Pengurusan Masjid Dan Surau Digesa Gunakan Sepenuhnya Peruntukan Untuk Aktiviti Kemasyarakatan Dan Keagamaan

SRI AMAN: Pengurusan masjid dan surau digesa untuk menggunakan peruntukan yang diberikan dengan mengadakan program dan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga YB Simoi Peri berkata setiap tahun masjid dan surau diberikan peruntukan untuk mengadakan program dan aktiviti, dan ianya mesti digunakan dengan sebaiknya.

“Banyak ‘mata yang memandang’ pengurusan masjid dan surau yang tidak aktif walaupun telah diberikan peruntukan untuk mengelola dan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

“Perkara sebegini perlu ditangani segera supaya masyarakat tidak memandang serong kepada pengurusan masjid dan surau.

“Masjid dan surau bukan sahaja digunakan untuk aktiviti keagamaan, tetapi juga boleh digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Wang Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) Kepada Masjid dan Surau Bahagian Sri Aman anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sri Aman di Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, hari ini.

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada 14 masjid dan 31 surau daripada MIS di Bahagian Sri Aman yang digunakan bagi mengimarahkan rumah ibadat itu di sepanjang bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Simoi turut menekankan tentang kebersihan tandas yang ada di setiap masjid dan surau.

“Pengurusan masjid dan surau perlu menjaga kebersihan terutamanya tandas.

“Islam amat mementingkan kebersihan dan kebersihan masjid dan surau ini termasuk juga tandas,” ujarnya.

Simoi turut meminta JAIS dan Baitulmal diminta untuk melihat secara terperinci masalah berkenaan dengan masyarakat daif di kawasan.

“Masih ramai masyarakat yang daif dan layak untuk mendapat bantuan daripada Baitulmal yang mungkin terlepas pandang.

“Untuk itu, saya menyeru JAIS dan Baitulmal ini untuk bekerjasama dengan mendalami permasalahan rakyat di perkampungan dalam mengenal pasti mereka yang layak untuk mendapat bantuan,” tambahnya. 

Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian, JAIS Bahagian Sri Aman Ustaz Asward Bohari dan Pengurus Besar Baitulmal Cawangan Sri Aman Shamsul Bahri Manap.



No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...