27 barang kawalan SHMMP Hari Raya Puasa



PUTRAJAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dilanjutkan pelaksanaannya selama 30 hari bermula 21 Mei ini berbanding 15 hari tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata SHMMP kali ini membabitkan kawalan harga bagi 27 jenis barangan berbanding 21 barangan sebelum ini.

“Terdapat penambahan enam barangan berbanding pelaksanaan pada 2018 iaitu ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaan skim tahun ini.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tertinggi oleh masyarakat ketika perayaan, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran.

“Antara barangan lain yang turut disenaraikan dalam skim ini ialah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Pada masa sama, Saifuddin turut mengumumkan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan yang bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei hingga 7 Jun selama 14 hari.

“Tempoh 14 hari itu membabitkan tujuh hari sebelum, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan berbanding tujuh hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Sebanyak 14 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berbanding 13 jenis barangan sebelum ini iaitu membabitkan pertambahan cili kering,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua barangan yang disenaraikan dalam SHMMP mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan dan kawalan harga dibuat bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.

Selain itu, Saifuddin berkata, bagi membendung kenaikan harga tidak munasabah, tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

“Seramai 2,300 penguat kuasa akan bertugas sepanjang SHMMP,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin memberi jaminan, bekalan makanan seperti daging, ikan, ayam, kelapa mencukupi, malah kementeriannya akan bekerjasama erat dengan KPDNHEP bagi memastikan harga bahan makanan berpatutan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, jualan Jimat Belanja Aidilfitri@PasarTani selama lima hari sebelum Aidilfitri juga akan dianjurkan di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.

“Bagi tahun ini setiap bahan makanan kita tingkatkan tambahan bekalan 10 peratus, bagi memastikan keperluan perayaan mencukupi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...