Hari Malaysia: Bukti Chong jahil


-

 CHONG CHIENG JEN Sabtu  lalu berkata, PH Sarawak akan mencadangkan kepada Kabinet Persekutuan supaya hari Malaysia tahun ini diadakan di Sarawak.


Menurut Pengerusi PH Sarawak itu  yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, cadangan itu dicapai dalam mesyuarat PH Sarawak sebelum sidang media diadakan.

Tambah  Chieng Jen  lagi, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kabinet pada mesyuarat kabinet yang akan datang.

Ini satu kenyataan yang menarik.
Takkan Baru Bian yang berada dalam Kabinet, juga tidak dimaklumkan tentang perkara itu lebih awal sehingga berlaku sesuatu yang bukan saja melucukan, tetapi memalukan.

Kelihatannya sekarang, Chieng Jen yang juga ahli parlimen Stampin tidak lagi perlu melobi supaya hari bersejarah itu diadakan di Sarawak.

Sebab, semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan Hari Malaysia 2019 di Sarawak ialah cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman pemimpin GPS itu  tentu satu pukulan untuk Chieng Jen.

Betapa tidak, seolah-olah Chieng Jen dan Baru tidak tahu bahawa tarikh berkenaan telah pun diputuskan oleh Perdana Menteri.

Ketua Menteri  berkata, kerajaan negeri bersetuju dan bersedia menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun ini.

“Bulan lepas ketika saya menghadiri Mesyuarat Pemandu MA63 Perdana Menteri mencadangkan supaya sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini diadakan di Sarawak,” kata beliau semalam.

“Ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali juga ada bersama… Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri yang Sarawak menerima cadangan itu dan sedia menjadi tuan rumah untuk sambutan
Hari Malaysia tahun ini,” jelasnya.

Abang Johari berkata bagi tujuan itu satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk menganjurkan sambutan Hari Malaysia tahun ini di Sarawak.

Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan membuat segala persiapan bagi memastikan sambutan Hari Malaysia tahun ini berjalan lancar.

Dalam sidang medianya pada Sabtu lepas, Chong yang juga Adun Kota Sentoasa berkata, cadangan itu selari dengan aspirasi kerajaan PH yang menekankan kepentingan semangat MA63.

Sambutan di Sarawak itu merupakan yang pertama diadakan di Sarawak selepas PH menang dalam PRU-14, 9 Mei tahun lalu.
Sambutan Hari Malaysia pada tahun lalu diadakan di Sabah.

Sesungguhnya, tindakan mengadakan Hari Malaysia di Sarawak sesuatu yang baik.
Soal perbezaan ideologi politik perlu diketepikan kerana yang jauh lebih penting ialah integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa.

Dan yang lebih penting lagi ialah agar Sarawak dan Sabah dilayan seadil-adilnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerana seyogia diingatkan, tanpa Sarawak dan Sabah, tidak ada Malaysia.
Kelangsungan Malaysia pada masa depan bertunjangkan layanan tanpa diskriminasi dan perasaan kesatuan yang utuh dalam kalangan rakyat negara ini.

Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak harus berasa dipinggirkan, apatah lagi mempunyai tanggapan bahawa mereka dilayan bagai rakyat kelas dua.
Ini tidak baik untuk masa depan Malaysia, apatah lagi Malaysia Baharu yang kita impikan.

Pemimpin politik tidak harus mempunyai jiwa kecil, termasuk menolak Hari Malaysia diadakan di Sarawak seperti dianjurkan oleh pemimpin Star.

Menurut Lina Soo dalam satu kenyataan, tidak ada sesuatu yang perlu diraikan pada Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September.

Beliau dalam kenyataan itu mengkritik kepemimpinan PH Sarawak.
Katanya, beliau menjemput PH Sarawak supaya meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai.

“Hari berkenaan berkali-kali ganda lebih bermakna untuk Sarawak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Bagi Lina Soo, daripada melobi Hari Malaysia diadakan di Sarawak, lebih baik PH Sarawak, terutama Chieng Jen supaya melobi untuk mendapatkan lebih banyak dana prasarana dan pembangunan ekonomi untuk Sarawak.

Dari segi ini, Lina Soo memang betul.
PH Sarawak, jika benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka, perlu melobi supaya ketua mereka di Putrajaya menyalurkan lebih banyak wang untuk disalurkan demi pembangunan di Sarawak.

Mereka harus kurangkan bermain politik murahan.

Setidak-tidaknya kalau Chieng Jen berjaya melakukannya, dia dapat membersihkan rasa malu beliau ekoran kenyataannya untuk melobi Hari Malaysia  dibawa ke Sarawak, sedangkan Perdana Menteri dan Ketua Menteri telah pun bersetuju mengadakannya di Sarawak.

Hal ini membuktikan, pemimpin PH Sarawak yang lantang bersuara itu bukannya tahu segala-galanya, termasuk dalam pakatan yang dianggotainya.
Maksudnya, ada juga ketikanya beliau jahil.

Awang Bolkiah Ali ialah pengamat politik Sarawak.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...