Kumpulan aktif pecah masuk stor di Kidurong tumpas





BINTULU: Enam lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah masuk stor diberkas dalam operasi berasingan di Tanjung Kidurong, di sini, tengah malam Ahad.

Operasi rondaan cegah jenayah dan serbuan itu dijalankan oleh Balai Polis Kidurong dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan pertama dibuat apabila polis terserempak dua suspek berumur 27 dan 37 tahun yang dalam keadaan mencurigakan.

Dua suspek itu cuba melarikan diri ketika didekati polis sekitar 12.50 tengah malam namun berjaya diberkas selepas berlaku kejar mengejar.

Katanya, polis menjumpai pelbagai peralatan seperti sepana, kunci Allen, lampu suluh antara lain susulan pemeriksaan pada badan dan beg suspek dan mereka juga gagal memberi keterangan munasabah atas pemilikan peralatan tersebut.

"Hasil soal siasat lanjut, pasukan detektif Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu kemudiannya membuat serbuan berasingan selepas berjaya mengesan dan kemudiannya menangkap saki baki kumpulan yang dipercayai aktif melakukan pecah stor kawasan Tanjung Kidurong," katanya.

Antara barangan dirampas dari suspek-suspek

Zulkipli berkata, dalam serbuan susulan, empat lelaki berusia antara 28 tahun hingga 35 tahun berjaya ditangkap.

Menurut beliau, dua daripada suspek sedang menjalani perintah pengawasan polis atas kesalahan yang sama.

"Dengan penangkapan suspek-suspek, polis percaya akan dapat menyelesaikan beberapa kes pecah stor di kawasan Tanjung Kidurong," katanya lagi.

Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk memohon perintah tahanan reman. 

"Kesalahan pecah rumah memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan denda dan jika berniat untuk mencuri penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun. 

"Suspek juga turut disiasat di bawah Seksyen 35(g) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya," jelasnya.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...