Rogol pelajar sendiri, guru dipenjara 22 tahun dengan empat kali sebatan


KUCHING: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun serta empat sebatan ke atas guru matematik yang didakwa merogol pelajar sendiri pada 2017.

Bagi pertuduhan pertama, Muhaini Bojeng, 53, didakwa di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara serta dua sebatan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta dua sebatan.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan dengan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan statistik kekerapan kesalahan seksual yang terjadi di Sarawak, terutamanya dalam kalangan guru.

Tertuduh katanya wajar menjadi pembimbing, namun sebaliknya dia menyalahguna kedudukannya. Oleh itu, hukuman setimpal harus dijatuhkan untuk mengelakkan perbuatan seumpama itu berulang.

Peguam tertuduh, Wit Malang memohon penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan alasan Muhaini mempunyai penyakit-penyakit seperti masalah batuk kronik, diabetis dan darah tinggi.

Katanya lagi, adalah lebih mudah bagi tertuduh untuk menjalani rawatan di luar berbanding di penjara.

Wit turut berkata Muhaini perlu mencari nafkah untuk keluarganya dengan meneruskan kelas tuisyennya.

Tertuduh mempunyai tanggungan tiga anak yang masih belajar.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof menyatakan adalah tidak relevan bagi tertuduh untuk memohon penangguhan hukuman sekiranya tertuduh mempunyai masalah kesihatan kerana penjara menyediakan kemudahan seperti ubat-ubatan, doktor dan klinik untuk banduan.

Beliau turut menjelaskan bahawa untuk membenarkan tertuduh kembali semula menjalankan kelas tuisyen adalah tidak wajar kerana tertuduh mungkin akan mengulangi perbuatannya.

Hakim menolak permohonan Wit kerana beranggapan tertuduh tidak layak diberikan penggantungan pelaksanaan hukuman di samping tertuduh gagal mengemukakan sebarang perakuan masalah kesihatan berbentuk sijil atau surat daripada doktor atau pakar.

Dia didakwa pada 25 April lepas atas dua pertuduhan merogol pelajarnya sendiri dalam kereta di kawasan letak kereta depan sebuah pasar raya di Siburan.

oleh Hafizah Abdul Hamid
Utusan Borneo Online



No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...