Namaku Isnin Puasa



KUALA PILAH: Keunikan nama Isnin Puasa pastinya menarik perhatian ramai apabila umat Islam bakal berpuasa esok.


Bagi Isnin, 74, nama yang diberikan arwah bapanya, Puasa Sabtu sesuatu yang cukup istimewa dan secara kebetulan umat Islam mula berpuasa esok.

Peneroka Felda itu berkata, namanya, Isnin adalah nama biasa namun sebaik digabungkan dengan nama bapanya, Puasa, ia menjadi Isnin Puasa.

“Secara kebetulan kita akan berpuasa esok (Isnin) dan kesempatan itu saya mengucapkan selamat berpuasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kepis, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sepanjang hayat arwah bapanya tidak pernah menceritakan sebab nama itu diberikan kepadanya.

“Saya menganggap nama ini sangat istimewa. Sewaktu bersekolah rendah, kawan-kawan sering menyakat dan menjadikannya bahan jenaka, namun saya tidak pernah mengambil hati.

“Ada juga penduduk di Felda ini menyakat supaya berpuasa pada Isnin ini tetapi saya hanya tersenyum,” katanya yang berasal dari Alai, Melaka dan menetap di tanah rancangan itu sejak April 1982.

Dia yang ditemani isteri, Mariah Ibrahim, 64 berkata, datuk sebelah bapanya bernama Sabtu dan jika digabungkan semua nama menjadi Isnin bin Puasa bin Sabtu.

“Saya adalah Isnin Puasa manakala arwah bapa Puasa Sabtu,” katanya.
Menurutnya, dia beberapa kali meraikan Ramadan dan berpuasa pada Isnin dengan kali terakhir pada 6 Jun 2016.

Mariah berkata, nama individu yang menggunakan nama hari seperti Ahad, Isnin, Khamis, Jumaat dan Sabtu adalah sesuatu yang biasa di kampung halamannya di Durian Tunggal, Melaka.

“Ketika mula mengenali suami, saya tidak merasakan nama suami pelik tetapi ia mungkin unik berbanding orang lain,” katanya yang memiliki tujuh anak berusia 42 hingga 23 tahun.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, berkata kebanyakan masyarakat terdahulu taksub menggunakan alam semula jadi sebagai nama mereka.

Pakar sejarah itu berkata, ada yang menggunakan nama tumbuh-tumbuhan, persekitaran, objek dan hari sebagai gelaran diri.

“Nama Isnin dan Puasa adalah gabungan nama hari dan bulan. Ia mungkin diilhamkan ketika kelahiran pada waktu berkenaan.

“Namun zaman berubah dan masyarakat pada hari ini gemar meletakkan nama anak mengikut budaya asing selain ada memilih nama berdasarkan kitab agama yang mempunyai maksud tersendiri,” katanya.

Katanya, jika nama dahulu masih dikekalkan pada zaman ini, generasi muda mungkin beranggapan individu berkenaan ketinggalan zaman.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...