Penyambungan segera ke rumah belum nikmati bekalan elektrik



 



KUCHING: Kementerian Utiliti akan memastikan penyambungan bekalan elektrik ke setiap rumah di negeri ini yang masih belum menikmatinya dilaksanakan dengan segera.

Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, terdapat dua kategori rumah yang tidak disambung dengan bekalan elektrik iaitu rumah terbabit tertinggal semasa projek penyambungan dijalankan dan rumah yang baharu dibina.

“Disebabkan itu, pemilik rumah dalam dua kategori berkenaan yang masih belum menerima bekalan elektrik, kita menggalakkan mereka untuk membuat permohonan melalui pemimpin masyarakat atau ketua kaum di kawasan masing-masing untuk dibawa kepada kementerian.

“Kemudian kementerian akan meminta kakitangan untuk segera melakukan kerja penyambungan elektrik ke rumah berkaitan.

“Ini selaras dengan matlamat kita iaitu 100 peratus bekalan elektrik dibekalkan kepada semua rumah di Sarawak menjelang 2025 dapat direalisasikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Abdul Rahman memberitahu kementerian menerima aduan daripada beberapa pihak berkaitan kegiatan penyambungan elektrik tanpa kebenaran atau secara haram.

Beliau berharap orang awam tidak melakukan penyambungan elektrik tanpa kebenaran kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

Selain itu, antara masalah lain yang timbul ialah bayaran bil elektrik akan melambung selepas membuat penyambungan sah kerana penggunaan terdahulu adalah secara haram.

“Ini beberapa fenomena yang berlaku perlu kita elakkan dalam masyarakat kita.

“Membuat penyambungan tanpa kebenaran seperti sebuah rumah menyambung elektrik dari rumah sebelah biasanya berlaku disebabkan faktor pertama, ada yang telah membuat permohonan bekalan tetapi lambat menerima maklum balas daripada kementerian.

“Keduanya, kadang  kala ada yang sengaja tidak membuat penyambungan kerana tidak mahu menggunakannya secara sah,” katanya.

Maka itu kata Dr Abdul Rahman, kementerian akan terus memastikan setiap permohonan penyambungan bekalan elektrik ke rumah akan dilakukan dengan segera.

Antara tetamu kehormat pada majlis rumah terbuka beliau dan isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir serta pelbagai lapisan masyarakat.-UB

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...