Hentikan politik jijik dan kotor: Abdullah





BINTANGOR: Amalan politik yang jijik dan kotor mungkin boleh dikaitkan dengan sikap segelintir masyarakat yang menghina agama, mencemuh adat dan bernada perkauman.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol berkata, perbuatan sedemikian sangat berbahaya dan boleh membawa negara ke arah kekacauan serta meretakkan perpaduan.

“Sebenarnya faktor urusan politik tidak dapat dielakkan dalam mana-mana sejarah ketamadunan manusia serta pembentukan sesebuah negara, malah politik juga wujud dalam sejarah penyebaran pelbagai kaum di dunia ini.

“Kenyataan saya mungkin bernada naif tetapi saya masih percaya dan yakin bahawa masih ada segelitir orang dalam urusan politik dalam mana-mana parti politik berjiwa ikhlas dan jujur untuk berkhidmat kepada masyarakat, berkorban dan berjuang dalam perkara-perkara yang membawa kepentingan bersama,” katanya semasa melancarkan jerayawara Program Gawai Raya bersama masyarakat di DUN Semop yang bermula di Rumah Panjang Mudai di Sungai Sian di sini, semalam.

Program Ramah-Tamah Gawai Raya itu akan diadakan sehingga 24 Jun meliputi 26 destinasi kampung serta rumah-rumah panjang di kawasan DUN Semop.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, urusan politik semakin dikaitkan dengan amalan-amalan sumbang, korup dan kesombongan.

Katanya, ini kerana kerakusan segelintir orang politik yang mengejar populariti, pangkat, mementingkan diri sendiri serta hiprokasi yang membuatkan masyrakat semakin meluat dengan kerenah orang politik.

“Peranan media sosial semakin disalahgunakan dan memang wujud segelitir orang yang berotak tetapi tidak berakal. Mulut lebih cepat dari akal.

“Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat yang sentiasa memberi persepsi serong terhadap pemimpin-pemimpin politik,” tegasnya.

Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang semakin kucar-kacir, untuk mengubah persepsi negatif masyarakat tentang politik bukan urusan yang mudah.

Katanya, tanggungjawab untuk memastikan urusan politik dihormati masyarakat adalah di tangan orang politik itu sendiri.

“Mungkin tiba masanya kepimpinan politik dari semua parti politik dalam negara ini harus berjumpa untuk secara serius berbincang dengan jujur serta ikhlas dalam aspek amalan politik yang semakin tidak terkawal ini

“Ini penting untuk memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang aman dan tenang,” katanya.

Abdullah pada masa yang sama memberitahu perpaduan masyarakat juga adalah satu bentuk pembangunan negara yang penting.

“Pilih, kamu mahu sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni atau rumah yang besar dan cantik?” ujarnya.

Menurut beliau, Sarawak adalah negeri paling majmuk di Malaysia yang menempatkan pelbagai etnik kaum dan agama serta budaya yang unik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar tidak membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk.

“Sukar untuk membangunkan negeri kita jika rakyat tidak bersatu atau bekerjasama.

“Untuk memastikan negeri kita terus membangun dalam keadaan aman, kita tiada pilihan lain selain terus bersatu hati dan jiwa untuk menolak sebarang unsur atau propaganda politik yang memecahkan kita,” katanya.

Beliau berkata, harus difikirkan sewarasnya untuk memilih kepimpinan yang ikhlas dengan menunjukkan kesungguhan serta bekerja untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan bersama.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap rumah panjang dan duit Gawai Raya kepada kanak-kanak sekolah di setiap destinasi majlis itu diadakan.

Selain acara ‘miring’ dan ‘ngiling bidai’ di rumah panjang turut diadakan persembahan hiburan, pertandingan dan cabutan bertuah.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...