Uniknya Sarawak, bukan Islam memeriahkan buka puasa



 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, keadaan itu tidak harus dipolitikkan kerana perpaduan dalam kalangan masyarakat berlainan agama dan budaya sudah berakar umbi dan kukuh sejak sekian lama di negeri ini.

“Kita menyaksikan di Sarawak kehadiran bukan Islam bersama berbuka puasa adalah sesuatu yang tidak asing dan ini menjadi salah satu cara kita memupuk perpaduan sedia terjalin,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa di Surau Setia Bakti Kampung Anak Bukit di sini.

Turut hadir Ketua Kampung Anak Bukit Mahat Matali, Ketua Kampung Kuala Awang Yusuf Timbang, Ketua Kampung Belading Mat Zain Sumil dan Pengerusi Surau Nurul Falah Kampung Kuala Awang Jeffery Gapar.

Paulus menjelaskan rakyat Sarawak perlu mengukuhkan perpaduan antara kaum bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian dikecapi selama ini.

“Majlis diadakan ini adalah penghargaan saya kepada penduduk Kampung Anak Bukit yang selama ini menyokong saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat di kawasannya terus memberi sokongan kepada wakil rakyat sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan dapat dicapai.

Katanya, sokongan itu amat penting memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pada majlis itu, Paulus mengagihkan geran kerajaan berjumlah RM15,000 masing-masing kepada Surau Setia Bakti Kampung Anak Bukit, Surau Nurul Falah Kampung Kuala Awang dan Surau Nurul Huda Kampung Belading.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...