RM150 Ribu Diperuntukan Baik Pulih Bumbung Rumah Panjang Melanau Kampung Sok

MATU: Sebanyak RM150 ribu dari Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng diperuntukan bagi membaik pulih bumbung Rumah Panjang Melanau Kampung Sok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng YB Dato' Mursyid Diraja Dr. Juanda bin Jaya berkata peruntukan ini adalah sebahagian daripada kerja-kerja baik pulih rumah panjang tersebut.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Matu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkenaan dengan tindakan segera yang boleh dilakukan bagi menyelamat rumah panjang itu.

“Selepas perbincangan, saya bersetuju mengagihkan peruntukan RTP DUN Jemoreng bagi membaik pulih bumbung rumah panjang ini terlebih dahulu dengan jumlah RM150 ribu. Cabutan undi bagi kerja-kerja baik pulih bumbung itu akan dilakukan pada minggu depan.

“Justeru, saya memohon penduduk kampung untuk memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Jabatan Muzium Negeri Sarawak untuk melaksanakan kerja-kerja ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Melanau Kampung Sok, Matu di sini, semalam.

Sebelum kerja-kerja naik taraf dilakukan, JKR Sarawak akan membuat kajian terperinci untuk menilai anggaran keseluruhan untuk membaik pulih dan mengekalkan sturktur asal rumah tersebut sebaik mungkin.

Sebelum itu, Pemangku Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Suria Bujang menjelaskan Rumah Panjang Melanau ini telah digazet dan diletakkan di bawah tanggungjawan Jabatan Muzium Sarawak untuk menjaga, melenggara dan membaik pulihnya.

“Rumah panjang ini terletak di bawah status 'bangunan individu' dan memerlukan prosedur tertentu untuk proses pelaksanaan baik pulih. 

“Surat kebenaran untuk baik pulih dari pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sok serta waris rumah tersebut perlu diberikan kepada pihak Jabatan Muzium Sarawak untuk tujuan tersebut.

“Selepas itu, barulah pihak kami boleh meneruskan langkah-langkah untuk membaik pulihnya,” jelasnya.

Rumah Panjang Melanau Kampung Sok berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong dan akan diusahakan untuk disenaraikan dalam UNESCO. 

Ini merupakan satu-satunya Rumah Panjang Melanau Islam di dunia yang terletak di Kampung Sok Matu.

Dato' Mursyid Diraja Dr. Juanda turut membuat lawatan ke Telaga Penawar dan Makam Sergunim di Kampung Jemoreng Matu.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak Datuk Aidan Wing, Majlis Adat Istiadat Sarawak John Ling Jirid Tira, Pegawai Daerah Matu Wan Hipni bin Wan Mohamad, Pegawai  Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Jabez Ho, pegawai Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Rafidah Ahmad Shafie dan pegawai Tanah dan Survey Mukah Petrus Basik.




No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...