Sambutan Lepa Ajau wadah perpaduan rakyat Sarawak berbilang kaum, agama


 


MIRI: Sambutan Gawai Dayak atau ‘Lepa Ajau’ dalam bahasa Kenyah dapat menjadi wadah perpaduan kepada rakyat Sarawak berbilang kaum dan agama.


Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau berkata malah Gawai Dayak amat unik kerana hanya diraikan di Sarawak sebagai tanda kesyukuran hasil tuaian padi setiap tahun.

“Bagi kita masyarakat Orang Ulu seperti Kenyah semangat serta konsepnya sama seperti Gawai Dayak diraikan oleh kaum Iban dan Bidayuh.

“Melalui Lepa Ajau kita dapat mempromosi semangat perpaduan selain menjadi wadah pembangunan bangsa. Saya gembira kerana komuniti Orang Ulu mengambil inisiatif  menganjurkan acara ini di kawasan bandar,” katanya pada Majlis Selamat Lepa Ajau edisi ketiga anjuran Peng Lepo Abong, Long Julan Pelutan di sini malam kelmarin.

Anyi berkata, sebagai menghayati Lepa Ajau beliau mahu masyarakat Orang Ulu menggunakan peluang itu berterima kasih terhadap rezeki yang diterima, kestabilan dan keharmonian dinikmati hari ini.

“Kita bertuah kerana hidup dalam suasana aman damai. Saya berharap amalan hormat menghormati dan toleransi terus dikekalkan kerana ia adalah simbol perpaduan unik di Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, Anyi mahu budaya tradisi dan istiadat warisan nenek moyang mereka terus dikekalkan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan ‘Belian Datun Julut’ oleh kumpulan Leto Lepo Abong, tarian ‘Datun’ dan acara kemuncak ‘Pueh Lepa Ajau’ diketuai Penghulu Jalong Tanyit.

Sehubungan itu, Anyi turut menyampaikan sagu hati kepada warga emas Lepo Abong, Long Julan Pelutan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, pengerusi penganjur Clement Ibau, Ketua Kampung Long Julan Pelutan James Gau Mato, Penghulu Theodarius Lenjau Kulleh dan wakil beberapa kampung Kenyah seperti Long Tap, Long Tebanyi, Long San, Long Selatong Dikan, Long Anap dan Long Selatong Tepalit.-UB

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...