
KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) hari ini menuntut agar Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais meletak jawatan serta-merta atas dakwaan salah laku.
Presidennya, Mohamad Iskana Bujang dalam sidang media di sini hari ini mendakwa pentadbiran Posa tiada hala tuju dan hanya membawa masalah dan kehancuran kepada persatuan itu seterusnya kepada pasukan bola sepak negeri.
“Saya bersetuju dengan pandangan dan kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sekitar 8 Mei 2018 semasa sidang akhbar di Petra Jaya. Beliau menyarankan perlu dibuat penstrukturan semula kepada FAS yang mana saya berpendapat beliau juga mendapat maklum balas kurang baik pada pentadbiran ketika itu.
“Saya menganggap pentadbiran di bawah presiden masa kini berjalan dengan tidak telus dan tidak beramanah. Banyak perkara yang dilakukan membelakangi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengikut Perlembagaan Persatuan Bolasepak Sarawak,” tegas Iskana.
Antara salah laku FAS jelas Iskana ialah tidak pernah bermesyuarat di peringkat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang sepatutnya dibuat tidak kurang sekali dalam tempoh tiga bulan selain tidak menghantar laporan penuh minit mesyuarat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2018 di Limbang merangkumi carta organisasi, struktur pentadbiran FAS dan nama-nama pemegang jawatan terkini kepada Pesuruhjaya Sukan Negeri.
Katanya, presiden ketika ini juga sering bertindak bersendirian tanpa memaklumkan kepada jawatankuasa eksekutif segala hal yang berlaku serta menggunakan kuasanya sendiri untuk melantik pegawai yang terlibat dalam pengurusan pasukan yang terdiri sebahagiannya adalah ahli keluarga beliau.
Tambahnya lagi, pihak ahli gabungan juga tidak dimaklumkan dengan jelas status kewangan FAS seperti jumlah duit keluar masuk termasuk penajaan dan jumlah pendapatan geran tahunan.
“Persatuan di bawah pimpinan presiden sebelum ini (2017 & 2018) gagal menyediakan laporan kewangan diperlukan oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) yang mana kami berpendapat ia amat memalukan sehingga persatuan dikenakan denda pemotongan 10 peratus termasuk tidak boleh menggantikan kuota pemain import atas kesalahan tersebut.
“Kami meragui perjalanan perbelanjaan FAS ketika ini kerana semuanya membelakangi dan tidak melalui proses yang betul. Kami juga meragui dan sangsi terhadap Setiausaha Agung yang mungkin bersubahat dalam segala tindakan ini,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, beberapa lagi tindakan Posa juga memperlihatkan kelemahannya sebagai presiden persatuan itu seperti isu laporan kepada SPRM mengenai aduan pecah amanah mantan Setiausaha Agung yang tidak memaklumkan kepada Exco terlebih dahulu selain kenyataan dikeluarkan berhubung pertikaian dengan MFL baru-baru ini.
Dalam pada itu, Persatuan Bekas Pemain Sarawak (ESPA) diwakili Presidennya Waili Abang juga senada dengan PBBS menuntut perubahan drastik dalam pentadbiran tertinggi FAS.
Katanya, ESPA sedia bekerjasama dengan FAS untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri seperti pernah dilakar sebelum ini namun dengan syarat persatuan itu perlu dirombak sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment