Ikan kerapu 60.7kg bawa tuah menang RM20,000





MIRI: Umpan ikan pasung membawa tuah kepada Mohamad Taib Aklikhan apabila muncul juara Pertandingan Memancing Laut Dalam Miri 2019 selepas mendaratkan ikan kerapu seberat 60.78 kilogram.

Pemancing dari Brunei Darussalam itu tidak menyangka ikan kerapu yang dinaikkannya ditabalkan sebagai ikan gergasi sekali gus melayakkannya membawa pulang RM20,000 serta sijil.

"Ia adalah ikan terbesar yang pernah saya dapat sepanjang hobi memancing malah tidak menyangka penyertaan kali kedua dalam pertandingan ini membawa tuah kepada saya untuk bergelar juara," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Taib berkata dia telah menyertai pertandingan itu julung kali pada 2015 dan mendapat tempat ketiga dalam kategori berkumpulan.

Kerana minatnya yang mendalam dalam sukan memancing laut dalam, Taib juga menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan di Sabah.

Mengulas lanjut pengalamannya menaikkan ikan kerapu seberat 60.78 kilogram, Taib berkata dia mengambil masa hampir 30 minit untuk menjinakkan ikan gergasi terbabit.

"Ikan kerapu ini agak ganas dan liar, saya mengambil masa hampir 30 minit untuk menaikkannya ke atas bot kira-kira jam 5.30 petang pada hari kedua pertandingan," ujarnya.

Taib berkata ia adalah sejarah peribadinya menaikkan ikan gergasi berkenaan di perairan Malaysia kerana sebelum ini rekod peribadinya hanya mendaratkan ikan lebih 30 kilogram.

"Saya akan menyertai pertandingan ini lagi pada masa akan datang kerana minat dan hobi memancing meskipun mengeluarkan belanja yang besar untuk kelengkapan dan bot," ujarnya.

Sementara itu, tempat naib juara pula milik Tan Bin yang berjaya mendaratkan spesies ikan yang sama iaitu kerapu seberat 59.94 kilogram sekali gus menerima RM5,000 serta sijil.

Tan Bin memberitahu dia menyertai pertandingan itu setiap tahun dan tidak menyangka akan mendaratkan ikan kerapu lebih 50 kilogram.

"Meskipun sukan memancing ini menelan kos yang besar, namun saya tetap turut serta dalam pertandingan ini setiap tahun kerana hobi dan dapat bergaul mesra dengan pemancing dari negara lain," katanya.

Hadir sama menyaksikan acara menimbang ikan yang berjaya didaratkan peserta ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin; Ahli

Dewan Undangan Negeri Pujut, Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Adam Yii.
Pertandingan itu disertai seramai 141 peserta iaitu 31 peserta dari China, 31 orang dari Singapura , Brunei Darussalam (38 orang) sementara selebihnya pemancing tempatan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...