Ular sawa hidup antara yang dirampas oleh unit penguatkuasaan SFC dalam operasi baru-baru ini. - Gambar ihsan SFC
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas beberapa spesies haiwan jarang ditemui dalam operasi serbuan penyalahgunaan hidupan liar di seluruh negeri baru-baru ini.
Bertindak atas maklumat, pasukan penguatkuasa SFC merampas beberapa spesies dari penjual dan penjaga termasuk Burung Hantu Bubu, Burung Hantu Kuning (hidup), Burung Serindit Biasa (hidup), Burung Terkukur (hidup) serta burung-burung lain (hidup), Tuntung Borneo (Borneon Terrapin), kura-kura, selain ular sawa hidup, daging ular sawa serta daging babi hutan.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh unit penguatkuasaan SFC yang diadakan di pasar basah di Miri, Kuala Baram, Kuching, Kota Samarahan, Matang, Serian, Bau, Sibu, Julau, Selangau, Bintulu dan Kidurong.
"Pasukan kami turut mendapat bantuan daripada pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hutan Sarawak untuk membantu dalam pelbagai serbuan di pasar basah yang disasarkan, kawasan komersial dan perumahan.
"Laporan polis juga telah dibuat dalam satu serbuan terhadap mereka yang ditangkap kerana memiliki hidupan liar.
Bagaimanapun ramai penjual hidupan liar berjaya melarikan diri sebelum pasukan penguatkuasaan kami tiba," katanya dalam satu kenyataanhari ini.
Menurut beliau, malahan ada diantara hidupan liar berkenaan ditinggalkan ketika penjual melarikan diri daripada pasukan penguatkuasaan.
Zolkipli berkata, pihaknya tidak akan berhenti untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan eksplotasi hidupan liar di seluruh negeri terutamanya yang didagangkan.
Beliau berkata selain daripada serbuan penguatkuasaan, pasukan SFC juga akan memasang poster di pasar basah yang memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menjual hidupan liar.
"Kempen kesedaran dan pendidikan juga amat penting selain daripada penguatkuasaan. Matlamat jangka panjang kami adalah untuk menghentikan penyalahgunaan, perdagangan dan memakan hidupan liar di Sarawak.
"Apatah lagi memang tidak untuk sebarang eksploitasi spesies yang dilindungi sepenuhnya," katanya.
Beliau turut mengumumkan penubuhan talian hotline SFC untuk menangani penyalahgunaan hidupan liar di Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline berkenaan di Kuching (019-8859996, 016-8565564), Sibu (019-8190140, 019-8894474), Bintulu (019-8223449) dan di Miri (019-8224566, 019-8290994).- Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment