BAU: Seorang lelaki ditangkap semalam kerana disyaki memecah masuk dapur sebuah sekolah rendah di pekan Bau pada 29 April lalu.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditangkap di Kampung Melayu, Bau hasil risikan dan maklumat awam.
“Laporan dibuat oleh guru sekolah terbabit bahawa sebuah tong gas dan periuk nasi elektrik hilang dengan anggaran kerugian mencecah RM400.
“Susulan laporan tersebut, anggota kita berjaya mengesan suspek yang kemudian ditangkap dan turut merampas seunit periuk nasi elektrik untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara lima tahun dan juga boleh dikenakan denda,” jelasnya.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment