadkan sekarang. Mudah-mudahan pembayaran RM350 juta dibuat tepat pada masanya tahun ini kerana peruntukan ini perlu melalui Parlimen dahulu untuk kelulusan. 
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan jumlah yang dibayar kontra dengan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri telah menulis kepada Menteri Kewangan dan beliau bersetuju ke atas terma dan syaratnya. 
“Peruntukan bagi membaiki sekolah daif ini sudah tentu harus melebihi bajet tahunan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujar Manyin. 

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penyampaian baucar seragam sekolah Yayasan Sarawak kepada 379 penerima dari dua sekolah menengah dan 24 sekolah rendah di sini hari ini. 
Isnin lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi kenyataan media menegaskan bahawa peruntukan RM350 juta hanya dapat dicapai apabila Kerajaan Sarawak membayar balik pinjaman pada jumlah yang sama kepada Kerajaan Persekutuan. 
Menurut Lim, jumlah RM350 juta adalah fasa pertama bayaran pinjaman berjumlah RM1 bilion daripada Sarawak. 
Lim dalam kenyataan medianya juga berkata secara prinsipal Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menerima bayaran pinjaman RM1 bilion oleh Sarawak untuk digunakan bagi membaiki sekolah tertakluk kepada mekanisma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 
Manyin berkata sebaik diluluskan, sebahagian daripada peruntukan RM350 juta ini akan digunakan untuk membina sekolah berpusat di kawasan luar bandar dengan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. 
Sekolah pertama adalah SK Gahat Mawang di daerah Tebedu dan dua lagi sekolah berpusat yang dicadangkan di Betong.-UtusanBorneo

Chong persoal kelewatan kerajaan Sarawak bayar RM350 juta


CHONG - Gambar fail Bernama
CHONG - Gambar fail Bernama
KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mempersoal kelewatan kerajaan Sarawak dalam pembayaran semula RM350 juta hutang kepada kerajaan persekutuan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menegaskan, kerajaan Sarawak yang mendakwa mempunyai rizab sebanyak RM31 bilion pasti tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan RM350 juta pada bila-bila masa sahaja.
Namun, katanya, kerajaan Sarawak dilihat melambatkan pembayaran hutang RM350 juta itu.
"Mengapa kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) melewatkan pembayaran? Adakah kerajaan GPS mempunyai masalah aliran tunai untuk mengeluarkan jumlah RM350 juta ini?
"Selepas banyak publisiti yang dibuat oleh kerajaan GPS bahawa ia akan mengeluarkan RM1 bilion untuk pembayaran pertama dan kemudiannya kerajaan persekutuan akan menggunakan wang tersebut untuk diperuntukan bagi naik taraf sekolah daif di Sarawak, kerajaan negeri kini hanya bercakap tentang pembayaran semula RM350 juta berbanding RM1 bilion yang dipersetujui sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Chong, walaupun hanya RM350 juta, wang itu tidak dapat diberikan.
Tegas beliau, jika GPS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan wang tersebut, maka benarlah apa yang dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebulan lalu mengenai kemungkinan Sarawak akan bankrap jika kerajaan GPS meneruskan cara membelanjakan wang negeri.
"Adakah kerajaan negeri GPS mempunyai masalah aliran tunai sehinggakan ia tidak dapat membuat bayaran balik RM350 juta hutang kepada kerajaan persekutuan untuk memudahkan peruntukan bagi membaik semula sekolah daif di Sarawak?," soalnya lagi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa kerajaan GPS mempercepatkan pembayaran semula hutang sebanyak RM350 juta supaya sekolah luar bandar daif boleh mendapatkan peruntukan tanpa dilengahkan lagi.
Jelasnya, ini adalah peluang untuk kerajaan GPS menebus dosa mereka yang dilakukan selama 56 tahun lalu.
Dalam pada itu, Chong mendakwa kecuaian dan kegagalan menjalankan tugas selama 56 tahun oleh GPS (dahulu Barisan Nasional Sarawak) telah menyebabkan Sarawak mempunyai 1,000 sekolah daif.
Tambahnya, hanya selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan tahun lepas, barulah GPS mula membuat tuntutan untuk penyelesaian segera masalah tersebut dan meminta kerajaan PH menyelesaikan masalah selama 56 tahun dalam tempoh satu atau dua tahun.
"Ia adalah mustahil bagi kerajaan PH menyelesaikan masalah ini dalam masa singkat terutamanya mengambil kira hutang trilion ringgit yang diwarisi kerajaan PH daripada kerajaan BN yang dianggotai GPS ketika itu.
"Atas permintaan kerajaan negeri, ia telah dipersetujui agar kerajaan negeri membayar balik hutang RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan dan bayaran balik RM1 bilion ini akan diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak," jelasnya.
Menurutnya lagi, peruntukan tambahan ini merupakan peruntukan khas oleh kerajaan persekutuan sebagai tambahan kepada peruntukan operasi dan pembangunan tahunan bagi Sarawak.
"Sebenarnya, ia adalah luar biasa bagi penghutang untuk memberitahu pemuitang bahawa jika saya membayar anda wang, anda mesti menggunakan wang yang saya bayar itu untuk kegunaan saya.
"Inilah apa yang sebenarnya dituntut oleh kerajaan Sarawak. Ia sepatutnya membayar hutang yang dipinjamkan kepada kerajaan persekutuan, namun ia mengenakan syarat agar wang yang dibayarkan kepada kerajaan persekutuan mesti disalurkan untuk kegunaan Sarawak," jelasnya.
Katanya lagi, walaupun syarat pembayaran balik sedemikian luar biasa dan tidak munasabah, kerajaan persekutuan akur demi kepentingan pelajar Sarawak di sekolah daif ini.-UtusanBorneo

Hentikan politik jijik dan kotor: Abdullah





BINTANGOR: Amalan politik yang jijik dan kotor mungkin boleh dikaitkan dengan sikap segelintir masyarakat yang menghina agama, mencemuh adat dan bernada perkauman.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol berkata, perbuatan sedemikian sangat berbahaya dan boleh membawa negara ke arah kekacauan serta meretakkan perpaduan.

“Sebenarnya faktor urusan politik tidak dapat dielakkan dalam mana-mana sejarah ketamadunan manusia serta pembentukan sesebuah negara, malah politik juga wujud dalam sejarah penyebaran pelbagai kaum di dunia ini.

“Kenyataan saya mungkin bernada naif tetapi saya masih percaya dan yakin bahawa masih ada segelitir orang dalam urusan politik dalam mana-mana parti politik berjiwa ikhlas dan jujur untuk berkhidmat kepada masyarakat, berkorban dan berjuang dalam perkara-perkara yang membawa kepentingan bersama,” katanya semasa melancarkan jerayawara Program Gawai Raya bersama masyarakat di DUN Semop yang bermula di Rumah Panjang Mudai di Sungai Sian di sini, semalam.

Program Ramah-Tamah Gawai Raya itu akan diadakan sehingga 24 Jun meliputi 26 destinasi kampung serta rumah-rumah panjang di kawasan DUN Semop.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, urusan politik semakin dikaitkan dengan amalan-amalan sumbang, korup dan kesombongan.

Katanya, ini kerana kerakusan segelintir orang politik yang mengejar populariti, pangkat, mementingkan diri sendiri serta hiprokasi yang membuatkan masyrakat semakin meluat dengan kerenah orang politik.

“Peranan media sosial semakin disalahgunakan dan memang wujud segelitir orang yang berotak tetapi tidak berakal. Mulut lebih cepat dari akal.

“Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat yang sentiasa memberi persepsi serong terhadap pemimpin-pemimpin politik,” tegasnya.

Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang semakin kucar-kacir, untuk mengubah persepsi negatif masyarakat tentang politik bukan urusan yang mudah.

Katanya, tanggungjawab untuk memastikan urusan politik dihormati masyarakat adalah di tangan orang politik itu sendiri.

“Mungkin tiba masanya kepimpinan politik dari semua parti politik dalam negara ini harus berjumpa untuk secara serius berbincang dengan jujur serta ikhlas dalam aspek amalan politik yang semakin tidak terkawal ini

“Ini penting untuk memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang aman dan tenang,” katanya.

Abdullah pada masa yang sama memberitahu perpaduan masyarakat juga adalah satu bentuk pembangunan negara yang penting.

“Pilih, kamu mahu sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni atau rumah yang besar dan cantik?” ujarnya.

Menurut beliau, Sarawak adalah negeri paling majmuk di Malaysia yang menempatkan pelbagai etnik kaum dan agama serta budaya yang unik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar tidak membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk.

“Sukar untuk membangunkan negeri kita jika rakyat tidak bersatu atau bekerjasama.

“Untuk memastikan negeri kita terus membangun dalam keadaan aman, kita tiada pilihan lain selain terus bersatu hati dan jiwa untuk menolak sebarang unsur atau propaganda politik yang memecahkan kita,” katanya.

Beliau berkata, harus difikirkan sewarasnya untuk memilih kepimpinan yang ikhlas dengan menunjukkan kesungguhan serta bekerja untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan bersama.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap rumah panjang dan duit Gawai Raya kepada kanak-kanak sekolah di setiap destinasi majlis itu diadakan.

Selain acara ‘miring’ dan ‘ngiling bidai’ di rumah panjang turut diadakan persembahan hiburan, pertandingan dan cabutan bertuah.-UtusanBorneo

Tiga ratu cantik meriahkan sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri esok


KUCHING: Tiga ratu cantik dari kaum Bidayuh, Orang Ulu dan Iban akan membuat penampilan istimewa pada majlis sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri, Sabtu ini.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka akan menyaksikan penampilan istimewa Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha (Bidayuh) yang telah merangkul gelaran Miss Talent pada pertandingan Miss World 2014 di London.

Dua lagi ratu cantik ialah Miss World Malaysia 2018 La-rissa Ping (Orang Ulu) dan Miss Planet International 2019 Vivian Lin Winston (Iban).

Mereka antara 12 jelitawan Dayung Sangon (Bidayuh), Kumang Gawai (Iban) dan Keligit (Orang Ulu) yang akan membuat penampilan istimewa dan ‘Perarakan Kumang’ pada majlis itu yang dijangka dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari serta isteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Pengerusi jawatankuasa kecil untuk Dayung Sangong, Kumang dan Keligit Datuk Peter Minos berkata, Dewi akan mendendangkan lagu semasa penampilan istimewa itu.

“Ini adalah julung kalinya tiga pemenang ratu cantik peringkat antarabangsa mewakili tiga komuniti Sarawak membuat penampilan istimewa pada majlis seperti ini,” katanya.

Menurut Minos, ratu-ratu cantik lain dari seluruh negeri yang memenangi gelaran sama ada di peringkat negeri atau komuniti turut hadir memeriah-kan majlis tersebut.

Katanya, enam keling akan menyertai ratu-ratu cantik ber-kenaan membuat persembahan pentas pada malam itu nanti.

“Dua koreografer terkenal iaitu Ricky Kiwah dan Wagner John melatih para peserta menari,” katanya sambil menambah sambutan Gawai Peringkat Negeri tahun ini dihoskan oleh komuniti Bidayuh.

Menurut Minos lagi, jawa-tankuasa penganjur utama sambutan itu diketuai Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sementara itu, rumah panjang Kampung Pichin di Serian akan menjadi tuan rumah majlis penutupan sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri pada 29 Jun ini.

Manakala bagi daerah Bau, majlis penutupan sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri akan berlangsung di Dewan Suarah Bau pada 22 Jun 2019.

Sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri tahun ini juga diada-kan di Rumah Panjang Annah Rais (Padawan) dan Kampung Jagoi Duyoh (Bau) pada 31 Mei dan 1 Jun masing-masing sebelum berlangsung di Kampung Pueh di Lundu (2 Jun).-UtusanBorneo

12 kanak-kanak kembali ke sekolah

SIBU: Aidilfitri tahun ini menjadi detik paling bermakna bagi 12 kanak-kanak di Kampung Usaha Jaya Baru, Salim, di sini, apabila mereka kembali ke sekolah selepas tercicir atas pelbagai faktor.


Empat daripada murid yang berusia antara enam hingga 11 tahun itu, langsung tidak pernah bersekolah manakala lapan lagi ada yang sudah tidak bersekolah lebih dua tahun.


Menteri Muda Pendidikan Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, berkata 12 murid itu dikesan tidak bersekolah dalam program ziarah asnaf yang dilakukan di kampung itu baru-baru ini.


“Kanak-kanak itu tercicir dari sekolah akibat masalah keluarga selain kekangan kewangan. Kami mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa untuk mencari penyelesaian isu itu.


“Bantuan persekolahan sahaja tidak memadai untuk menampung keperluan murid terbabit sebab itu saya meminta PIBG membantu memantau mereka selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Dr Annuar berkata, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka sudah meluluskan dana sebanyak RM7,300 untuk membeli keperluan sekolah untuk kanak-kanak itu termasuk menguruskan pendaftaran semula mereka ke sekolah.


“Beberapa orang daripada mereka sudah mula bersekolah sejak kelmarin (Isnin) manakala selebihnya akan mula ke sekolah dalam masa terdekat.


“Bagi yang tidak pernah bersekolah, mereka tetap dimasukkan ke kelas mengikut umur mereka. Mereka akan diberikan perhatian khusus di dalam kelas selain akan dimasukkan ke kelas peralihan bagi membantu mereka dalam subjek yang ketinggalan,” katanya


Katanya, program mengesan kanak-kanak yang tercicir dari persekolahan dilaksanakan di sekolah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bagi membendung kes pelajar tercicir.


“Agak mudah bagi kita mengesan murid yang tercicir kerana mereka ada rekod pendaftaran mereka ada di sekolah tetapi masalah timbul bagi kes kanak-kanak yang langsung tidak pernah bersekolah.


“Justeru saya berharap orang ramai dapat membantu melaporkan kepada sekolah sekiranya mereka tahu ada kanak-kanak yang tidak bersekolah di kawasan kediaman mereka agar tindakan intervensi dapat dilakukan bagi membantu kanak-kanak itu,” katanya.-BH Online


Baiki segera bahagian Lebuhraya Pan Borneo yang rosak, jangan cakap saja - Tiong



  

KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) berkata tiada penambahbaikan dibuat ke atas Lebuhraya Pan Borneo meskipun Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah melakukan lawatan pemeriksaan kerja membaik pulih bahagian berhampiran Selangau pada Februari lalu.

Menurutnya, DAP gagal melaksana penambahbaikan sebenar bahagian lebuh raya itu.

Tambahnya, beberapa bahagian Lebuhraya Pan Borneo masih berbahaya kepada pengguna jalan raya walaupun banyak aduan dikemukakan.

"Pengguna mengeluh membuat aduan berulang kali mengenai bahagian jalan yang berkaitan rosak. Saya menunggu kumpulan ini (DAP) menyelesaikan masalah ini," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) berkata beliau telah meminta Menteri Kerja Raya Baru Bian dan timbalannya (Anuar Tahir) menyatakan fakta-fakta sebenar dalam laporan-laporan mereka bukan hanya memberi cerita pendek (anekdot) lisan mengenai keadaan Lebuhraya Pan Borneo.

"Saya sudah menghabiskan berinci-inci kertas mengenai aduan papan tanda yang buruk, lencongan kurang memuaskan, kurangnya lampu amaran dan lampu jalan. 

"Bila penambahbaikan akan dibuat? Bila DAP akan mengambil serius perkara ini?" soalnya.

Tiong berkata beberapa bahagian daripada 5,324 kilometer bermula dari Serudong di Sabah hingga Sematan di Sarawak banyak aduan diterima termasuk kerosakan talian utiliti, pembinaan tidak selamat disebabkan kerja-kerja yang tidak siap dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

"Tahun Baharu Cina dan Hari Raya sudah berlalu tetapi pihak-pihak bertanggungjawab membaik pulih keadaan ini masih berdiam diri," katanya.

Tiong menambah, ketika beliau dalam perjalanan ke Sibu untuk menghadiri satu majlis pada Ahad, keretanya telah melalui lencongan yang salah kerana isyarat dan papan tanda jalan tidak jelas.

Beliau menegaskan pemeriksaan sepintas lalu berhampiran Sibu, misalnya akan menunjukkan keadaan berbahaya kepada pengguna jalan raya termasuk papan tanda tidak jelas.

Keadaan itu katanya telah menyebabkan pengguna jalan raya memandu di lorong bertentangan manakala kawasan lain terdapatnya kurangnya lampu amaran.

Sehubungan itu, beliau menggesa kontraktor dilantik untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo ditamatkan kontrak jika mereka terus mengabaikan piawaian keselamatan dan membahayakan nyawa penumpang.

"Masalah-masalah ini telah menggugat keselamatan pengguna jalan raya, jadi jurutera-jurutera dan kontraktor-kontraktor yang tidak bertanggungjawab serta sekumpulan pelakon di DAP mesti memberi jawapan kepada rakyat dan Parlimen," tambahnya.-UB

Hari Malaysia: Bukti Chong jahil


-

 CHONG CHIENG JEN Sabtu  lalu berkata, PH Sarawak akan mencadangkan kepada Kabinet Persekutuan supaya hari Malaysia tahun ini diadakan di Sarawak.


Menurut Pengerusi PH Sarawak itu  yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, cadangan itu dicapai dalam mesyuarat PH Sarawak sebelum sidang media diadakan.

Tambah  Chieng Jen  lagi, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kabinet pada mesyuarat kabinet yang akan datang.

Ini satu kenyataan yang menarik.
Takkan Baru Bian yang berada dalam Kabinet, juga tidak dimaklumkan tentang perkara itu lebih awal sehingga berlaku sesuatu yang bukan saja melucukan, tetapi memalukan.

Kelihatannya sekarang, Chieng Jen yang juga ahli parlimen Stampin tidak lagi perlu melobi supaya hari bersejarah itu diadakan di Sarawak.

Sebab, semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan Hari Malaysia 2019 di Sarawak ialah cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman pemimpin GPS itu  tentu satu pukulan untuk Chieng Jen.

Betapa tidak, seolah-olah Chieng Jen dan Baru tidak tahu bahawa tarikh berkenaan telah pun diputuskan oleh Perdana Menteri.

Ketua Menteri  berkata, kerajaan negeri bersetuju dan bersedia menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun ini.

“Bulan lepas ketika saya menghadiri Mesyuarat Pemandu MA63 Perdana Menteri mencadangkan supaya sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini diadakan di Sarawak,” kata beliau semalam.

“Ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali juga ada bersama… Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri yang Sarawak menerima cadangan itu dan sedia menjadi tuan rumah untuk sambutan
Hari Malaysia tahun ini,” jelasnya.

Abang Johari berkata bagi tujuan itu satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk menganjurkan sambutan Hari Malaysia tahun ini di Sarawak.

Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan membuat segala persiapan bagi memastikan sambutan Hari Malaysia tahun ini berjalan lancar.

Dalam sidang medianya pada Sabtu lepas, Chong yang juga Adun Kota Sentoasa berkata, cadangan itu selari dengan aspirasi kerajaan PH yang menekankan kepentingan semangat MA63.

Sambutan di Sarawak itu merupakan yang pertama diadakan di Sarawak selepas PH menang dalam PRU-14, 9 Mei tahun lalu.
Sambutan Hari Malaysia pada tahun lalu diadakan di Sabah.

Sesungguhnya, tindakan mengadakan Hari Malaysia di Sarawak sesuatu yang baik.
Soal perbezaan ideologi politik perlu diketepikan kerana yang jauh lebih penting ialah integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa.

Dan yang lebih penting lagi ialah agar Sarawak dan Sabah dilayan seadil-adilnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerana seyogia diingatkan, tanpa Sarawak dan Sabah, tidak ada Malaysia.
Kelangsungan Malaysia pada masa depan bertunjangkan layanan tanpa diskriminasi dan perasaan kesatuan yang utuh dalam kalangan rakyat negara ini.

Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak harus berasa dipinggirkan, apatah lagi mempunyai tanggapan bahawa mereka dilayan bagai rakyat kelas dua.
Ini tidak baik untuk masa depan Malaysia, apatah lagi Malaysia Baharu yang kita impikan.

Pemimpin politik tidak harus mempunyai jiwa kecil, termasuk menolak Hari Malaysia diadakan di Sarawak seperti dianjurkan oleh pemimpin Star.

Menurut Lina Soo dalam satu kenyataan, tidak ada sesuatu yang perlu diraikan pada Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September.

Beliau dalam kenyataan itu mengkritik kepemimpinan PH Sarawak.
Katanya, beliau menjemput PH Sarawak supaya meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai.

“Hari berkenaan berkali-kali ganda lebih bermakna untuk Sarawak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Bagi Lina Soo, daripada melobi Hari Malaysia diadakan di Sarawak, lebih baik PH Sarawak, terutama Chieng Jen supaya melobi untuk mendapatkan lebih banyak dana prasarana dan pembangunan ekonomi untuk Sarawak.

Dari segi ini, Lina Soo memang betul.
PH Sarawak, jika benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka, perlu melobi supaya ketua mereka di Putrajaya menyalurkan lebih banyak wang untuk disalurkan demi pembangunan di Sarawak.

Mereka harus kurangkan bermain politik murahan.

Setidak-tidaknya kalau Chieng Jen berjaya melakukannya, dia dapat membersihkan rasa malu beliau ekoran kenyataannya untuk melobi Hari Malaysia  dibawa ke Sarawak, sedangkan Perdana Menteri dan Ketua Menteri telah pun bersetuju mengadakannya di Sarawak.

Hal ini membuktikan, pemimpin PH Sarawak yang lantang bersuara itu bukannya tahu segala-galanya, termasuk dalam pakatan yang dianggotainya.
Maksudnya, ada juga ketikanya beliau jahil.

Awang Bolkiah Ali ialah pengamat politik Sarawak.

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...