Komitmen tinggi perlu untuk selesaikan isu air di luar bandar




Dr Rundi  menyempurnakan simbolik perasmian dengan memotong reben sebelum memasuki pejabat baharu JBALB Bahagian Bintulu sambil disaksikan (dari kiri) Alice, Talib, Chang dan Majang, Jack (belakang) serta tetamu lain

BINTULU: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak perlu memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan projek-projek rakyat menjelang tahun 2020 yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar Sarawak. 

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.8 bilion untuk melaksanakan projek-projek yang membabitkan kawasan yang mengalami masalah air yang kritikal di negeri ini. 

Katanya, ia membabitkan pembangunan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip serta inisiatif pemodenan dan Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

"Pihak kami telah mengambil masa setahun untuk membuat perancangan untuk kawasan-kawasan tersebut yang mana telah dilaksanakan dan ada antaranya telah dianugerahkan kepada kontraktor untuk pelaksanaan," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena tersebut.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi Pejabat baharu JBALB Bahagian Bintulu di Wisma Forego, Pusat Komersial Assyakirin di Jalan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dr Rundi berkata pihaknya juga menetapkan masa dua tahun untuk menyiapkan lapan projek yang sedang dilaksanakan di Bintulu. 

"Sebarang aduan yang diterima daripada rakyat perlu diberi perhatian serta pihak kami juga melaksanakan tender terbuka untuk semua orang mengikut prosedur yang ada untuk pelaksanaan projek terbabit," ujarnya. 

Beliau berharap setiap projek yang dilaksanakan dapat disiapkan menjelang tahun 2020 seperti yang diamanah dan dikehendaki Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Sementara itu, Pengarah JBALB Sarawak Ir Chang Kuet Shian berkata, transformasi jabatan bukan hanya melibatkan sistemnya bahkan melibatkan kebajikan kakitangannya termasuk mewujudkan pejabat yang selesa untuk menjalankan kerja-kerja jabatan. 

"Saya percaya JBALB Sarawak sedang bergerak ke hadapan mendepani segala rintangan, menangani setiap permasalahan dan isu segera dan telus," ujarnya. 

Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang, ADUN Samalaju Majang Renggi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Dato Ir Alice Jawan Empaling, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...