Perhimpunan Aman Solidariti MA63 di Sibu lancar, aman 




Orang ramai yang hadir di Perhimpunan Aman Solidariti MA63 Sarawak 2019 edisi Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang, hari ini.
SIBU: Perhimpunan Aman Solidariti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak 2019 edisi Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang berlangsung aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dianjurkan Kelab Kesetiaan Sarawak (KKS) dengan kerjasama Persatuan Solidariti Nasional Sarawak (PERSONA) dan pelbagai zon badan bukan kerajaan (NGO), sebagai kesinambungan daripada perhimpunan yang telah berlangsung dengan jayanya di Padang Merdeka, Kuching pada 19 Januari lepas. 

Lebih 100 peserta yang berpakaian serba hitam berkumpul di Dataran Tun Tuanku Bujang pada program yang bermula pukul 2.30 petang. 

Difahamkan perhimpunan berkenaan tidak melibatkan mana-mana parti politik, dan telah mendapat permit daripada polis, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) serta pihak berkuasa lain. 

Perhimpunan dimulakan bacaan doa, lagu pertandingan Fairland Sarawak dan Ibu Pertiwiku diringi menaikkan bendera Sarawak serta ucapan pembukaan oleh Pengerusi PERSONA Abang Mohamad Hariq Abang Kassim. 

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Sarawak betapa pentingnya hak-hak Sarawak dalam Perjanjian MA63.

Selain itu, ia juga bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bahawa anak-anak Sarawak mahukan hak-hak Sarawak di bawah MA63 yang terhakis agar dipulihkan, dikembalikan kepada Sarawak dihormati semua pihak.

Seramai lima jurucakap daripada pelbagai lapisan Anak Sarawak secara sukarela dilantik untuk memenuhi ucapan perhimpunan termasuk Pengerusi KKS, Abdul Halim Hamdian dengan ucapan berkaitan Kedaulatan Sarawak Asas Perpaduan Anak Sarawak, Hamden Merais mengenai Penubuhan Malaysia, Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim (Pendidikan dan Kesihatan) Sivanesan Sanmugalingam (Borneonisasi, Polisi Yang Terabai) dan Alexander Frederick Diglin (MA63, Visi dan Harapan Para Pengasas). 

Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan ikrar yang dipimpin Mohamad Arhman Ahmad Mahdi selain menandatangani panel ikrar.

Pihak pengelola juga dalam perancangan untuk mengadakan beberapa program yang sama di seluruh bandar utama di Sarawak pada tahun ini.-Utusan Borneo

Kebakaran Lelaki tinggal sehelai sepinggang




MUSNAH: Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran rumah tersebut.
MIRI: Seorang lelaki tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiaminya bersendirian di Kampung Piasau Utara di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran terbabit kira-kira jam 4.02 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, kebakaran memusnahkan keseluruhan rumah dua tingkat separuh kekal itu.

“Komander operasi memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30 kaki kali 40 kaki persegi terbakar 100 peratus.

“Mangsa dikenali Radey Pelong tinggal seorang diri dan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Law berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Operasi dijalankan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng serta dibantu anggota Bomba dari BBP Miri.-Utusan Borneo

RM1.25 juta atasi banjir kilat di jalan persekutuan di Limbang




 
LIMBANG: Kementerian Kerja Raya hari ini mengumumkan peruntukan RM1.25 juta bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di laluan jalan persekutuan di Limbang.

Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar) berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan pembetong yang dilaksanakan tahun ini bagi memastikan masalah itu tidak berlaku di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sering di landa banjir kilat.

“Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti beberapa lokasi iaitu di antara bandar Limbang dan sempadan Brunei di Temburong,” katanya semasa berucap sesi bersama dengan pegawai serta kakitangan persekutuan di sini hari ini.

Sementara itu Baru berkata tiga projek hospital di Sarawak akan diteruskan tahun ini, yang terdiri daripada Hospital Lawas, Hospital Miri dan Hospital Petra Jaya di Kuching.

“Untuk projek Hospital Lawas tarikh tutup tender ialah 3 Jun 2019 dan kontraktor dijangka menerima Surat Setuju Terima (SST) projek pada 17 Dis 2019,” katanya.

Beliau berkata, untuk Hospital Petra Jaya di Kuching tarikh tutup tender ialah pada 25 Mac 2019 dengan SST pada 20 Sept 2019 manakala bagi Hospital Miri tender dijangka akan ditawarkan pada 5 April 2019.

“Tahun ini 32 buah sekolah daif di Sarawak akan dinaiktaraf,” katanya lagi.
Sementara itu di dalam sidang media kemudiannya Baru berkata, Kementerian Kerja Raya akan cuba untuk berbincang dengan kementerian berkaitan supaya dua projek persekutuan di Limbang dapat dipercepatkan pelaksanaan.

Menurutnya dua projek berkenaan ialah projek naiktaraf Hospital Limbang dan pembinaan kuarter polis di Limbang yang baharu mengantikan kuarter sedia ada berusia lebih 40 tahun.

“Saya akan cuba meminta kementerian berkaitan untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek itu dengan peruntukkan disediakan dalam Belanjawan 2020,” katanya. - Bernama 

Daerah Saratok lancar operasi tegah merokok di kedai makan hari ini




SARATOK: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Saratok menjalankan operasi sulung pagi tadi sempena penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan dan minum yang bermula di negeri ini 1 Mac, hari ini.

Majlis pelancaran operasi larangan merokok bagi Daerah Saratok disempurnakan oleh Wakil Pegawai Daerah Saratok, Odeliny Migas.

Seramai 25 pegawai terlibat dalam operasi pertama itu yang dilakukan di sekitar pekan Saratok, Roban, Kabong dan Nyabor.
Ketua Penolong Pegawai Kesihatan

Persekitaran PKD Saratok, Suib Haji Jenai selaku penyelaras operasi memberitahu daripada 25 pegawai yang terlibat 10 orang merupakan penolong pegawai kesihatan persekitaran , lima pembantu kesihatan awam dan empat orang merupakan pelatih pembantu kesihatan awam.

“Gerai Morni, Dango Nek Kochon Saratok menjadi lokasi pelancaran yang berlangsung pada jam 9 pagi.

“Aktiviti penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan di negeri ini akan dilaksana selepas tempoh enam bulan penguatkuasaan pendidikan tamat.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan mula menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan bermula 1 Mac 2019 hingga 31 Ogos.

“Namun selepas tempoh enam bulan dari sekarang pelaksanaan penguatkuasaan akan mengenakan denda kepada mereka yang melanggar peraturan.

“Penguatkuasaan berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (Pindaan 2018) di bawah Akta Makanan 1983.

Di bawah Peraturan 22 PPKHT 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, ” ujarnya.

Manakala bagi Peraturan 12 PPKHT 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Dan tambahnya bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

“Semua anggota penguatkuasaan jabatan mempunyai kad kuasa yang akan ditunjukkan semasa aktiviti penguatkuasaan dijalankan,” tambahnya.-SV

Komitmen tinggi perlu untuk selesaikan isu air di luar bandar




Dr Rundi  menyempurnakan simbolik perasmian dengan memotong reben sebelum memasuki pejabat baharu JBALB Bahagian Bintulu sambil disaksikan (dari kiri) Alice, Talib, Chang dan Majang, Jack (belakang) serta tetamu lain

BINTULU: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak perlu memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan projek-projek rakyat menjelang tahun 2020 yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar Sarawak. 

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.8 bilion untuk melaksanakan projek-projek yang membabitkan kawasan yang mengalami masalah air yang kritikal di negeri ini. 

Katanya, ia membabitkan pembangunan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip serta inisiatif pemodenan dan Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

"Pihak kami telah mengambil masa setahun untuk membuat perancangan untuk kawasan-kawasan tersebut yang mana telah dilaksanakan dan ada antaranya telah dianugerahkan kepada kontraktor untuk pelaksanaan," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena tersebut.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi Pejabat baharu JBALB Bahagian Bintulu di Wisma Forego, Pusat Komersial Assyakirin di Jalan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dr Rundi berkata pihaknya juga menetapkan masa dua tahun untuk menyiapkan lapan projek yang sedang dilaksanakan di Bintulu. 

"Sebarang aduan yang diterima daripada rakyat perlu diberi perhatian serta pihak kami juga melaksanakan tender terbuka untuk semua orang mengikut prosedur yang ada untuk pelaksanaan projek terbabit," ujarnya. 

Beliau berharap setiap projek yang dilaksanakan dapat disiapkan menjelang tahun 2020 seperti yang diamanah dan dikehendaki Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Sementara itu, Pengarah JBALB Sarawak Ir Chang Kuet Shian berkata, transformasi jabatan bukan hanya melibatkan sistemnya bahkan melibatkan kebajikan kakitangannya termasuk mewujudkan pejabat yang selesa untuk menjalankan kerja-kerja jabatan. 

"Saya percaya JBALB Sarawak sedang bergerak ke hadapan mendepani segala rintangan, menangani setiap permasalahan dan isu segera dan telus," ujarnya. 

Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang, ADUN Samalaju Majang Renggi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Dato Ir Alice Jawan Empaling, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi.-Utusan Borneo

SFC berjaya rampas haiwan eksotik dalam operasi seluruh negeri




Ular sawa hidup antara yang dirampas oleh unit penguatkuasaan SFC dalam operasi baru-baru ini. - Gambar ihsan SFC

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas beberapa spesies haiwan jarang ditemui dalam operasi serbuan penyalahgunaan hidupan liar di seluruh negeri baru-baru ini.

Bertindak atas maklumat, pasukan penguatkuasa SFC merampas beberapa spesies dari penjual dan penjaga termasuk Burung Hantu Bubu, Burung Hantu Kuning (hidup), Burung Serindit Biasa (hidup), Burung Terkukur (hidup) serta burung-burung lain (hidup), Tuntung Borneo (Borneon Terrapin), kura-kura, selain ular sawa hidup, daging ular sawa serta daging babi hutan.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh unit penguatkuasaan SFC yang diadakan di pasar basah di Miri, Kuala Baram, Kuching, Kota Samarahan, Matang, Serian, Bau, Sibu, Julau, Selangau, Bintulu dan Kidurong.

"Pasukan kami turut mendapat bantuan daripada pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hutan Sarawak untuk membantu dalam pelbagai serbuan di pasar basah yang disasarkan, kawasan komersial dan perumahan.

"Laporan polis juga telah dibuat dalam satu serbuan terhadap mereka yang ditangkap kerana memiliki hidupan liar.

Bagaimanapun ramai penjual hidupan liar berjaya melarikan diri sebelum pasukan penguatkuasaan kami tiba," katanya dalam satu kenyataanhari ini.

Menurut beliau, malahan ada diantara hidupan liar berkenaan ditinggalkan ketika penjual melarikan diri daripada pasukan penguatkuasaan.

Zolkipli berkata, pihaknya tidak akan berhenti untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan eksplotasi hidupan liar di seluruh negeri terutamanya yang didagangkan.

Beliau berkata selain daripada serbuan penguatkuasaan, pasukan SFC juga akan memasang poster di pasar basah yang memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menjual hidupan liar.

"Kempen kesedaran dan pendidikan juga amat penting selain daripada penguatkuasaan. Matlamat jangka panjang kami adalah untuk menghentikan penyalahgunaan, perdagangan dan memakan hidupan liar di Sarawak.

"Apatah lagi memang tidak untuk sebarang eksploitasi spesies yang dilindungi sepenuhnya," katanya.
Beliau turut mengumumkan penubuhan talian hotline SFC untuk menangani penyalahgunaan hidupan liar di Sarawak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline berkenaan di Kuching (019-8859996, 016-8565564), Sibu (019-8190140, 019-8894474), Bintulu (019-8223449) dan di Miri (019-8224566, 019-8290994).- Utusan Borneo

Samsung perkenal Galaxy S10 ke pasaran tempatan



GENTING HIGHLANDS: Samsung Malaysia Electronics hari ini memperkenalkan model terbaharu telefon pintarnya bagi siri Galaxy S iaitu Galaxy S10.

Presidennya, Yonsoo Kim berkata, model itu dibangunkan dengan kecerdasan pragmatik dan dihasilkan bagi mereka bentuk kesempurnaan sekali gus membolehkan pengguna menerokai potensi dan pengalaman di dunia tidak seperti sebelum ini.

"Pelancaran ini amat istimewa bagi Samsung kerana ia menandakan 10 tahun untuk kami menawarkan inovasi berupa telefon pintar generasi terkini melalui siri Galaxy S ini," katanya pada pelancaran model itu bersempena majlis ulang tahun ke 10 siri Galaxy S di sini, hari ini.

Beliau berkata, Samsung bakal meraikan ulang tahun ke-10 bagi siri Galaxy S dengan cara unik di mana ia akan menjadi jenama telefon pintar pertama yang melakukan penerbangan.

Menurutnya, sebuah belon panas yang dilengkapi telefon pintar terbaharu itu bakal dilancarkan pada ketinggian 80,000 kaki dengan peranti itu akan merakamkan gambar 'bird's eye' bumi yang lebih terang dan dinamik daripada mana-mana video yang diambil menggunakan telefon pintar.

Ketika penerbangan Galaxy S10 itu dilakukan, orang ramai boleh menyertai peraduan atas talian untuk meneka di mana peranti itu akan mendarat dengan lokasi tekaan pendaratan paling hampir akan memenangi Galaxy S10 baharu.

"Peraduan yang dikenali 'Be Unbeaten' itu berlangsung hingga Isnin ini. Sambutan ini adalah percubaan pertama Samsung dan Malaysia terpilih sebagai pasaran pertama untuk melaksanakan gimik ini.

"Kami akan menjatuhkan 10 unit telefon pintar ini ke bumi di mana 10 peneka paling tepat akan memenangi telefon pintar baharu Galaxy S10," katanya.

Samsung Galaxy S10 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Galaxy S10e dengan storan 128 GB, Galaxy S10 dan S10+ (128GB) dan Galaxy S10+ (512 GB) serta ditawarkan pada harga bermula RM2,699 hingga RM4, 599.

Peranti ini didatangkan dalam warna putih, hitam dan hijau Prism manakala warna putih dan hitam seramik boleh didapati bagi Samsung Galaxy S10+ (512 GB).

Samsung Malaysia Electronics akan menganjurkan siri jelajah Galaxy S10 yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 Mac 2019 bertempat di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur; AEON Tebrau City, Johor Bahru dan Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Pelanggan yang membeli telefon pintar terbaharu Galaxy S10 pada siri jelajah ini layak mendapatkan hadiah eksklusif percuma iaitu Galaxy Buds bernilai RM499 untuk pembelian Galaxy S10e, Galaxy Buds dan Perlindungan Skrin Plus bernilai RM779 (Galaxy S10 dan S10+(128 GB) dan Galaxy Watch Active dan Perlindungan Skrin Plus bernilai RM1,079 (Galaxy S10+ (512 GB).-BH Online

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...